ARKIB : 03/12/2004
Ini kerana, Kedah beraksi dalam perlawanan akhir Piala Malaysia kali ketujuh manakala Datuk Seri Syed Razak Syed Zain, juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) adalah menteri besar ketujuh.
Kelmarin, penolong jurulatih, Radhi Md. Din pula menimang cahaya mata ketiganya sewaktu Kedah berusaha untuk memburu kejuaraan Piala Malaysia kali ketiga.
Segalanya kebetulan tetapi bagi Syed Razak dan Radhi, jika Kedah berjaya menjulang Piala Malaysia ia tentu menjadi lebih menarik.
``Saya adalah menteri besar ketujuh jika dikira dari dahulu dan cukup manis kerana Kedah berjaya ke perlawanan Piala Malaysia pada saat-saat ini, perlawanan akhir kali ketujuh.
``Mungkin ini petanda yang baik untuk kebangkitan semula bola sepak Kedah,'' kata beliau kepada barisan pemain yang selepas menjalani latihan di Stadium Darulaman, semalam.
Sebelum ini, Kedah beraksi dalam perlawanan akhir Piala Malaysia pada 1987, 1988, 1989, 1990, 1992 dan 1993.
Bagaimanapun, Kedah hanya menjuarai piala tersebut pada 1990 apabila menewaskan Singapura 3-1 dan sekali lagi mengalahkan republik tersebut 2-0 pada 1993. Dalam percubaan awalnya, Kedah tewas 0-1 (1987), tewas 0-3 (1988) dan kalah 1-2 (1989), ketiga-tiganya kepada Kuala Lumpur. Pada 1992 Kedah tewas kepada Pahang 1-0.
Bagi Radhi, 39, jika Kedah mampu menjulang Piala Malaysia kali ketiga, ia dianggap hadiah cukup menarik kepadanya yang baru mendapat cahaya mata ketiga.
Namun, kata Radhi, pemain perlu memikirkan kemenangan sebagai sebuah pasukan dan juga untuk negeri Kedah.
Isteri Radhi, Adabiah Abdul Ghani, 33, melahirkan bayi perempuan seberat 2.95 kg. di Pusat Perubatan Kedah (KMC) pada pukul 10.19 malam kelmarin.
Sebelum itu, Radhi telah mempunyai dua orang anak, Majdiah Fakhriah, 3, dan seorang anak lelaki, Nu'man Basyir, 2.
Disebabkan kelahiran bayinya yang masih belum diberi nama itu, Radhi terpaksa menangguhkan penerbangan ke Kuala Lumpur.
Kecuali Radhi, kesemua pemain dan pegawai Kedah berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas, petang semalam.
``Saya tidak dapat berlepas ke Kuala Lumpur bersama rakan sepasukan hari ini (semalam) tetapi saya tetap akan ke sana esok (hari ini),'' tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan