Isnin, 31 Oktober 2016

Dendam berbalas!

Rizal sempurnakan gol tunggal, penalti kemenangan
FADHILUL IZMEL ISHAK DAN ROZAIDI ZULKIFLI  |  31 Oktober 2016 2:18 AM

GELAGAT penyokong Kedah yang menconteng muka ketika menonton final Piala Malaysia menentang Selangor, semalam.

SHAH ALAM 30 Okt. - Setahun selepas dikecewakan Selangor 2-0, Kedah memadam igauan buruk itu apabila melunaskan dendam ke atas Red Giants pada perlawanan paling mencemaskan dalam sejarah Piala Malaysia apabila menang menerusi penentuan sepakan pe­nalti 6-5 di Stadium Shah Alam, hari ini.

Pemain pertahanan, Rizal Ghazali muncul wira Kedah apabila meledak gol tunggal pasukannya, sebelum me­nyempurnakan sepakan penalti kemenangan untuk menghadiahkan kejuaraan Piala Malaysia kelima buat Lang Merah dan yang pertama selepas lapan tahun.

Kemenangan bagaimanapun berlangsung penuh dramatik sepanjang 90 minit permainan, sehinggalah 30 minit waktu tambahan yang berkesudahan 1-1.

Selepas hampir sedekad memanti, Lang Merah akhirnya berjaya mendakap trofi paling berprestij itu sejak kali terakhir melakukannya pada 2008 di bawah bimbingan Azraai Khor Abdullah.

Kemenangan itu akan diraikan seluruh rakyat Kedah yang diberi cuti umum esok, manakala setiap pemain akan menikmati habuan Rm25,000 setiap seorang.

Apa yang menariknya, kemenangan terakhir Kedah turut diraih dengan mengalahkan Se­langor 3-2 dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Ini adalah kemenangan kelima Kedah selepas muncul juara pada 2008, 2007, 1993 dan 1990, kejayaan yang pasti menceriakan ribuan penyokong Hijau Ku­ning yang sanggup mengharungi perjalanan jauh untuk memberi sokongan kepada pasukan kesayangan mereka.

Biarpun beraksi di atas permukaan padang basah namun situasi tersebut tidak merencatkan aksi bagi kedua-dua pasukan, malah mereka menyajikan permainan menghiburkan kepada penonton.

Kedua-dua pasukan bermula agresif dan saling berbalas serangan, namun Selangor yang turun selaku juara bertahan memiliki lebih banyak peluang pada awal permainan, termasuk tandukan penyerang kebangsaan, Ahmad Hazwan Bakri yang melewati palang gol pada minit keempat.

Kedah tidak menunggu lama apabila mengasak benteng Selangor selang dua minit kemudian, namun tandukan Smeltz Shane Edward berjaya ditangkap dengan kemas oleh penjaga gol, Khairul Azhan Khalid dan pada minit ke-21, R.Gopinathan mensia-siakan berada di posisi baik untuk meledak gol tetapi terjatuh dalam kotak penalti lawan biarpun sudah melakukan larian yang cantik.

Selepas babak kedua berakhir tanpa jaringan, Lang Merah bermula agresif sebaik sahaja permainan bersambung dan mereka akhirnya memecah kebuntuan dengan menggegar gawang Selangor menerusi Rizal, yang melepaskan rembatan kencang pada minit ke-52.

Kegembiraan penyokong Kedah bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Selangor bertindak balas dengan menyamakan kedudukan menerusi Hazwan hanya lapan minit selepas itu selepas dia memanfaatkan hantaran pendek Patrick Ronaldinho.

Dalam tempoh 15 minit menuju penghujung permainan, Selangor mengatur asakan bertali arus, namun percubaan-percubaan yang dilakukan Andik Vermansah, Hazwan, Ronaldinho atau Gopinathan sama ada gagal menemui sasaran atau dipatahkan penjaga gol, Ifwat Akmal Che Kassim.

Lima minit menghampiri wisel penamat, giliran Kedah melancarkan serangan dan sepakan bebas Liridon Krasniqi mencemaskan seketika benteng Selangor apabila bola terkena tiang.

Pada minit ke-110, Selangor beroleh peluang terbaik menerusi Gopinathan, namun tendangannya sekadar melewati pintu gol.

SUMBER- UTUSAN ONLINE 31.10.2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan