ARKIB : 04/05/1998
S. Ragesh dipuji bantu Kedah
dapatkan tiga mata
PUJIAN harus diberikan kepada
penjaga gol Kedah, S. Ragesh yang menyelamatkan maruah Kedah selepas berjaya
menggagalkan sepakan penalti Negeri Sembilan sekali gus memastikan tiga mata penuh
menjadi milik Hijau Kuning, malam kelmarin, lapor YUSRI SAHAT.
Kemenangan itu menamatkan badi
Kedah yang selama ini kerapkali kecewa ketika bertemu Negeri Sembilan pada
musim lalu.
Hujan rahmat yang membasahi
bumi Alor Setar yang gersang sejak beberapa bulan lalu seolah-olah memberi
petanda bahawa kegersangan gol Kenari kini telah berakhir.
Kemenangan itu menyelamatkan
Kedah dari terus tersungkur ke tangga lebih corot sebaliknya melonjakkan Kedah
dari tangga kelapan kepada tangga ketiga selepas memungut sepuluh mata dari
enam perlawanan.
Kejayaan itu sekali gus
mengubat luka penyokong Kedah yang kecewa dengan prestasi menurun Hijau Kuning
sejak seri 0-0 dengan Olimpik 2000 dan tewas kepada Brunei 1-3 di Bandar Seri
Begawan minggu lepas.
Mohd. Shariff yang tidak
henti-henti memuji kecemerlangan Ragesh selepas perlawanan berpuas hati dengan
persembahan yang dipamerkan oleh penjaga gol tersebut yang berjaya menafikan
beberapa percubaan lawan.
''Dia bertindak cemerlang malam
ini (kelmarin) walaupun pasukan lawan memberi asakan demi asakan terhadapnya,''
katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Pada perlawanan malam kelmarin,
Ragesh menjadi wira Kenari apabila berjaya menampan sepakan penalti dari
penyerang Rusa, Gus Cerro pada minit ke 77 selepas Roslan Abdul Rahim
mengkasari Ching Hong Aik.
Penyerang dari Brazil, Andre
Luis Nascimento menambah derita Rusa apabila beliau menjadi pemusnah Negeri
Sembilan selepas berjaya membolosi gawang lawan pada minit ke-66.
Menurut Mohd. Shariff, prestasi
Ragesh yang lebih banyak memanaskan bangku simpanan musim lalu, kini lebih
meyakinkan sejak tiga atau empat pertemuan lalu.
Katanya, jumlah gol bukanlah
menjadi ukuran baginya tetapi tiga mata yang dipungut di atas kemenangan itu
sudah cukup memuaskan hatinya.
Bagaimanapun, katanya, beberapa
kelemahan perlu diperbaiki terutama di bahagian tengah sebagai persediaan
bertemu Sabah di Kota Kinabalu dan Sarawak di Alor Setar pada perlawanan akan
datang.
''Gerakan yang dilakukan oleh
pemain Kedah terlalu pantas sehingga mengakibatkan Zulfatah Dzulkarnain kerap
offside walaupun bukan diperangkap oleh lawan,'' katanya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0504&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4JG85ZIoh
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan