PEMAIN Kedah (jersi kuning)
tidak dapat menahan rasa gembira selepas kejayaan melangkah ke final Piala
Malaysia musim ini hasil kejayaan mengatasi PDRM pada aksi separuh akhir di
Stadium Hang Jebat, Melaka malam kelmarin.
KEDAH tidak mahu kecewa buat kali
kedua apabila sekali lagi berdepan Selangor pada final Piala Malaysia 2016.
Pada edisi tahun lalu, skuad
kendalian Tan Cheng Hoe itu tewas 0-2 kepada pasukan yang sama dan kali ini
mereka tidak mahu ia berulang.
Skuad Helang Merah itu mahu
membalas dendam terhadap kekecewaan pada edisi 2015 lalu dan mereka akan
pastikan trofi berprestij itu akan dibawa ke bumi Kedah musim ini.
Cheng Hoe kini lebih yakin
untuk merealisasikan hajat besar mereka itu selepas kejayaan mengatasi cabaran
skuad Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada aksi separuh akhir kedua di Stadium
Hang Jebat, Melaka malam kelmarin.
Walaupun aksi separuh akhir
kedua itu berakhir seri tanpa jaringan, namun Kedah mara dengan agregat 2-1
hasil kemenangan pada aksi pertama di Alor Setar pada 30 September lalu.
Menurut Cheng Hoe, kejayaan
mereka melangkah ke final buat kali kedua berturut-turut pada kempen Piala
Malaysia membuktikan bahawa Kedah memiliki kualiti tersendiri yang perlu mereka
gunakan sebaik mungkin untuk menghalang misi Selangor.
“Sudah pasti kami gembira
apabila berjaya menempah tiket ke final. Apa yang penting selepas ini adalah
fokus untuk menghadapi perlawanan akhir bertemu Selangor hujung bulan ini.
“Kami mempunyai keyakinan
tinggi untuk melakukan yang terbaik bagi menebus kekecewaan tahun lepas dan
membalas dendam ke atas pasukan yang sama,” kata Cheng Hoe ketika ditemui
selepas perlawanan separuh akhir kedua menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM)
di Stadium Hang Jebat, Melaka malam kelmarin.
Dalam pada itu, Selangor mara
ke final selepas menghampakan T-Team 3-0 pada separuh akhir kedua di Kuala
Terengganu malam kelmarin, sekali gus mara dengan agregat 5-1 selepas menang
2-1 pada aksi pertama di Shah Alam, 1 Oktober lalu.
Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1017&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4NLjDjakS
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan