PENYERANG Kedah, Thiago Augusto
(jersi kuning) diasak keras oleh pemain PDRM, Abd Latif Suhaimi pada aksi
separuh akhir pertama kempen Piala Malaysia 2016 di Stadium Darulaman, Alor
Setar malam tadi yang berkesudahan Kedah menang 2-1.
PASUKAN Kedah mencatat
kemenangan tipis 2-1 ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada perlawanan
separuh akhir pertama kempen Piala Malaysia 2016 di Stadium Darulaman, Alor
Setar malam tadi, lapor ZAID MOHD. NOOR.
Kedah yang berhasrat memburu
gol awal mendapat peluang terbaik pada minit ketiga menerusi pemain import,
Smelt Shane Edward yang mendapat hantaran cantik Baddrol Bakhtiar namun bola
sepakannya tersasar.
Bagaimanapun Kedah berjaya
mendahului perlawanan pada minit ke-7 menerusi sepakan penalti Liridon Krasniqi
selepas Thiago Augusto Fernandez dijatuhkan dalam kotak penalti.
Bagaimanapun kegembiraan
penyokong Kedah tidak berpanjangan apabila tiga minit kemudian, PDRM pula
dihadiahkan sepakan penalti selepas pertahanan tuan rumah, Bang Seungwhan
menjatuhkan penyerang lawan, Christopher Keli dan sepakan tersebut berjaya
disempurnakan dengan baik oleh Guilherme de Paula Lucrecio.
Ketua pasukan PDRM, Mohd.
Safuwan Baharudin yang beraksi cemerlang pada perlawanan itu melakukan sepakan
kencang dari jarak 30 meter pada minit ke-29 namun sedikit tersasar meskipun
penjaga gol Kedah, Mohd. Ifwat Akmal sudah terkeluar daripada posisinya.
Pada minit ke-45, PDRM sekali
lagi memperoleh peluang terbaik untuk menjaringkan gol menerusi Muhd. Fakrul
Airman Sidiq tetapi percubaaannya tidak menepati sasaran.
Pada awal separuh masa kedua,
anak buah Tan Cheng Ho kembali menguasai perlawanan dengan mengatur serangan
bertubi-tubi namun usaha mereka untuk menambah jaringan tetap menemui jalan
buntu.
Peluang Kedah menambah jaringan
hadir pada minit ke-78 apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas Thiago
dijatuhkan oleh penjaga gawang PDRM, Muhammad Haziq Nadzlu dalam kawasan
penalti dan Liridon yang mengambil tugas tersebut mudah menyempurnakannya untuk
membolehkan skuad Helang Merah mendahului 2-1.
Kedua-dua pasukan akan kembali
membuat perhitungan pada 15 Oktober nanti di Stadium Hang Jebat, Melaka.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1001&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4LpKvYPbYHakcipta
terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan