Isnin, 19 September 2016

Lang Merah tekad julang Piala Malaysia

21 OGOS 2016
 Lang Merah
Lang Merah Pemain Kedah meraikan jaringan gol kedua pasukan itu pada saingan Piala Malaysia di Stadium Negeri kelmarin
KEDAH menaruh harapan tinggi untuk muncul juara Piala Malaysia musim ini susulan kemenangan bergaya 3-0 ke atas Sarawak, kelmarin.

Penolong Pengurus Kedah, Shafarizan Baderon berkata, kemenangan mata penuh ke atas Sarawak bukannya mudah untuk dicapai sekali gus membolehkan Kedah muncul juara Kumpulan A untuk mara ke suku akhir saingan.

“Insya-ALLAH kita akan membawa pulang Piala Malaysia ke bumi Kedah untuk dihadiahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang merupakan peminat nombor satu pasukan bola sepak negeri Kedah.

“Ia juga untuk Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah selaku presiden Persatuan Bolasepak Kedah yang sentiasa membantu kami,” katanya kepada selepas Kedah menang 3-0 ke atas Sarawak dalam perlawanan terakhir Kumpulan A di Stadium Negeri di Petra Jaya, di sini malam kelmarin.

Katanya, Kedah akan bertandang ke Stadium Paroi, Negeri Sembilan pada 27 Ogos ini untuk aksi suku akhir dan 17 September di Alor Setar untuk perlawanan timbal balik.

Mengulas perlawanan tersebut, Shafarizan berkata, beliau sangat berpuas hati dengan persembahan pemain di bawah bimbingan ketua jurulatih Tan Cheng Ho.

Kali terakhir Kedah muncul juara Piala Malaysia ialah pada tahun 2008.

Sementara itu, Sarawak yang awal lagi sudah terkeluar daripada saingan suku akhir hanya menurunkan pasukan keduanya dengan merehatkan semua pemain import dalam perlawanan itu.

Strategi itu dipercayai digunakan bagi membolehkan pemain utama bebas daripada kecederaan untuk menghadapi baki dua perlawanan Liga Super menentang Selangor dan Kelantan.

Sarawak kini menduduki tangga ke-10 Liga Super dan perlu memenangi baki dua perlawanan tersebut untuk kekal dalam saingan Liga Super musim depan. - Bernama

SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE  21 OGOS 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan