ARKIB : 28/07/1998
SKUAD Kenari yang berazam
memburu tangga ketiga Liga Perdana Satu, kembali ceria dan bertenaga setelah
Mohd. Nidzam Adzha Yusoff dan Zulfatah Dzulkarnian dikeluarkan daripada senarai
kecederaan.
Keupayaan kedua-dua pemain yang
turun semula ke gelanggang sudah menampakkan sedikit penghasilan, membantu
perkukuhkan kedudukkan Kedah, apabila berjaya menumpaskan Selangor 2-0, di Alor
Setar, Sabtu lalu.
Bagaimanapun, selang tiga hari,
Hijau Kuning, berdepan dengan pendahulu liga, Pahang di Stadium Darul Makmur,
Kuantan, malam ini (28 Julai), yang menjadi ujian sebenar di sebalik kehadiran
Nidzam dan Zulfatah.
Pengurus pasukan Kedah, Datuk
Mohd. Shariff Abu Samah juga mengakui bahawa penyertaan semula tonggak utama
Kedah itu, melapangkan dadanya serta juga kepada jurulatih, Fisol Razak.
Menurutnya, ini dapat
memantapkan keupayaan Kedah, khususnya ketika berdepan dengan Pahang dan
berharap jentera pasukan dapat mengulangi cemerlangan ketika bertemu Selangor
untuk mencipta kemenangan.
Beliau menambah, pada
pertarungan dengan Selangor, pemain-pemain Kenari berjaya mengikut kehendak
pengurusan skuad, khususnya Fisol, dengan meningkatkan mutu persembahan terbaik
mereka.
Matlamat Hijau Kuning pada
pertemuan itu, katanya ialah mengutip mata penuh dan setiap pemain harus
menguatkan keazaman untuk mengelakkan keputusan seri seperti pada pusingan
pertama atau sebaliknya, kalah.
Berbalik tentang Nidzam dan
Zulfatah, berdasarkan kepada prestasi terakhir menentang Selangor, sebelum ini,
ternyata selain beberapa tonggak utama lain, kedua-dua mereka menjadi sandaran
kepada Kenari.
Hasil daripada itu, pintu gol
Selangor sentiasa bergegar dan menjadi pendorong kepada Andre Luis Nascimento
yang bejaya menyumbat kedua-dua gol pada minit ke-37 dan 77.
Pada perlawanan pusingan
pertama di Alor Setar 26 Mei lalu, Kedah yang turun tanpa Andre Luis
Nascimento, berkongsi mata setelah seri 3-3 dengan Pahang.
Apa yang menarik, mampukah
penyumbang gol Kedah pada pertemuan itu ialah Mohd. Farouk Ismail, Kena Mamadou
dan Carlos Roberio sementara Pahang pula menerusi Mohd. Ali Tahir, Melnikov
Viatcheslav (dua gol), mengulangi cemerlangan mereka kali ini?
Namun demikian, seandainya
Kedah mahu terus mencapai impiannya itu, sudah seharusnya semua pemainnya
mempunyai peranan dan bersemangat waja, tidak harus mengulangi kelalaian dan
kesilapan seperti pada pusingan pertama tempoh hari.
Oleh: MARZUKI MOHAMAD
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0728&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4KBWXYG7S
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan