Rabu, 7 Jun 2017

Hasmawi masih sayangkan Kedah



ARKIB : 20/11/2005
Oleh: AZIMI MUSTAPHA

BUKIT MERTAJAM - Penyerang bola sepak Kedah, Hasmawi Hassan mahu bersama skuad Kenari pada musim depan kerana masih sayangkan pasukan yang disertainya sejak tahun 2004.

Menurut Hasmawi, dia selesa dan senang bersama pasukan Kedah dan rezekinya pun masih di negeri itu.

``Saya masih mahu bersama pasukan Kedah untuk musim depan,'' ujar pemain berusia 25 tahun itu.

Hasmawi ditemui pemberita pada majlis persandingannya dengan isteri tersayang, Noraini Abd Razak di Dewan Kondominium, Bandar Baru Perda dekat sini, semalam.

Kenyataannya itu menamatkan spekulasi tentang perpindahannya ke pasukan lain sejak beberapa bulan lepas.

Pasukan Perak yang kehilangan ramai tonggak menjelang Liga Malaysia musim 2005/06 dikatakan berminat untuk mendapatkan khidmat Hasmawi.

Katanya, meskipun ramai di kalangan rakan sepasukan sudah berpindah ke pasukan lain untuk musim akan datang, itu tidak bermakna dia juga mahu meninggalkan Kedah.

``Mungkin rezeki saya masih di sini,'' ujarnya.

Beliau yang pernah mencetuskan kontroversi apabila membatalkan pada saat akhir perkahwinannya tahun lepas melangsungkan pernikahan dengan Noraini Abd Razak, 24, di Kampung Haji Kudong, Kota Kuala Muda, Sungai Petani, Kedah pada 14 Julai lalu.

Dia memutuskan pertunangannya dengan Norlida Abdul Rahman, 23, dari Felda Ulu Dengar, Kahang Timur, Kluang, Johor menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) pada saat-saat akhir menjelang majlis pernikahan pada 17 Disember lalu.

Menurut Hasmawi, dia masih mahu menabur bakti bersama pasukan Kedah kerana belum berpuas hati dengan pencapaiannya bersama pasukan itu, meskipun pernah membantu skuad Kenari muncul naib juara Piala Malaysia pada musim 2004.

Jelasnya, hasratnya hanya satu iaitu mahu membawa pasukan itu ke Liga Super pada musim depan menerusi keazaman yang tinggi bersama rakan sepasukan yang lain.

Bagi musim ini Kedah diletakkan dalam kumpulan maut bersama Terengganu, Johor, Sarawak dan Kelantan selain tiga pasukan kelab, NTFA, Perak UPB dan Brunei yang diwakili kelab DPPMM.

Menyentuh penghijrahan ramai rakan sepasukan yang mungkin boleh menjejaskan pasukan, Hasmawi berkata, pemain sedia ada mampu menggalas tugas bagi menggantikan pemain-pemain berkenaan.

Cuma katanya, para pemain perlu membentuk persefahaman bagi memantapkan pasukan untuk menyaingi tujuh lagi pasukan dalam Kumpulan A, Liga Perdana.

``Yang penting setiap pemain itu ada kesungguhan dan komited terhadap pasukan. Persefahaman akan datang dengan komitmen dan tunjuk ajar yang diberikan jurulatih,'' ujarnya.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1120&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4jKHjlAKY
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan