Jumaat, 30 September 2016

Kemaruk gol



Rodly Fadly
sukan@hmetro.com.my
 
Kuala Lumpur: Penyerang import Kedah Thiago Augusto Fernandes sudah bersedia merobek gawang Polis Diraja Malaysia (PDRM) apabila kedua-dua pasukan bertemu pada separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, esok.

Empat jaringan dalam dua perlawanan terakhir Kedah, baru-baru ini, menambahkan keyakinan pemain berkenaan dia sudah kembali menemui sentuhan gol dengan PDRM menjadi sasaran seterusnya.

“Dua gol ketika mengalahkan Negeri Sembilan 5-0 pada suku akhir kedua Piala Malaysia dan dua lagi ke atas Terengganu dalam Liga Super hujung minggu lalu memberi saya keyakinan serta semangat baru.

“Saya gembira menemui semula sentuhan gol selepas agak sukar melakukannya pada awal penampilan bersama Kedah dulu. Ketika itu, saya baru pulih daripada kecederaan dan memerlukan masa untuk kembali cergas selepas berehat enam bulan.

“Pada masa sama, saya masih dalam proses menyesuaikan diri dengan corak permainan Kedah terutama gandingan bersama rakan penyerang, Shane Edward Smeltz.

“Tapi, sekarang, saya sudah 100 peratus cergas serta semakin serasi dengan rakan sepasukan. Saya dan Shane sudah saling memahami corak permainan masing-masing sehingga menghasilkan banyak gol,” kata Thiago.

Setakat ini penyerang dari Brazil itu sudah menjaringkan lapan gol dalam semua pertandingan dan mahu menambah jumlah itu dalam perlawanan menentang PDRM. Namun dia akui tugas itu tidak semudah kata-kata.

“Impian saya adalah membawa Kedah ke final dan seterusnya menjuarai Piala Malaysia musim ini. Sudah tentu untuk mencapai sasaran itu, kami mesti terlebih dulu mengetepikan PDRM di separuh akhir.

“PDRM bukan pasukan yang mudah ditewaskan. Mereka juga memiliki pemain hebat. Apatah lagi ini perlawanan separuh akhir dengan setiap pasukan akan memberikan persembahan terbaik,” ujar Thiago.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2016 @ 8:53 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan