ARKIB : 11/04/1999
SELEPAS berputih mata beberapa
kali di gelanggang sendiri, Kedah akhirnya memungut tiga mata penuh apabila
menewaskan Sarawak 4-0 dalam perlawanan bola sepak Liga Perdana Satu di Stadium
Darul Aman, Alor Setar, semalam.
Pemain muda Kedah, Nurul Ahyat
Elias, Ahmad Zalghafari Manaf dan Cheah Kean Seng masing-masing merembat satu
gol untuk Kedah mendahului Sarawak 3-0 manakala satu gol lagi disumbat pemain
senior, Zulfatah Dzulkarnain pada minit ke-74.
Minit awal permainan menyaksikan
kedua-dua pasukan cuba mencari ruang untuk menembusi pertahanan lawan tetapi
tidak ada serangan yang mantap.
Sarawak hampir mendapat gol
pertama menerusi tendangan percuma yang diambil oleh Bobby Chua apabila bola
melintas di hadapan gawang tetapi Mohd. Amran Omar menangkap kemas bola sambil
beberapa pemain Sarawak cuba menanduk masuk bola.
Tetapi pada minit keenam, Kedah
yang baru sahaja dicemaskan dengan cubaan Sarawak itu, menggegarkan stadium
apabila mendahului pelawat 1-0.
Gol bermula dengan gerakan
cantik di bahagian tengah dengan Radhi Mat Din melorongkan bola ke hadapan
gawang dan Nurul Ahyat menyempurnakan cubaan itu untuk menewaskan Mazlan Wahid.
Gerakan-gerakan tuan rumah
sering dipatahkan dengan asakan keras pemain Sarawak dan memaksa pengadil Mohd.
Jamil Zakaria memberi tendangan percuma kepada Hijau Kuning.
Bagaimanapun pemain tuan rumah
terus membuat serangan hinggalah minit ke-40 apabila Kedah sekali lagi mendapat
gol.
Ahmad Zalghafari yang
diletakkan harapan untuk menjaringkan gol skuad Kenari sekali lagi menjadi
perhatian penonton apabila menambah gol kedua pasukan tuan rumah.
Kean Seng dari kanan padang
menolak cantik bola kepada Zalghafari yang berada dalam kedudukan selesa di
hadapan gol Sarawak bagi menewaskan Mazlan.
Pada minit awal permainan
separuh masa kedua, Ahmad Zalghafari sekali lagi mencemaskan Sarawak apabila
menerima bola di hadapan gol tetapi sepakannya tersasar keluar.
Walaupun mendahului 2-0, pemain
Kedah terus membuat serangan agar peristiwa ketika menentang Kuala Lumpur Sabtu
lalu tidak berulang.
Dalam perlawanan itu, Kedah
mendahului Kuala Lumpur 2-0 tetapi pasukan pelawat mendapat gol penyamaan pada
minit terakhir permainan dan akhirnya keputusan memihak kepada Kuala Lumpur
yang menang penalti 11-10.
Sarawak turut membuat beberapa
percubaan khususnya melalui Ramos Sari di sebelah kanan tetapi tidak ada
serangan berbahaya untuk menguji Mohd. Amran Omar.
Dalam cubaan Sarawak
mendapatkan gol, Ahmad Zalghafari seperti menjadi duri kepada Sarawak apabila sesekali
mendapat bola untuk membolosi pertahanan pasukan pelawat.
Tolakannya kepada Azrin Shah
Zainal pada minit ke-65 membuahkan hasil apabila membuka ruang untuk Cheah Kean
Seng meluru ke depan merembat gol ketiga skuad Kenari.
Pada minit ke-76 pula, Zulfatah
Dzulkarnain yang masuk menggantikan Nurul Ahyat menambah gol Kedah selepas
melarikan bola secara solo di hadapan gol Sarawak untuk menewaskan Mazlan.
Sarawak terus membuat asakan
dan beberapa percubaan mencemaskan tetapi Mohd. Amran bertindak cemerlang.
KEDAH: Mohd. Amran Omar, Adrien
Jurad, Mohd. Farouk Ismail Cheah Kean Seng, M. Raizuwah Idris, Mohd. Feriza
Ismail, Roslan Abd. Rahim, Radhi Mat Din, Nurul Ahyat Elias (Zulfatah
Dzulkarnain), Ahmad Zalghafari Manaf (Rafiz Abu Bakar), Azrin Shah Zainal
(Mohd. Izham Abas).
SARAWAK: Mazlan Wahid, Mohd.
Zaidil Sakup, Dahlan Matussin, Jeferry Lana (Roziman Rambli), Bobby Chua,
Ibrahim Mentali (Abang Zaafari), Mohd. Ali Sapiee, Bobby Pian, Ramles Sari,
Ramos Sari (Efandi Sugandi), Mohd. Safri Amit.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0411&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RTFgZ5aM
© Utusan Melayu (M) Bhd