Ahad, 11 Jun 2017

Hilang tumpuan punca Kedah kalah



ARKIB : 10/02/2006

Oleh YUSRI SAHAT

ALOR STAR - Hilang tumpuan dan cetek pengalaman adalah punca utama Kedah tewas tipis 1-2 kepada Perlis dalam perlawanan pusingan pertama bola sepak Piala FA di Stadium Darul Aman, kelmarin.

Itulah nada kecewa yang diluahkan oleh jurulatih Hijau Kuning, Mohd. Azraai Khor Abdullah selepas anak buahnya mendahului 1-0 dalam tempoh 80 minit permainan.

Menurut Mohd. Azraai, pemainnya seakan kehilangan arah dalam tempoh 10 minit terakhir terutama selepas penyerang berbisa Perlis, Phillimon Chipeta menyamakan kedudukan pada minit ke-82.

Beliau mengakui kekalahan itu juga disebabkan kelalaian pemain terutama kegagalan `mengikat' pergerakan Chipeta di barisan pertahanan.

``Para pemain perlu memuhasabah diri sendiri mengapa peluang yang ada untuk mencapai kemenangan dilepaskan begitu sahaja,'' katanya kepada Sukan Utusan ketika dihubungi di sini, semalam.

Perlawanan itu seolah-olah menyaksikan kemenangan berpihak kepada Kedah apabila mendahului lawan 1-0 sebelum Chipeta memusnahkan harapan itu menerusi dua jaringannya pada minit ke-82 dan 88.

Ini merupakan kekalahan kedua berturut-turut Kenari selepas tewas kepada Kelantan 0-1 dalam perlawanan Kum-pulan A Liga Perdana di Kota Bharu, Ahad lalu.

Berikutan kekalahan demi kekalahan itu, Kedah akan melakukan `post mortem' dalam sehari dua ini untuk mengenal pasti kelemahan yang wujud dalam pasukan tersebut, ujar Mohd. Azraai.

Beliau menyedari bahawa kekalahan kepada Perlis meletakkan finalis Piala Malaysia 2004 itu berada dalam keadaan terdesak apabila kedua-dua `musuh tradisi' tersebut bertemu sekali lagi di Kangar pada 1 Mac ini.

``Kita tidak berasa terlalu gusar kerana pertemuan kedua itu masih panjang dan pelbagai persediaan boleh dilakukan. Jika Perlis boleh menang di gelanggang lawan, kita pun boleh,'' katanya.

Beliau juga akan memastikan kekecewaan yang dialami oleh Kedah itu tidak berterusan apabila melayan Terengganu pada pertemuan Liga Perdana di sini, Ahad ini

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0210&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4jl57ILrX
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan