Izzali Ismail
sukan@hmetro.com.my
Alor Setar: Kedah berjaya
memanfaatkan aksi di gelanggang sendiri apabila mengatasi PDRM 2-1 di Stadium
Darulaman malam tadi sekali gus mencerahkan peluang untuk layak ke final Piala
Malaysia buat kali kedua berturut-turut.
Ketiga-tiga gol pada perlawanan
itu terhasil menerusi sepakan penalti dan Helang Merah bimbingan Tan Cheng Hoe
mempamer aksi menarik sambil mendapat sokongan padu kira-kira 30,000 penyokong
setia mereka.
Sejak wisel dibunyikan
pengadil, kedua-dua pasukan saling mengatur serangan untuk memburu gol awal dan
pada minit ketiga, cubaan Shane Edward Smeltz hasil hantaran Baddrol Bakhtiar
sedikit tersasar di kiri gawang pelawat.
Gol pertama Kedah hadir pada
minit ke-8 melalui penalti yang diambil sendiri oleh Thiago Augusto selepas dia
dijatuhkan pertahanan PDRM Mohd Eskandar Ismail.
Selang dua minit, PDRM bangkit
mengikat kedudukan, juga menerusi penalti yang disempurnakan Guilherme De Paula
apabila Christopher Keli dijatuhkan dalam kotak penalti.
Kedah terus melakukan asakan ke
pintu gol PDRM bagi memburu gol tambahan namun gagal menyempurnakan beberapa
percubaan.
PDRM turut mendapat peluang
pada minit ke-28 melalui percubaan kapten pasukan Safuan Baharudin yang
melakukan rembatan jauh namun bola tersasar ke kiri pintu gol Kedah.
Di hujung babak pertama, pemain
pelawat Fakhrul Aiman mencemaskan gawang tuan rumah Kedah namun serangannya
berjaya disekat penjaga gol Kedah Mohd Ifwat Akmal dan kedudukan 1-1 kekal
hingga rehat.
Sebaik babak kedua bermula,
Kedah mendapat sepakan percuma selepas Baddrol dijatuhkan namun cubaan Liridon
Krasniqi berjaya ditepis penjaga gol pelawat Muhammad Naziq Nadzli.
Kedah menggandakan usaha
mengatur serangan namun benteng pertahanan PDRM tetap berjaya mematahkan
serangan.
Gol kemenangan Kedah dihasilkan
Krasniqi selepas dia menyempurnakan penalti yang dihadiahkan pengadil pada
minit ke-78 apabila Augusto dikasari.
Kedua-dua pasukan akan bertemu
pada separuh akhir kedua, 15 Oktober nanti.
Sumber-Artikel ini disiarkan
pada : Sabtu, 1 Oktober 2016 @ 7:08 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan