Selasa, 2 Mei 2017

Kedah atau Perlis

ARKIB : 04/12/2004
PERLIS menjadi pilihan, Kedah sebagai `under-dog' - itulah ramalan awal peminat bola sepak menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
Ramalan awal jelas memihak kepada Perlis yang membuat penampilan pertama dalam sejarah bola sepak pasukan itu beraksi di perlawanan akhir Piala Malaysia dalam tempoh 83 tahun sejak 1921.
Kedah pula kurang menjadi perhatian sekalipun pengalaman skuad Kenari yang telah beraksi dalam tujuh perlawanan akhir dan mendakap gelaran selaku juara pada 1990 dan 1993.
Perlis menjadi pilihan berdasarkan prestasi konsisten pasukan itu menduduki tempat ketiga dalam Liga Super di belakang Pahang dan Public Bank Selangor.
Perlawanan akhir ini juga adalah yang kedua buat Perlis selepas muncul naib juara Piala FA musim lalu setelah tumpas 2-1 di tangan Negeri Sembilan.
Kelebihan milik Perlis berdasarkan prestasi konsisten pasukan itu berbanding Kedah yang jelas tersentak dengan ketiadaan ayam tambatan, Akmal Rizal Rakhli.
Buat Perlis, penampilan itu adalah yang pertama kali dalam sejarah bola sepak skuad Singa Utara sepanjang tempoh 83 tahun membuat mereka mahu melakar sejarah terbesar.
Malah, skuad yang mendapat jolokan Singa Utara itu melaungkan keyakinan untuk membaham Kedah bagi merealitikan impian membawa pulang Piala Malaysia buat pertama kali ke bumi Perlis.
Jurulatihnya, Norizan Bakar berkata, barisan pemainnya begitu bersemangat dan cukup yakin untuk memberikan persembahan paling mantap berdepan dengan Kedah.
``Perlis hanya tinggal satu perlawanan lagi untuk mencipta sejarah terbesar dan semua pemain sudah cukup bersedia untuk memberikan persembahan paling mantap,'' ujarnya sejurus tamat sesi latihan singkat di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.
Buat Norizan, beliau yakin kesebelasan utama yang akan diturunkan nanti mampu merealitikan impian yang disemat untuk memadamkan badi 83 tahun gagal menjulang piala berprestij itu.
Ujarnya, pemain telah melaungkan untuk bermain lebih daripada 100 peratus dan lebih daripada 120 minit.
``Inilah persediaan rapi yang saya lakukan berdepan dengan Kedah sekalipun Perlis dianggap sebagai pilihan saya tidak peduli dengan ramalan tersebut,'' katanya.
Buat Norizan, dua permata hitam, Philimon Chipeta dan Lamin Conteh akan menjadi pertaruhan utama Perlis untuk memburu kemenangan.
``Saya akui Perlis mengharapkan gandingan kedua-dua pemain ini untuk mencipta jaringan,'' ujarnya.
Lebih melegakan buat bekas pemain tengah Perlis di awal tahun 70an itu apabila kesebelasan utama yang akan diturunkan nanti bebas daripada sebarang kecederaan.
Ketika Perlis dianggap sebagai pasukan pilihan, skuad Kenari jelas tidak tertekan sebaliknya lebih selesa dianggap sebagai pasukan `under-dog'.
Sementara jurulatih Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah mengakui Perlis wajar diletakkan sebagai pilihan untuk muncul juara berbanding pasukan bimbingannya.
``Saya tidak nafikan Perlis memiliki barisan pemain yang cukup mantap dan lebih lagi gandingan serangan Chipeta, Conteh dan Yusri cukup menyengat di depan pintu gol,'' ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan