ARKIB : 18/06/2006
Oleh YUSRI SAHAT dan SHARIZA
ABDULLAH
ALOR STAR - Kedah menamatkan
kemarau trofi sejak 10 tahun lalu apabila muncul juara selepas menewaskan
Melaka 1-0 dalam perlawanan akhir Liga Perdana di Stadium Darul Aman di sini
malam tadi.
Gol tunggal dihasilkan oleh
pemain yang berasal dari Brazil, Paulo Roberto Da Silva pada minit ke-12 yang
sudah cukup menceriakan lebih 30,000 penyokong Hijau Kuning untuk meraikan
kejayaan itu.
Beraksi di hadapan Sultan
Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dan Menteri Besar, Datuk Seri Mahdzir
Khalid di gelanggang sendiri ternyata memberi kelebihan buat Kenari yang
menguasai hampir keseluruhan permainan.
Separuh masa pertama
menyaksikan Melaka lebih banyak berkampung di halaman sendiri apabila tuan
rumah mengasak tidak henti-henti ke kubu lawan.
Da Silva yang mendapat lorongan
daripada Rafiz Abu Bakar melakukan rembatan kencang untuk menewaskan L. Murugan
pada minit ke-12.
Gol semangat itu menjadikan
tonik kepada kesebelasan anak buah Mohd. Azraai Khor Abdullah untuk
menggandakan asakan yang menyaksikan lebih banyak sepakan di luar petak
penalti.
Kedah berpeluang untuk menambah
jaringan pada minit ke-65 menerusi Marcos Magno yang hanya berhadapan dengan
Murugan selepas mendapat hantaran lintang daripada rakan senegaranya, Da Silva.
Namun, sepakan lambung yang dilakukan
oleh Magno melegakan Murugan dan penyokong Melaka.
Ketiadaan penyerang dari
Argentina, Gustavo Fuentes yang mengalami kecederaan nyata amat dirasai oleh
anak buah L. Evarasen yang menghadapi masalah ketumpulan di bahagian serangan.
Kekebalan pertahanan
menggagalkan hampir semua percubaan yang dilakukan oleh jentera serangan Melaka
yang diketuai oleh Luis Fernando dan Maldonado Adrian.
Keceriaan penjaring gol, Dal
Silva tercalar apabila diperintah keluar padang oleh pengadil Yusoff Md. Karim
selepas mengasari pemain Melaka pada waktu kecederaan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0618&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz4lAgIb215
© Utusan Melayu (M) Bhd