Oleh AIZAWATI AHMAD
Pemain Pahang, Jalaluddin Jaafar
(kiri) berjaya mengawal bola walaupun diasak pemain Perlis, Mohd
Nazaruddin Mohd Zain (terjatuh) pada separuh akhir kedua Piala Malaysia
di Stadium Darul Makmur, semalam. Perlis layak ke akhir menerusi agregat
3-2. - Gambar Ghazali Basri.
|
PENYERANG import, Phillimon Chipeta muncul wira apabila
memastikan Perlis layak ke perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia
buat kali pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 4 Disember ini.
Sekalipun Perlis tewas 1-2 kepada Pahang dalam perlawanan saingan
kedua separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Darulmakmur semalam, skuad
Singa Utara tetap mara menerusi kemenangan agregat 3-2.
Jaringan tunggal Perlis di minit-minit terakhir babak perlawanan
menerusi Chipeta terus melenyapkan harapan Pahang yang berjaya mulanya
menyamakan agregat 2-2 menerusi jaringan Fadzli Shaari (m-45) dan
Anthony Milicic (m-47).
Perlis menang 2-0 dalam saingan pertama separuh akhir di Stadium Utama Selasa lalu menerusi jaringan Chipeta dan Joao Bandoch.
Sekalipun Perlis tersentak selepas ketinggalan 0-2 disusuli pemain
pertahanan, Mohd. Feriza Ismail dibuang padang pada minit ke-54, ia
tidak menjejaskan semangat membara anak didik Norizan Bakar untuk
bangkit melenyapkan kehebatan juara sulung Liga Super musim ini.
Begitupun perlawanan tersebut dicemari insiden penyokong tuan rumah
masuk ke padang sejurus jaringan Chipeta namun tindakan cepat Polis
Simpanan Persekutuan (FRU) berjaya mengawal keadaan.
Ketika perlawanan seakan berlarutan sehingga ke permainan masa
tambahan berikutan kedudukan agregat terikat 2-2, Chipeta menolak masuk
gol tunggal perlawanan yang sudah cukup memastikan Perlis ke akhir
dengan agregat 3-2.
Sejurus babak bermula Pahang yang bersemangat bermain di hadapan
30,000 penyokong lebih banyak menguasai pentas saingan dengan asakan
bertali arus ketika Perlis lebih banyak bertahan.
Namun Pahang lebih awal mencemaskan benteng pertahanan Perlis.
Seawal minit kelapan, rembatan kencang Simon Colosimo sekadar
mengenai tiang gol ketika penjaga gol pelawat, Amran Omar sudah
tertewas.
Belum sempat skuad Singa Utara mengatur gerak, mereka tersentak lagi
apabila tandukan kencang ketua pasukan Pahang, Hairuddin Omar berjaya
ditepis keluar oleh Amran Omar pada minit ke-13.
Pada minit-minit terakhir babak pertama, gol yang dicari oleh Pahang
menyusul. Ia bermula daripada sepakan percuma Hairuddin sebelum ditanduk
oleh Indra Putra Mahayuddin. Bola yang bergolek di depan pintu gol
berjaya di tolak masuk oleh Fadzli Shaari dengan kaki kiri menewaskan
Amran.
Sejurus dua minit babak kedua berlangsung, Pahang mengikat agregat
2-2 menerusi jaringan penyerang importnya, Milicic yang melakukan
gerakan solo.
Tonggak pertahanan Perlis, Mohd. Feriza Ismail di buang padang pada minit ke-54.
Di minit-minit terakhir Perlis berjaya mencipta jaringan tunggal
perlawananan sekali lagi menerusi Chipeta untuk menjadikan kedudukan
agregat 3-2.
Oleh NAZARUDDIN SHAHARI
BERAKSI pincang tanpa penyerang utama tidak langsung menghalang Kedah
daripada layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia apabila menumpaskan
Sabah menerusi agregat 1-0 di separuh akhir kedua di Stadium Darulaman,
malam tadi.
Ketiadaan Akmal Rizal Rakhli yang cedera dan Marcos Magno Thavares
yang digantung satu perlawanan memberi laluan kepada pemain tengah,
Mohd. Khairul Ismail untuk mencipta nama dan muncul wira Kedah.
Tandukan tajam Khairul hasil hantaran lintang Ooi Hoe Guan pada
minit ke-69 merupakan gol tunggal perlawanan yang memisahkan nasib
kedua-dua pasukan.
Kedah yang diikat 0-0 oleh Sabah dalam perlawanan separuh akhir
pertama di Stadium Likas, Selasa lalu sepatutnya boleh menang lebih
selesa jika sepakan penalti Christiano Selbach berjaya disempurnakan
pada minit ke-50.
Kedua-dua pasukan jelas terlalu berhati-hati sebaik memulakan
permainan babak pertama hingga menyaksikan tidak banyak gerakan-gerakan
bahaya diatur.
Begitu pun jentera serangan Sabah yang diterajui Keith Gumbs dan
Andrezinho Esposito lebih agresif untuk cuba membolosi kubu tuan rumah.
Bagaimanapun pertahanan Kedah yang diketuai Cornelius Hugging bertindak bijak mengekang serangan pasukan pelawat.
Satu-satunya peluang terbaik Sabah di babak pertama apabila
memperoleh sepakan percuma di luar kotak penalti Kedah pada minit ke-7
namun sepakan leret Esposito tersasar di sebelah kanan pintu gol Kedah.
Kedah mengubah corak permainan dan mula melancarkan gerakan lebih tersusun.
Kedah memperoleh peluang keemasan pada minit ke-50 apabila Mohd. Rafdi Rashid dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Madzalan Emoi.
Bagaimanapun sepakan Selbach ke sebelah kiri pintu gol Sabah berjaya
ditepis keluar penjaga gol berpengalaman Sabah, Khairul Azman Mohamad.
Kedah akhirnya memecah kebuntuan apabila hantaran lantaran lintang
Hoe Guan di sebelah kiri pintu gol Sabah ditanduk cantik Mohd. Khairul
yang tidak dikawal.
Kedah hampir menambah jaringan dua minit selepas itu tetapi Rafdi
yang melakukan larian cantik sekali lagi gagal melakukan penyudah
apabila menendang bola terus ke kaki Khairul Azman