WAN MOHD NOOR
HAFIZ WAN MANSOR
18 SEPTEMBER 2016
Kedah kenduri gol
malam tadi
KEDAH menepati
pilihan ramai apabila mara kelompok empat terbaik Piala Malaysia 2016 selepas
menyingkirkan Negeri Sembilan di peringkat suku akhir dengan agregat 5-0 di
Stadium Darul Aman, di Alor Star malam tadi.
Shane Edward
Smelwtz menceriakan lebih 25,000 penyokong setia tuan rumah apabila menanduk
cantik hantaran Rizal Ghazali menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan, Syed
Adney Syed Hussein untuk meletakkan Kedah di hadapan 1-0 pada minit ke-24.
Tersentak dengan
jaringan itu, Hoben Jang Hoben kembali mengatur serangan dan penyerangnya,
Goran Jerkovic mencuba dari jarak jauh selang empat minit kemudian tetapi mudah
dibaca oleh penjaga gol Hijau Kuning, Ifwat Akmal.
Shane terus
membuktikan sentuhannya di hadapan pintu gol lawan cukup berbisa apabila menjaringkan
gol kedua pada minit ke-32 selepas menerima hantaran pendek Syazwan Zainon
untuk meletakkan tuan rumah di hadapan 2-0.
Dua gol yang
diperolehi oleh Kedah bagaikan tidak cukup buat mereka malah terus mengasak
kubu lawan dengan melakukan asakan dari arah kiri dan kanan kubu lawan.
Hasilnya, Thiago
Augusto Fernandes meletakkan Kedah semakin selesa dengan gol ketiga pada minit
ke-37 selepas satu serangan balas melalui Syazwan Zainon yang berjaya
disudahkan dengan baik penyerang Brazil itu untuk kedudukan tuan rumah di
hadapan 3-0 sehingga tamat separuh masa pertama.
Hijau Kuning yang
mahu memastikan slot separuh akhir menjadi milik mereka terus garang sebaik
babak kedua bermula dan Thiago menjarakkan lagi kedudukan kepada 4-0 apabila
berjaya menampan bola ke dalam gol lawan hantaran Syazwan Zainon selepas empat
minit separuh masa kedua bermula.
Menuju penghujung
perlawanan, Liridon Krasniqi menokhtahkan malam kegemilangan Hijau Kuning
apabila menjaringkan gol kelima pada minit ke-86 menerusi sepakan percuma
menarik dari jarak 20 meter untuk keputusan penuh 5-0
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 18 SEPTEMBER 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan