BERNAMA
PEMANGKU ketua jurulatih Kedah,
Muhd Nidzam Adzha Yusoff mengintai kejuaraan sulung Piala FA sebagai pengendali
skuad Lang Merah yang akan menentang Pahang pada aksi final di Stadium Shah
Alam, Selangor, esok.
Walaupun di atas kertas
pasukannya dilihat mempunyai peluang cerah merangkul kejuaraan berdasarkan aksi
cemerlang mereka sejak kebelakangan ini, bekas pemain Perak dan Kedah era 90-an
itu tetap berwaspada dengan ancaman daripada skuad bimbingan Dollah Salleh.
Muhd Nidzam berkata, pasukannya
berada dalam prestasi terbaik selain tiada tekanan untuk beraksi di perlawanan
akhir itu memandangkan sebahagian besar pemainnya mempunyai pengalaman bermain
di final Piala Malaysia menentang Selangor di gelanggang sama tahun lalu.
"Semua pemain tidak
tertekan dan sangat fokus untuk aksi esok. Mereka juga amat selesa untuk beraksi
di Stadium Shah Alam yang mempunyai kualiti padang yang baik.
"Alang-alang sudah sampai
ke final, kita akan cuba sedaya-upaya untuk muncul juara," katanya kepada
pemberita pada sidang media praperlawanan final Piala FA, di Shah Alam, hari
ini.
Sebagai rekod, Muhd Nizam
pernah menjulang Piala FA sebanyak dua kali sebagai pemain iaitu pada 1990
bersama Perak iaitu tahun pertama piala itu dipertandingkan, dan pada 1996
ketika bersama Kedah.
Berkongsi pandangan sama adalah
kapten pasukan Kedah, Khairul Helmi Johari yang bertekad membawa Piala FA
pulang ke Alor Setar setelah pasukan berkenaan kalah 4-5 menerusi penentuan
sepakan penalti kepada Negeri Sembilan pada 2010 setelah kedua-dua pasukan seri
1-1 pada aksi penuh perlawanan.
"Secara jujur memang saya
tak sangka kami dapat mara ke final dan saya berterima kasih kepada pengurusan
Kedah yang sangat komited.
"Moral pemain semuanya
berada dalam keadaan yang baik serta tidak sabar untuk turun beraksi dan
melakar kejayaan," katanya.
Sementara itu, Dollah mengakui
Kedah mempunyai kelebihan dari segi persefahaman antara pemain namun berjanji
pemain skuad Tok Gajah akan memberi tentangan sengit untuk memastikan Piala FA
kembali ke bumi Darul Makmur.
"Kedah adalah pasukan yang
konsisten sepanjang Liga Malaysia manakala Pahang masih berada dalam keadaan
terumbang-ambing apabila saya mengambil alih pasukan ini lima bulan lalu.
"Namun saya percaya semua
pemain mampu mencatat keputusan yang positif pada perlawanan esok," tegas
Dollah yang membantu Pahang muncul juara Piala Malaysia pada 2013.
Sementara itu, ketua pasukan
Pahang, Matthew Davies gembira dapat beraksi dalam final pertamanya bersama
Pahang selepas menyertai pasukan tersebut dari kelab Liga Australia, Perth
Glory FC pada April 2015.
"Inii adalah final pertama
saya dan pastinya satu pengalaman baharu. Ia tentunya lebih hebat jika kami
mampu muncul juara di depan penyokong kami," kata Davies yang juga pemain
berdarah kacukan Malaysia-Australia.
SUMBER-Artikel ini disiarkan
pada : Jumaat, 19 Mei 2017 @ 9:36 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan