ARKIB : 26/05/2005
Oleh DALIZA ARIFFIN
PEMAIN Kedah, Khairil Muhymeen
(dua dari kanan) cuba melepaskan diri daripada kepungan dua pemain MK Land pada
saingan Kumpulan A Liga Perdana di Stadium Darulaman, Alor Star, malam tadi.
Kedah menang 4-0.
ALOR STAR - Kedah merapati
pendahulu Kumpulan A Liga Perdana, Selangor apabila berjaya memintas pasukan MK
Land dengan kemenangan bergaya 4-0 dalam hujan lebat, di Stadium Darulaman, di
sini malam tadi.
Kemenangan itu sekaligus
mengekalkan naib juara Piala Malaysia 2004 itu sebagai pasukan tunggal dalam
Liga Perdana sebagai pasukan yang belum kalah setakat ini.
Stadium yang dibanjiri lebih
30,000 penyokong tuan rumah gamat apabila penyerang muda Mohd. Khairil Muhimin
yang menerima umpanan Shahriman Che Omar menggegarkan gol pelawat pada minit
ke-13 untuk membolehkan skuad Kenari mendahului 1-0.
Tiga minit selepas itu, Hasmawi
Hassan membayangkan penguasaan Kedah apabila menyempurnakan umpanan pemain dari
Nigeria, Yahaya Yakubu.
Ketinggalan dengan dua gol
memaksa MK Land berusaha keras untuk bangkit dengan membuat asakan melalui
gerakan cantik Mohd. Nor Derus dan Marlon James tetapi pertahanan tuan rumah
yang diketuai oleh A. Victor dan ketangkasan penjaga gol Megat Amir Faisal
menjadi penghalang utama.
Pada minit ke 36, Mohd. Nor
Derus dijatuhkan oleh Mohd. Khairil di dalam kotak penalti tetapi tuah tidak
memihak kepada MK Land apabila sepakan penalti yang dilakukan James berjaya
ditangkap kemas oleh Megat Amir.
Mendahului 2-0 Kedah memulakan
babak kedua dengan lebih yakin, menyaksikan mereka tidak memberi ruang kepada
pasukan pelawat untuk mengasak.
Kedah semakin selesa pada minit
ke-71 apabila percubaan Fauzi Shaari yang membuat sepakan lambung dari jarak
jauh melepasi jangkauan penjaga gol MK Land, S. Shankar.
K. Soley menambah derita MK
Land apabila bola rembatannya dari kiri pintu gol terkena tiang dan melantun ke
dalam jaring.
Kedah sebelum ini menewaskan MK
Land 3-2 di Stadium Darulaman dan seri 0-0 di gelanggang lawan.
Dengan kemenangan ini Kedah
mengutip 33 mata, empat mata di belakang Selangor sementara MK Land turun ke
tangga ketiga dengan 30 mata selepas 15 perlawanan.
Di Kuching, Johor FC menewaskan
tuan rumah Sarawak 2-1 dalam aksi Kumpulan B di Stadium Sarawak.
Pasukan pelawat mendahului
menerusi jaringan penyerang import, Gregory Lee Owen pada minit ke-30 dan
melebarkan jurang gol pada minit ke-35 melalui Hairy Azly Muhamad.
Sarawak merapatkan jurang pada
minit ke-84 hasil jaringan bekas penyerang kebangsaan Suharmin Yusuf.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0526&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iYXOcheS
© Utusan Melayu (M) Bhd