RIZAL (kanan) bersyukur Kedah layak ke final.
Izzali Ismail
sukan@hmetro.com.my
Alor Setar: Pertahanan Kedah, Rizal Ghazali menganggap kemenangan agregat 2-1 ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan layak ke final Piala Malaysia suatu rezeki yang dinanti-nanti.
Pertahanan kanan yang baru menyambut hari ulang tahun kelahiran ke-24 pada 1 Oktober lalu berkata, dia amat bersyukur kerana Kedah berjaya layak hingga ke final selepas menempuh 10 perlawanan dalam Piala Malaysia yang bermula Julai lalu.
“Kami menempuh kisah suka dan duka serta pengorbanan yang dilalui dalam cabaran getir sepanjang perjalanan perlawanan sejak dari awal musim lagi membabitkan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia kini yang sudah sampai ke kemuncaknya.
“Kami pernah dikritik setiap kali sasaran yang kami mahukan tidak seperti keputusan yang kami peroleh dan kami juga dipuji melambung setiap kali mencatat keputusan cemerlang.
“Inilah bola sepak dan kami harus menyahut cabaran kali ini dengan cekal dan tabah dalam menghadapi apa juga cabaran yang akan kami tempoh untuk bertemu Selangor di final nanti,” katanya.
Rizal berkata, ketika kali pertama beraksi di pentas final Piala Malaysia bertemu Selangor tahun lalu dia dapat berasakan semangat yang begitu memuncak, ketara dan perasaan sangat dekat untuk pasukan Kedah mengenggam piala itu tetapi sayang hajat itu tidak kesampaian.
“Pastinya hajat kami sebagai pemain Kedah kali ini mahukan Piala Malaysia dibawa pulang ke Kedah selepas kali terakhir berjaya menjuarainya pada 2008.”
Pemain berasal dari Baling itu mula menyertai Kedah pada 2014 selepas beraksi dengan Perlis (2011 hingga 2013) dan mula menyarung jersi Harimau Malaysia tahun ini.
Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2016 @ 9:27 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan