WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR,
Foto: ARENA HIJAUKUNING
24 September 2016
Hijau Kuning: Satu lagi mata
BERJAYA menyingkirkan Kelantan
di peringkat suku akhir Piala Malaysia 2016 membuka mata kem Hijau Kuning
bahawa PDRM bukanlah kelab yang tidak perlu diberi perhatian malah kejutan akan
terus berlaku jika Kedah tidak berwaspada.
Itu reaksi spontan Ketua
Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe berkenaan lawan mereka yang akan dihadapi pada
separuh akhir pertama 30 September ini di Stadium Darul Aman dan aksi timbal
balik pada 15 September di Stadium Hang Jebat.
Bagaimanapun, sebelum itu
mereka terlebih dahulu berdepan Terengganu pada aksi Liga Super 2016 di Kuala
Terengganu, malam ini, dalam usaha untuk terus kekal di tangga ketiga.
Kedah dalam misi mengutip satu
mata sahaja lagi untuk mengesahkan kedudukan itu biarpun pasukan masih berbaki
satu lagi perlawanan akhir liga menentang Felda United pada 22 Oktober depan.
Mengumpul 34 mata setakat ini
iaitu berkelebihan tiga mata di hadapan Selangor yang berada di tangga keempat,
Kedah berpeluang besar untuk mengekalkan kedudukan semasa mereka sekiranya
mencapai keputusan positif malam ini.
TIADA MASALAH
BERDASARKAN perlawanan ketika
menang besar dengan agregat 5-0 ke atas Negeri Sembilan pada suku akhir Piala
Malaysia 2016 baru-baru ini, Hijau Kuning dijangka tidak berdepan masalah untuk
menjadikan Terengganu sebagai mangsa seterusnya sekiranya berjaya mengekalkan
prestasi semasa mereka.
Sang Penyu yang kini satu mata
di atas dua pasukan terakhir iaitu Pulau Pinang (18 mata) dan Pahang (14 mata)
juga dilihat akan berusaha bermati-matian untuk mengelak mereka tewas kepada
Hijau Kuning kerana sudah pasti tidak mahu terperosok ke kelompok penyingkiran.
Perkara ini yang sering
dilaungkan oleh Cheng Hoe kepada pemain-pemainnya agar tidak memandang rendah
kepada pasukan lawan malah Kedah sendiri yang akan berputih mata jika gagal
mengekalkan momentum tinggi yang berjaya dipamerkan sebelum ini.
Rata-rata pemain telah
menunjukkan prestasi yang menakjubkan terutamanya di posisi serangan apabila
gandingan Thiago Augusto Fernandes - Shane Edward Smeltz semakin berbahaya dan
menemui sentuhan gol sejak beberapa perlawanan lalu.
CEMERLANG
KEDAH juga cemerlang dalam
mengamalkan corak permainan tempo laju menggunakan pemain sayap seperti Baddrol
Bakhtiar dan Syazwan Zainon manakala Liridon Krasniqi dan Amirul Hisham Awang
Kechik sering menguasai bahagian tengah perlawanan.
Turut mendapat pujian adalah
posisi pertahanan yang diterajui ketua pasukan, Khairul Helmi Johari
bergandingan bersama Bang Seung Hwan kerap mematahkan serangan berbahaya lawan
manakala Rizal Ghazali dan Ariff Farhan Md Isa pula berfungsi dengan baik membantu
melakukan serangan pantas ke kubu lawan dan kembali berkampung dengan cepat
sekiranya kubu mereka diasak.
Sumber-SINAR HARIAN ONLINE 24 September 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan