ARKIB : 08/03/2005
KUALA LUMPUR - Naib juara Piala
Malaysia musim lalu, Kedah kini berada pada landasan terbaik untuk memintas
Selangor selaku pendahulu Liga Perdana Kumpulan A dengan baki dua perlawanan
lagi untuk menamatkan saingan pusingan pertama.
Prestasi ibarat `yo yo' di
peringkat awal mampu ditebus oleh barisan skuad Kenari apabila melihat aksi
bertenaga ketika mengikat Selangor dengan keputusan seri 1-1 di Stadium Shah
Alam, kelmarin.
Pertemuan dua gergasi bola
sepak yang ibarat perlawanan akhir Piala Malaysia disaksikan lebih daripada
50,000 jelas melihat penguasaan penuh Kedah ketika Selangor tidak bermain pada
kemampuan sebenar mereka.
Tanpa mengambil kira keputusan
itu, apa yang lebih penting adalah aksi bertenaga dan terbaik daripada
perlawanan Kedah sebelum ini, memberi petanda Kedah bakal mengungguli saingan
dalam Kumpulan A.
Jurulatihnya, Mohd. Azraai Khor
Abdullah berkata, persembahan anak buahnya kini semakin meningkat dan akan
berterusan hingga ke penghujung saingan Kumpulan A.
``Perlawanan dengan Selangor
sebenarnya milik Kedah, kita menguasai semua bahagian tetapi hanya ketumpulan
jentera serangan mengagalkan untuk meraih tiga mata penuh.
``Apa pun saya lega dengan
peningkatan mendadak pemain dan perlawanan dengan Selangor membuktikan Kedah
kini meniti ke landasan sebenar untuk bergelar juara,'' ujarnya di sini,
semalam.
Pada perlawanan itu Kedah
ketinggalan 0-1 selepas 24 minit babak berlangsung apabila penyerang Selangor,
Muhammad Khalid Jamlus menanduk masuk sepakan sudut Ellie Aiboy.
Bagaimanapun, seminit sebelum
rehat ayam tambatan Kedah, Akmal Rizal Ahmad Rakhil mudah menyempurnakan
sepakan penalti untuk gol penyamaan 1-1 dan keputusan tersebut kekal hingga ke
wisel penamat.
Mohd. Azraai berkata, jentera
serangan yang disandarkan kepada Akmal, Hasmawi Hassan dan Liew Kit Kong
semakin menunjukkan peningkatan.
``Sepanjang tempoh perlawanan
barisan serangan kita banyak mencipta peluang tetapi agak hampa ketiga-tiga
mereka tumpul untuk mencipta jaringan,'' ujarnya.
Lebih melegakan buat jurulatih
itu mengenai prestasi Akmal yang mula menunjukkan peningkatan berbanding empat
perlawanan sebelum ini.
``Dia (Akmal) sudah menemui
sentuhan kawalan bola yang baik dan saya yakin dalam dua lagi perlawanan dia
mampu menggegar jaring lawan,'' ujarnya.
Penyerang kebangsaan itu
setakat ini hanya mampu menjaringkan tiga gol.
Kedah akan menamatkan saingan
pusingan pertama dengan dua pertemuan di gelanggang sendiri berdepan dengan
NTFA Ahad ini dan Brunei seminggu selepas itu.
Dalam pada itu, Mohd. Azraai
turut berpuas hati dengan kekentalan benteng pertahanan dengan diterajui oleh dua
pemain import Mendez Gabriel Alejandro dan Cornelius Bernard Hugging.
Ujarnya, kedua-dua tonggak itu
menjadi kunci merantai pergerakan penyerang Selangor, Bambang Pamungkas, Khalid
dan Ellie Aiboy.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0308&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4iGh5pRnI
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan