Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
CHENG HOE (dua dari kanan) mahu
para pemain memberikan komitmen 100 peratus dalam misi Kedah menewaskan
Selangor pada aksi final di Shah Alam malam ini.
JURULATIH Kedah, Tan Cheng Hoe
seolah-olah memberi bayangan bahawa skuad kendaliannya tidak rela lagi
dikecewakan oleh Selangor pada aksi final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam
malam ini.
Cheng Hoe menegaskan, menjulang
Piala Malaysia menjadi satu kepuasan tidak terkata apabila bekas pembantu
jurulatih Harimau Malaysia itu mengakui skuad Helang Merah terdesak untuk
memenangi piala paling berprestij dalam Liga Malaysia (Liga M).
Musim lalu, Kedah layak ke
final tetapi kecundang 0-2 kepada skuad Gergasi Merah menerusi dua gol Ahmad
Hazwan Bakri, sekali gus menyaksikan Selangor muncul pasukan Liga M paling
berjaya dalam sejarah Piala Malaysia dengan memegang status juara sebanyak 33
kali.
Tahun ini, Cheng Hoe yang
mengharapkan hujan lebat tidak berlaku pada aksi malam ini seperti tahun lalu
mengakibatkan persembahan pasukannya sedikit terencat sebelum tewas kepada
Selangor, memberikan bayangan bahawa pasukan bimbingannya sudah bersedia untuk
melakarkan kejutan terhadap juara bertahan itu.
“Mana-mana pasukan di Malaysia
ingin bermain di final kerana Piala Malaysia begitu berprestij di negara ini.
“Tahun lepas (dalam aksi final
Piala Malaysia) hujan lebat dan mungkin banyak menjejaskan corak permainan kita
tetapi itu bukan alasan. Saya berharap cuaca hari ini (semalam) tidak hujan,
jadi pemain-pemain sudah bersedia bermain di Shah Alam.
“Sepanjang seminggu latihan,
saya nampak para pemain menikmati motivasi tinggi dan diharapkan mereka dapat
memberikan komitmen 100 peratus kepada perlawanan (menentang Selangor) nanti.
“Saya juga harap pemain-pemain
dapat memberikan lebih baik berbanding aksi sebelum ini,” katanya pada sidang
akhbar di Stadium Shah Alam semalam.
Dalam perkembangan sama, Cheng
Hoe menggambarkan pertemuan final Piala Malaysia dengan Selangor bukanlah ‘aksi
membalas dendam’ sebaliknya menyifatkan perlawanan ‘ulangan’ final apabila
Kedah yang muncul juara sebanyak empat kali sejak kejohanan itu diperkenalkan
pada 1921, bakal turun dengan keyakinan tinggi menentang skuad kendalian K.
Gunalan.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1030&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4OWgWHsJO
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan