Khamis, 22 Jun 2017

Kedah puas melawan



ARKIB : 03/03/2006
Oleh SHARIZA ABDULLAH

ALOR STAR - Meskipun Kedah tercicir daripada meneruskan saingan merebut kejuaraan bola sepak Piala FA kelmarin, jurulatihnya, Mohd. Azraai Khor Abdullah tetap berpuas hati dengan persembahan para pemain bahkan menganggap perlawanan itu sepatutnya menjadi `milik' Kedah.

Kedah seri 2-2 menentang Perlis tetapi keputusan itu memberi laluan kepada Perlis untuk layak ke pusingan berikutnya menerusi agregat 4-3.

Beliau yang berpuas hati dengan persembahan dan semangat juang anak buahnya berkata, hanya tuah tidak memihak kepada skuad Hijau Kuning itu.

Kedah, katanya, masih dapat menguasai permainan dan menunjukkan persembahan yang mantap secara keseluruhan walaupun berdepan dengan pasukan Liga Super.

``Para pemain begitu komited berjuang untuk mencari kemenangan. Malah jurulatih Perlis (Abdul Rahman Ibrahim) secara peribadi memuji skuad Kenari sebagai sebuah pasukan muda yang bagus,'' katanya di sini, semalam.

Dalam aksi di Stadium Kangar kelmarin, Kedah berjaya mendahului tuan rumah sebanyak dua kali, namun gandingan pemain import skuad Singa Utara, Phillemon Chipeta dan Zacharia Simukonda berjaya menyamakan kedudukan masing-masing pada minit ke-68 dan 79.

Kedah pula meraih gol jaringan sendiri ketua pasukan Perlis, Manzoor Azwira Abdul Wahid yang tertampan bola rembatan K. Soley pada minit ke-26 sebelum Mohd Fauzi Shaari menambah gol kedua pada minit ke-77.

Mohd. Azraai tetap puas kerana anak-anak buahnya kini dilihat semakin matang dan menunjukkan peningkatan dalam setiap permainan.

``Tersingkirnya daripada perebutan Piala FA juga membolehkan Kedah memberi seluruh tumpuan untuk menjuarai saingan Liga Perdana Kumpulan A memandangkan sasaran utama kita pada tahun ini adalah untuk layak ke Liga Super tahun depan,'' katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0303&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4knwhidy8
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan