Kuala Lumpur: Penjaga gol Ifwat
Akmal Che Kassim (gambar) sudah tidak sabar untuk beraksi dalam Piala AFC
selepas membantu Kedah meraih Piala FA buat kali keempat dengan menumpaskan
Pahang 3-2 pada final di Stadium Shah Alam, kelmarin.
Ifwat, 20, gembira kerana
berjaya meraih trofi ketiga selepas Piala Malaysia musim lalu dan Piala
Sumbangsih untuk perlawanan pembukaan musim ini.
“Ini piala ketiga saya bersama
Kedah dan saya tidak sabar untuk beraksi di Piala AFC musim depan kerana ia
membolehkan saya meraih satu lagi pengalaman baru. Sebagai pemain sudah tentu
saya akan cuba yang terbaik,” katanya.
Jelasnya, pada final kelmarin kedua-dua
pasukan berpeluang untuk muncul juara kerana berdasarkan permainan tidak ada
pasukan pilihan sebaliknya 50-50.
“Pada masa sama kami membiarkan
Pahang menyerang pada minit-minit akhir perlawanan dan tidak menggunakan
kesempatan beraksi 11 pemain (selepas Kiko Insa dilayangkan kad merah pada
babak pertama).
“Alhamdulillah kerana kami
berjaya memenangi Piala FA kali ini mungkin disebabkan kami berjaya menggunakan
segala peluang yang terhidang di depan gol,” kata Ifwat.
Dia yang bertindak cemerlang dengan
menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya kelmarin mengakui mereka kurag fokus
ketika menyambung aksi separuh masa kedua.
“Bagaimanapun, sebaik Baddrol
(Bakhtiar) menjaringkan gol ketiga kami mula mendominasi permainan dan berjaya
bertahan ketika Pahang mula melakukan serangan bertali-arus pada minit-minit
akhir,” ujarnya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan
pada : Isnin, 22 Mei 2017 @ 10:22 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan