ARKIB : 08/09/2005
Impian Kedah berkecai
Oleh AMRAN MULUP
TONGGAK Pulau Pinang, Dudu
Macpherlin (belakang) mengasak pemain Selangor , D. Surendran pada pertemuan
suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, malam tadi.
Selangor mara ke separuh akhir selepas menang menerusi agregat 3-2. - Gambar
Sazali Che Din.
KUALA LUMPUR - Penyandang juara
musim lalu, Perlis, Selangor, Perak dan Terengganu mengesahkan tempat ke
separuh akhir bola sepak Piala Malaysia selepas menewaskan lawan masing-masing
pada saingan suku akhir kedua yang cukup mendebarkan, semalam.
Seperti yang diramalkan Perlis
mengesahkan kemaraan walaupun tewas 0-1 kepada Pahang di Stadium Darul Makmur.
Skuad Singa Utara layak
menerusi agregat 3-2. Pada saingan suku akhir pertama di Stadium Utama Sabtu
lepas, Perlis menewaskan Pahang 3-1.
Keputusan tersebut sudah cukup
menjamin kemaraan selesa Perlis ke separuh akhir dan akan bertemu Perak.
Perak pula menarik nafas lega
sekalipun mencatat keputusan seri 1-1 ketika bertemu Telekom di Stadium Perak
dan layak ke separuh akhir menerusi agregat 2-1.
Sebelum ini, skuad Seladang
menang tipis 1-0 di tempat lawan.
Turut mengiringi ke separuh
akhir ialah bekas juara 29 kali Piala Malaysia, Selangor walaupun sekadar
mencatat keputusan seri 1-1 bertemu Pulau Pinang di Stadium Bandaraya.
Selangor menang dengan agregat
3-2 selepas menewaskan Pulau Pinang 2-1 di Stadium Shah Alam sebelum ini.
Selangor akan bertemu
Terengganu di separuh akhir nanti.
Terengganu yang menewaskan
Kedah 4-2 menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 secara
agregat.
Peringkat separuh akhir secara
timbal balik akan berlangsung pada 14 dan 18 September ini.
Di Stadium Darul Makmur, Perlis
melayakkan diri ke perlawanan separuh akhir walaupun tumpas dengan jaringan 1-0
kepada Pahang.
Gol kemenangan Pahang yang
dijaringkan oleh Bernard Samuel Tchoutang pada minit ke-78 tidak cukup untuk
membawa skuad Tok Gajah ke separuh akhir tersingkir dengan agregat 2-3.
Sebaliknya, Perlis yang
mencatat kemenangan 3-1 di gelanggang sendiri Sabtu lepas, lega menempah tiket
ke perlawanan separuh akhir.
Di Stadium Bandaraya, skuad Red
Giant yang turun tanpa tonggak tengah, Shukor Adan dan penjaga gol utama,
Jamsari Sabian layak ke separuh akhir walaupun sekadar seri 1-1.
Selangor mengesahkan kemaraan
ke separuh akhir menerusi agregat 3-2 mengetepikan hajat menggunung Pulau
Pinang.
Khalid Jamlus menjaringkan gol
awal Selangor tetapi tuan rumah menyamakan kedudukan hasil jaringan Zulhisyam
Jamaludin tetapi tidak mampu menyelamatkan Pulau Pinang
Di Stadium Perak, penyerang
import, Traore Abdulaye muncul hero apabila menjaringkan gol penyamaan untuk
keputusan seri 1-1 ketika bertemu Telekom.
Perak menempah tiket ke separuh
akhir menerusi agregat 2-1 selepas menang tipis 1-0 di Stadium Hang Tuah, Sabtu
lepas.
Pada minit ke-19, Telekom
membuka jaringan pertama hasil jaringan sendiri ketua pasukan, Ahmad Shahrul
Az-har.
Bagaimanapun, Perak kembali
lega apabila menyamakan kedudukan 1-1 hasil tandukan penyerang import, Traore
Abdulaye pada minit ke-82 selepas menerima hantaran Ahmad Noorafandi.
Di Stadium Sultan Ismail
Nasiruddin Shah, Terengganu mengesahkan tiket ke separuh akhir selepas
menewaskan Kedah 4-2 menerusi sepakan penalti.
Kemampuan Terengganu menewaskan
Kedah 3-1 menamatkan aksi 90 minit memaksa perlawanan berlanjutan ke masa
tambahan selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 secara agregat.
Bagaimanapun kedudukan kekal
terikat 3-3 hingga ke penghujung masa tambahan memaksa penentuan sepakan
penalti yang memihak kepada Terengganu
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0908&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iwmKowhl
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan