RIZAL (kanan) cetus kontroversi
sebelum liga bermula.
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Isu ini tidak
akan berlaku jika mereka dari awal lagi berurusan terus dengan kami,” kata
Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Datuk Aminuddin Omar yang
mendakwa FELDA United menggunakan ‘pintu belakang’ untuk mendapatkan
tandatangan tonggak pertahanan Mohd Rizal Ghazali.
Mengakui sudah menerima
afidavit dikemukakan pengurusan FELDA berhubung isu itu, pihaknya akan membalas
kepada Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selewat-lewatnya
esok.
Bagaimanapun, Aminuddin
meluahkan rasa kesalnya dengan tindakan kurang profesional The Fighters yang
disifatkannya punca berlakunya kontroversi itu.
“Saya agak terkilan dengan cara
mereka (FELDA) cuba mendapatkan khidmat Rizal. Sepatutnya mereka berjumpa kami
(KFA) dan bukannya berbincang dengan pemain.
“Adakah mereka lupa Rizal
ketika itu masih pemain kami. Jika perbincangan itu berlaku mengikut saluran
betul, saya yakin isu ini tidak akan berlaku dan dapat dielakkan.
“KFA juga mempunyai perancangan
tersendiri dan kami tidak pernah berhasrat mahu melepaskan Rizal. Apapun, saya
akan serahkan afidavit itu bersama kronologi dan bukti lain bagi mempertahankan
Rizal,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.
Kelmarin, akhbar ini
mendedahkan Jawatankuasa Status FAM sudah menerima afidavit daripada FELDA dan
badan induk bola sepak tempatan itu memberi tempoh sehingga esok untuk KFA
menjawab tuntutan itu sebelum memutuskan tarikh mesyuarat sebenar.
Wira perlawanan akhir Piala
Malaysia itu sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila membuat persetujuan
secara hitam putih untuk menyertai skuad kendalian Azmi Mohamed beberapa hari
sebelum aksi final, biarpun kontraknya masih berbaki sebulan bersama Kedah.
Namun Rizal, 25, membuat
‘pusingan U’ dengan melanjutkan kontrak setahun bersama Kedah sekali gus
menyaksikannya kini dalam situasi ‘bahaya’ dan kemungkinan digantung kerana
melanggar peraturan perpindahan pemain.
“Sedikit sebanyak isu ini
mengganggu fokus kami. Begitupun, saya percaya kes ini bakal memihak kami
kerana namanya sudah didaftarkan di FMLLP (Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak
Malaysia).
“Malah, dia juga sudah bermain
tempoh hari dalam aksi Piala Sumbangsih bertemu Johor DT (Johor Darul Ta’zim).
Saya yakin Rizal tidak akan ke mana-mana dan kami sedia mempertahankannya,”
katanya.
Sumber-Artikel ini disiarkan
pada : Khamis, 26 January 2017 @ 11:36 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan