ARKIB : 04/02/2005
Penyerang import dari St. Vincent and Grenades, Shandel Samuel menjadi pertaruhan Kedah dalam aksi sulung apabila mereka berkunjung ke Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Malah Shandel bakal bergandingan dengan penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli dan Hasmawi Hassan.
Akmal Rizal yang tidak diturunkan sewaktu aksi separuh akhir dan akhir Piala Malaysia musim lalu disebabkan kecederaan akan kembali beraksi untuk membantu skuad Kenari mengharungi saingan baru musim 2005.
Shandel, 22, pula menandatangani kontrak bersama Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) minggu lalu.
Dia kini menjadi sandaran utama skuad Hijau Kuning dengan kelincahannya yang dikatakan sukar ditandingi.
Pemain bertubuh kecil yang pernah bermain untuk kelab di negaranya itu berkata, dia memilih Kedah kerana pasukan itu dianggap antara yang terbaik di Malaysia.
Shandel merupakan rakan Cornelius Bernard Hugging, seorang lagi pemain import yang dikekalkan oleh Kedah musim ini.
Hugging turut memiliki pengalaman beraksi dengan beberapa buah kelab di England.
Pengurus Kedah, Bashiruddin Mohd. Jamil memberitahu, Kedah masih menanti dua lagi pemain import dari Nigeria untuk memantapkan lagi pasukan itu.
Menurut Bashiruddin, kedua-dua pemain itu dijangka tiba beberapa hari lagi.
Katanya lagi, kehadiran semula pemain kebangsaan, Liew Kit Kong akan memantapkan semula bahagian tengah dan barisan depan serangan Kedah musim ini.
Dia berkata, semangat para pemainnya kini amat tinggi meskipun tewas 1-0 dengan Perlis pada perlawanan akhir Piala Malaysia tahun lepas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan