Selasa, 13 September 2016

Kedah cerah ke akhir

ARKIB : 22/07/1998
KEDAH mencerahkan laluan ke peringkat akhir apabila menang tipis ke atas Sabah 1-0 pada perlawanan separuh akhir pertama bola sepak Piala FA di Stadium Darulaman, Alor Setar, malam tadi, lapor YUSRI SAHAT.

Jaringan tunggal Mohd. Nidzam Adzha Yusoff pada minit ke-63 itu bagaimanapun masih belum selamat bagi Kedah yang akan bertandang ke Negeri Di Bawah Bayu itu bagi menghadapi perlawanan kedua pada 4 Ogos ini.

Hujan yang turun mengiringi perlawanan yang disaksikan 3,000 penonton telah memperlahankan rentak permainan kedua-dua pasukan.

Sabah berjaya mengubah rentak permainan menjadi lebih bertenaga selepas mendapat peluang terbaik pada minit ke-20 melalui gerakan satu dua yang dicipta oleh Burhan Ajoi dan Mohd. Romzie selepas berjaya melepasi benteng pertahanan Kedah.

Romzie yang merupakan pemain pertahanan Sabah hanya gagal melepasi S. Ragesh yang keluar dari kawasan gawang untuk menolak bola ke atas bagi menyelamatkan keadaan.

Serangan kilat Sabah itu menyentap semangat Hijau Kuning untuk melakukan asakan demi asakan, namun setiap serangan menemui kebuntuan.

Romzie sekali lagi mengambil kesempatan terhadap kelemahan pertahanan Kedah dengan melakukan larian secara solo ke arah pintu gol pada minit ke-28, namun S. Ragesh tetap menjadi penghalang utama Romzie.

Kenari hampir pasti memperoleh gol pendahuluan pada saat- saat akhir babak pertama selepas Zulfatah Dzulkarnain menerima umpanan dari Andre Luis Nascimento, namun sepakannya hanya menyaksikan bola terkena palang.

Babak kedua tuan rumah memasukkan Mohd. Rafdi Mohd. Rashid menggantikan Mohd. Farouk Ismail dalam usaha menajamkan lagi jentera serangan.

Percaturan yang dibuat jurulatih Kedah, Fisol Abdul Razak nyata berjaya mengubah nasib Kedah apabila berjaya mendapatkan gol.

Penyerang, Mohd. Nidzam Adzha meledakkan gol Kedah selepas melakukan larian solo dari bahagian tengah padang lalu melepaskan satu sepakan kencang dari jarak 25 meter untuk menewaskan Khairul Azman Mohamad.

Di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, pasukan tuan rumah gagal menggunakan kesempatan beraksi di tempat sendiri apabila seri tanpa jaringan dengan Johor pada satu lagi perlawanan separuh akhir.

Kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan, tetapi Johor lebih banyak menguasai permainan dan kerap mengasak ke kubu Kuala Lumpur.

Skuad warga kota harus berterima kasih kepada penjaga golnya, Azmin Azram Aziz yang menyelamatkan sekurang-kurangnya lima percubaan bahaya Johor.

Keputusan itu mengecewakan Kuala Lumpur yang akan bertandang ke Johor Bahru untuk separuh akhir kedua, 4 Ogos ini sebaliknya melegakan Johor yang mempunyai kelebihan bermain di tempat sendiri.

Sementara itu di Stadium Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan, pasukan tuan rumah Brunei membenam Negeri Sembilan 4-0 pada perlawanan Liga Perdana Satu.

Gol Brunei dijaringkan oleh Brian Iman pada minit ke-26, Zannoun Farouk (44), Irwan Mohamad (52) dan Rosanan Samak minit ke-89.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0722&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4K9LN1pbu © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan