ARKIB : 08/01/2006
ALOR STAR - Pemain muda sedang
meningkat, Saramsak Kram dijangka terus diberi kepercayaan menerajui jentera
serangan Kedah menjelang pertemuan dengan Brunei dalam saingan Liga Perdana
Kumpulan A di Stadium Darul Aman, malam ini.
Tanpa penyerang terbilangnya,
Akmal Rizal Rakhli yang dibelenggu kecederaan, Mohd. Azraai hampir pasti
mengekalkan Saramsak, 20, dalam kesebelasan utama apatah lagi dengan prestasi
terkini pemain itu yang telah menjaringkan tiga gol setakat ini.
Aksi konsisten pemain tersebut
dalam lima perlawanan sebelum ini juga menjadi buah mulut penyokong Kedah yang
menganggapnya mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Liew Kit Kong
yang berhijrah ke MPPJ.
Gandingan Saramsak dengan
pemain import dari Brazil, Marcos Magno dilihat berbisa memandangkan kedua-dua
pemain itu telah menjaringkan enam gol bagi memastikan Kedah berada di tangga
kedua liga satu mata di belakang Sarawak.
Mohd. Azraai sendiri mengakui
betapa Saramsak berjaya menunjukkan peningkatan dalam setiap perlawanan dan
gandingan pemain yang berasal dari Padang Terap itu dengan Magno semakin
serasi.
``Saramsak seorang yang
berdisiplin dan sentiasa berusaha meningkatkan corak permainannya.
``Dia juga menunjukkan komitmen
yang tinggi ketika sesi latihan dan jika mampu mengekalkan prestasi seperti
yang ditunjukkan sekarang, peluangnya amat cerah untuk dikekalkan dalam
kesebelasan utama,'' katanya di sini, semalam.
Mohd. Azrai membayangkan pemain
itu akan digandingkan dengan Akmal Rizal selepas ini.
``Tiada masalah untuk
meletakkan Saramsak dalam kesebelasan utama walaupun hadiranya semula Akmal.
``Apa yang penting, dia perlu
menunjukkan prestasi seperti yang diharapkan supaya misi Kedah untuk beraksi di
kancah Liga Super musim depan tercapai.
``Kami tidak boleh keciciran
sebarang mata seperti yang berlaku pada musim lepas menyebabkan pasukan
kempunan untuk naik ke Liga Super,'' ujarnya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4jaaHJnFS
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan