Rabu, 25 Januari 2017

Rizal 'bahaya'

 
RIZAL Ghazali.

Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Keraian kemenangan pasukan Kedah menjulang Piala Sumbangsih pada Jumaat lalu bagaikan terganggu apabila tonggak pertahanan kanan Mohd Rizal Ghazali sah akan diheret ke Jawatankuasa Statut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung kontroversinya bersama FELDA United.

Rizal, 25, yang berasal dari Baling, Kedah mencetus kontroversi apabila membuat persetujuan hitam putih menyertai The Fighters beberapa hari sebelum aksi final Piala Malaysia bertemu Selangor, namun membuat ‘pusingan U’ dengan melanjutkan kontrak setahun bersama Kedah.

Tindakan mengkhianati perjanjian awal dengan kelab itu menyaksikan dia kini berada dalam situasi ‘bahaya’ dan kemungkinan boleh digantung kerana melanggar peraturan perpindahan pemain seperti mana pernah berlaku kepada pemain Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Gary Steven Robbat.

Begitupun, hukuman gantung itu hanya antara kemungkinan boleh dikenakan ke atas pemain atau persatuan yang melanggar peraturan serta prosedur perpindahan.

Menurut Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Status FAM Abdul Aziz Yeop Jamaluddin, Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dan Rizal diberi tempoh sehingga 27 Januari ini untuk menjawab tuntutan FELDA itu.

“Kami sudah berikan surat kepada KFA dan Rizal untuk menjawab tuntutan FELDA itu selewat-lewatnya hingga Jumaat ini. Tunggu apa Kedah jawab dan kami akan panggil dalam mesyuarat sebenar selepas itu.

“Saya tak dapat maklumkan apa kandungan afidavit itu namun secara rasminya mereka (FELDA ) sudah menghantar bantahan. Saya percaya segala dokumen diperlukan sudah cukup.

“Malah, sebelum ini kami sudah nasihatkan kepada mereka kalau nak kemukakan afidavit perlu beri bukti kukuh,” katanya ketika ditemui pada taklimat Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) peringkat kebangsaan, di sini, semalam.

Jelasnya, pihaknya berjanji akan menyelesaikan isu itu dengan segera kerana saingan Liga Super baru saja membuka tirai.

“Liga sudah berjalan, jadi kes ini perlu diselesaikan segera. Kami sudah bagi pandangan kepada kedua-dua belah pihak agar menyelesaikan secara elok. Tapi mungkin wujud kebuntuan dan sebab itu afidavit berkenaan dihantar kepada FAM bagi diputuskan,” katanya.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2017 @ 10:37 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan