ARKIB : 25/07/1998
LALUAN Kedah dalam persaingan
Piala FA dan Perdana Satu masih berliku dan berduri, berikutan keupayaan dan
kemantapan Kenari semakin lemah longlai di saat penghujung berbanding ceria di
awal pertandingan.
Ketua jurulatih Kedah, Fisol
Razak mengakui bahawa antara kedua-dua buah piala memang ada perbezaan, tetapi
pihaknya tetap menjadikan persaingan yang seimbang sebagai fokus utama.
Menurutnya pada percaturan
Piala FA, yang penting kepada Hijau Kuning ialah bekalan yang cukup, sementara
dalam Perdana Satu, kedudukan pasukan dan jaminan tempat ke pusingan Piala
Malaysia.
Bagaimanapun, beliau mengakui
bahawa kemerosotan Kenari di akhir-akhir ini adalah kerana sebilangan besar
pemainnya masih dalam senarai kecederaan.
''Cuba bayangkan pada satu
ketika terdapat enam pemain kita tidak boleh bermain kerana kecederaan dan ini
memaksa saya merombak dan menentukan pemain dalam keadaan serba kekurangan,
''katanya.
Dalam pada itu, katanya,
pemain-pemain pasukan Kenari juga sentiasa dalam keadaan tertekan dan letih
kerana jadual perlawanan yang terlalu ketat iaitu bermain lapan perlawanan
tanpa berhenti.
Beliau berkata, kadang-kadang
pihaknya hanya sempat untuk melatih satu sesi sahaja. Ini juga mengundang
banyak risiko kerana jika kalah, moral jatuh merudum.
''Kita terpaksa mengambil masa
bukan sahaja untuk memulih corak permainan tetapi juga dari segi mental di
samping menentukan pertukaran pemain yang sesuai dalam satu-satu perlawanan
itu, ''katanya.
Dalam pada itu, katanya, faktor
lain juga perlu diambil kira seperti pemain-pemain leka, hilangan tumpuan,
tidak ikut arahan dan selebihnya pemain itu sendiri melakukan gerak kerja
dengan betul.
Sungguh pun begitu, bagi Piala
FA, Kedah masih di persimpangan sekali pun sudah mencatat kemenangan tipis 1-0
ke atas Sabah, pada peringkat separuh akhir pertama di Alor Setar 21 Julai
lalu.
Kini baki 90 minit lagi yang
akan menjadi penentu masih merisaukan pengurusan skuad kenari berikutan bekalan
yang diperoleh di gelanggang sendiri seperti yang dihasratkan tidak mencapai
matlamatnya.
Beliau mengingatkan anak-anak
buahnya supaya mengambil iktibar daripada perlawanan suku akhir menentang
Melaka, apabila mereka menang 5-0 di Melaka, tetapi tewas teruk 1-5 pada
pusingan kedua di Alor Setar.
Walaupun layak ke perlawanan
separuh akhir dengan agregat 6-5, namun Kedah mencipta aib di gelanggang
sendiri sehingga penyokong sendiri mengalih sokongan kepada pasukan pelawat,
Melaka.
Sementara bagi perlawanan
Perdana Satu, Hijau Kuning terus tercicir dari tangga ketiga ke tangga keempat
dengan 28 mata, di belakang Pahang, Pulau Pinang dan Brunei, setelah tewas
teruk 1-4 kepada Sarawak, Ahad lalu.
Persoalannya sekarang, apakah
Kedah mampu melakukan sesuatu pada baki tiga perlawanan iaitu menentang
Selangor di Alor Setar (25 Julai), Pahang di Kuantan (28 Julai) dan akhir
sekali dengan Perak di Alor Setar pada 1 Ogos ini.
Oleh: MARZUKI MOHAMAD
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0725&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4K9PUDet2
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan