Selasa, 2 Mei 2017

Kejayaan Kedah, Perlis petanda baik

ARKIB : 04/12/2004
KEJAYAAN Kedah dan Perlis melayakkan diri dalam perlawanan akhir Piala Malaysia hari ini merupakan satu petanda baik buat sukan bola sepak negara, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman Said.
Menurut Azalina, keupayaan Kedah dan Perlis mengetepikan pasukan-pasukan besar seperti Pahang, Perak atau Selangor membuktikan pasukan bukan pilihan juga memiliki standard permainan yang tinggi.
Katanya, kejayaan dua pasukan berjiran itu, terutamanya Perlis yang menjejakkan kaki ke final Piala Malaysia buat pertama kali mampu membantu usaha pembangunan bola sepak di kedua-dua buah negeri.
``Kejayaan Kedah dan Perlis layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia adalah satu kejayaan kepada bola sepak tanahair,'' katanya pada majlis menandatangani Memorundum Persefahaman di antara Majlis Kecergasan Kebangsaan dan Nestle Products Sdn. Bhd., di kementeriannya, semalam.
``Saya harap kedua-dua pasukan dapat mempamerkan permainan bermutu tinggi dalam perlawanan akhir esok,'' katanya.
Azalina seterusnya berkata, beliau berharap perlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu akan berlangsung dengan lancar tanpa berlaku sebarang insiden yang tidak diingini.
``Pertemuan Kedah dengan Perlis dianggap seperti abang dan adik, jadi saya harap para penyokong kedua-dua pasukan akan bersikap baik serta menghormati antara satu sama lain.''
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Majlis Kecergasan Kebangsaan (MKK) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri September lalu mendapat suntikan semangat dengan kesediaan Nestle Products untuk bekerjasama dalam menjayakan pelbagai aktiviti MKK sepanjang 2005.
Antara program kerjasama Nestle-MKK adalah pameran bergerak pemakanan berkhasiat ke seluruh negara oleh pakar-pakar pemakanan Nestle dan MKK, promosi ke seluruh negara mengenai visi kerjasama, siaran televisyen (klip video) selama 60 saat mempromosikan nilai-nilai MKK.
Sesi kecergasan oleh jurulatih-jurulatih MKK di lokasi yang strategik pada kejohanan-kejohanan sukan anjuran Milo, program-program media dan perhubungan awam serta sokongan teknikal oleh MKK dalam aktiviti Nestle Omega Plus.
Turut hadir pada majlis perjanjian semalam adalah pengurus bahagian minuman Nestle Products, Michiel Kernkamp dan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Nik Mahmud Nik Yusof.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan