Jumaat, 19 Mei 2017

Janji tak ulang kesilapan lalu



Rodly Fadly
sukan@hmetro.com.my
Alor Setar: Digantung dua perlawanan akibat dikenakan kad merah selepas bertindak balas ke atas pemain T-Team yang mengasarinya memberi pengajaran berguna kepada pertahanan kebal Kedah, Rizal Ghazali.

Dia yang menjadi harapan skuad Lang Merah untuk mengekang asakan jentera serangan Pahang dalam final Piala FA, malam esok, bertekad tidak akan mengulangi kesilapan itu sebagai membalas kepercayaan jurulatih.

Rizal yang ditemui selepas sesi latihan terakhir di Stadium Darul Aman, kelmarin, berkata, walaupun hanya terlepas dua perlawanan akibat penggantungan itu, ia tetap menjadi iktibar.

“Dalam pasukan Kedah, semua pemain termasuk simpanan mempunyai kualiti permainan setanding. Sebab itu, jika ada yang cedera, pemain lain dengan mudah mampu mengisi tempat itu.

“Apabila anda sudah kehilangan tempat kepada pemain lain, amat sukar mendapatkannya semula. Saya sendiri bimbang akan terus direhatkan walaupun hanya digantung dua perlawanan.

“Tapi saya bersyukur kerana selepas selesai menjalani hukuman, jurulatih kembali memberi kepercayaan kepada saya untuk bermain.

“Oleh itu saya berjanji tidak akan mensia-siakan kepercayaan itu, malah akan membalasnya dengan prestasi terbaik jika diturunkan dalam final nanti,” ujar Rizal.

Pemain berusia 25 tahun itu sedar provokasi akan berlaku dalam final kelak namun dia berjanji akan bersikap lebih tenang untuk menanganinya.

Malah Rizal menegaskan, dia bukan seorang pemain panas baran atau bersikap kepala angin namun mengakui kadang-kala hilang kesabaran apabila dikasari dengan niat mencederakan.

“Dalam perlawanan menentang T-Team itu saya marah sebab pemain itu bukannya berniat mencuri bola tapi sengaja menerjah untuk mencederakan saya.

“Saya beritahu dia bola sepak periuk nasi kami bersama, oleh itu jangan memusnahkan karier seseorang dengan permainan sebegitu. Pemain itu meminta maaf dan saya anggap kes ini selesai,” kata Rizal.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2017 @ 9:33 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan