Selasa, 2 Mei 2017

Kedah harapkan keajaiban berulang

ARKIB : 04/12/2004
MENGUBAH nasib malang yang mencengkam diri kepada keadaan yang lebih baik malah sehingga dihormati dan dikagumi, bagi sesetengah orang memerlukan keajaiban.
Ini diakui oleh jurulatih Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah.
``Hanya dalam tempoh tiga bulan selepas saya memegang jawatan jurulatih, Kedah menjadi pasukan yang berbeza sama sekali. Seperti ada keajaiban berlaku kepada kami,'' katanya ketika ditemui di Hotel Palace of The Golden Horses di Seri Kembangan dekat Kuala Lumpur, semalam.
``Saya ambil jawatan jurulatih dalam keadaan Kenari yang sedang sakit,'' kata Mohd. Azraai.
Tiga bulan lalu, Mohd. Azraai mengambil risiko dikutuk peminat-peminat Kedah kerana ketika beliau mengambil alih jawatan daripada jurulatih yang disingkirkan, Miradinha dari Brazil, pasukan Kenari berada di tangga terbawah Liga Super.
Kini, keadaan berlainan apabila Kedah dan Perlis turun dalam perlawanan akhir Piala Malaysia yang akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.
``Kehadiran (penasihat pasukan) Datuk Ahmad Basri sangat membantu. Beliau dengan pengalaman dan kebijaksanaan perancangannya benar-benar memudahkan kerja saya untuk membentuk semula pasukan.
``Ketika saya mengambil alih pasukan, keadaan fizikal dan mental berada di tahap yang terlalu rendah. Saya hanya mempunyai empat hari untuk menyiapkan pasukan bagi perlawanan pertama (seri 1-1 dengan MK Land).''
``Selepas perlawanan kedua dengan PKNS (menang 5-0) kekuatan mental mereka mula meningkat, mereka semakin bersemangat dan pasukan mula ceria. Ini sangat membantu dan apabila kami bertemu Pahang permainan kami semakin baik (menang 2-0).
``Tindakan saya mengambil semula Radhi Md. Din dan Tan Cheng Ho (sebagai pembantu jurulatih) sangat membantu.''
Mohd. Azraai juga mengakui bahawa dia sendiri tidak percaya dengan semangat pemain-pemain yang bertekad mahu ke perlawanan akhir Piala Malaysia apabila dirinya dilantik sebagai jurulatih pasukan juara dua kali itu.
``Apabila saya dan pegawai-pegawai bertemu pemain-pemain dalam pertemuan pertama kami saya bertanya `apa matlamat kamu dan hampir 90 peratus mengatakan mereka mahu ke perlawanan akhir'.
``Saya akui bahawa saya rasa seram. Dalam hati saya berkata: `biar betul budak-budak ni'.
``Bayangkan pasukan yang duduk tercorot dalam liga ada hati nak masuk final Piala Malaysia.
``Tetapi rupanya ini memudahkan kerja saya kerana mereka (pemain-pemain) yang telah tetapkan sendiri matlamat, bermakna mereka dah ada motivasi.
Bagaimanapun, bekas pemain Kedah dari 1969 hingga 1980 itu berasa dirinya beruntung pada awal kempen Piala Malaysia.
Katanya, undian yang menyaksikan Kedah perlu bermain di tempat awal pada awalnya memberikan kelebihan kepada dirinya.
``Kami dapat menggunakan perlawanan di tempat lawan untuk mengkaji pasukan lawan dan diri sendiri. Kami dapat perbaiki kelemahan sebelum bermain di tempat sendiri. Ia menjadi kelebihan kepada kami.
``Pada saya keputusan terbaik kami ialah pada peringkat suku akhir dengan Public Bank. Kami bermain di tempat lawan, kami kena dulu (kalah 2-0) tetapi saya tetap yakin kami boleh ubah keputusan dan ia berlaku (Kedah menang agregat 3-2).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan