ARKIB : 24/12/2004
PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) mengambil keputusan untuk menunggu kemunculan Hasmawi Hassan bagi mendengar penjelasan berhubung masalah sebenar yang dihadapinya sebelum memutuskan masa depannya bersama skuad Kenari.
KFA turut memberi peluang kepada Hasmawi, yang menghilangkan diri sejurus membatalkan majlis pernikahan menerusi SMS Sabtu lalu untuk menenangkan fikiran seterusnya menyelesaikan masalah yang dihadapinya.
Sumber KFA berkata sejak tersiar laporan Hasmawi membatalkan majlis pernikahannya Sabtu lalu, pemain serangan itu belum menemui KFA.
Katanya, pihak pengurusan masih menunggu kemunculan Hasmawi untuk mengetahui cerita sebenar dari pemain itu.
Setakat ini, katanya penilaian mengenai masalah Hasmawi hanya berdasarkan laporan akhbar semata-mata yang lebih banyak menyiarkan laporan sebelah pihak.
Sehubungan itu, jelas sumber tersebut persatuan enggan mengulas masa depan Hasmawi bersama Kedah sehingga pemain itu tampil memberi penjelasan.
``KFA mengambil pendirian untuk tidak membuat sebarang komen mengenai masalah peribadi Hasmawi kerana kami berpendapat ia perkara sensitif.
``Kami masih menunggu kemunculan Hasmawi kerana mahukan penjelasan apa yang sebenarnya berlaku,'' kata sumber itu ketika dihubungi semalam.
Hasmawi, 23, membatalkan pernikahan dengan tunangnya, Norlida Abdul Rahman, 23, melalui SMS 19 jam sebelum majlis berlangsung di Kluang, Johor Sabtu lalu.
Berikutan itu, sehari kemudian Presiden KFA, Datuk Chong Itt Chew berkata pihaknya setuju sebulat suara menamatkan kontrak penyerang itu sebagai amaran kepada pemain lain bahawa KFA tidak bertolak ansur sekali pun membabitkan soal peribadi jika ia boleh menjejaskan imej pasukan.
KFA dikatakan akan mengadakan mesyuarat khas secepat mungkin bagi membincangkan perkara berkenaan supaya penamatan kontrak Hasmawi dibuat mengikut prosedur.
Menurut sumber tersebut, Hasmawi dipercayai belum sedia untuk bertemu dengan KFA kerana fikirannya masih kusut.
``Sesiapa sahaja yang mengalami masalah seperti Hasmawi pasti akan buntu fikiran.
``KFA percaya Hasmawi memerlukan masa untuk menenangkan fikiran memandangkan masalah yang dihadapinya begitu berat.
``Dalam hal ini, KFA tidak mahu menambah tekanan kepada Hasmawi dengan memaksa dia supaya muncul.
``Lagipun andai kata Hasmawi kekal bersama Kedah, urusan untuk memperbaharui kontrak beliau masih panjang. Dia masih mempunyai masa yang cukup untuk bertemu dan berbincang dengan persatuan.
``Jalan terbaik buat masa ini ialah dengan memberi dia tempoh untuk menenangkan fikiran,'' katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan