ARKIB : 26/05/1998
Kedah tolak tuah
KEDAH mengekalkan rekod tanpa
kalah di gelanggang sendiri apabila seri 3-3 dengan Pahang dalam perlawanan
Perdana Satu di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam tadi.
Walaupun tanpa tonggak utama,
Andre Luis Nascimento yang digantung permainan selepas menerima kad merah
ketika bertemu Selangor, namun skuad Kenari hampir menewaskan pendahulu liga
itu, selepas mendahului 3-2 pada separuh masa pertama.
Kedah mendahului 1-0 menerusi
Mohd. Farouk Ismail selepas beliau berjaya melepasi pertahanan Pahang sebelum
menewaskan penjaga gol, Mudzar Mohamad, hanya enam minit selepas permainan
bermula.
Bagaimanapun dalam kegembiraan
mendahului Pahang, Kenari dikejutkan dengan jaringan penyamaan Mohd. Ali Md.
Tahar selepas berlaku perebutan di hadapan gol Kedah.
Kedua-dua pasukan kemudiannya
terus melakukan serangan dalam permainan yang agak pantas dan menyaksikan
beberapa percubaan berbahaya.
Pahang mengundang padah pada
minit ke-22 apabila pemain pertahanannya, Ahmad Shukri Mustaffa membuat asakan
keras dari belakang terhadap Nidzam Adzha Yusoff di dalam petak penalti.
Kane Mamadou yang mengambil
sepakan penalti menyepak bola ke penjuru kanan Pahang untuk menewaskan Mudzar
bagi gol kedua Kedah.
Kegembiraan Kedah mendahului
Pahang tidak lama apabila Melnikov Viatcheslav tidak mensia-siakan kelalaian
pertahanan Kedah yang membiarkannya di hadapan gawang gol.
Kedah mendapat gol ketiga
apabila Zulfatah Dzulkarnain yang masuk menggantikan Nidzam Adzha membuka ruang
untuk Carlos Roberio menyumbat gol ketiga Kedah pada minit ke-38.
Selepas lama terhibur
mendahului pasukan lawan, Kedah dikejutkan pada minit ke-79 apabila kesilapan
Kane Mamadou yang memberi laluan kepada Melnikov untuk gol penyamaan hasil
hantaran Azizul Kamaludin.
Mamadou yang membantah
keputusan pengadil selepas gol Pahang itu dilayangkan kad kuning oleh pengadil,
Abdul Ghani Ishak. Begitu juga dengan ketua pasukan, Radhi Mat Din turut
dikenakan kad kuning, yang pertamanya kerana membantah keputusan pengadil.
Oleh: MARZUKI MOHAMAD
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0526&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4JqRM7lGF
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan