Khamis, 22 Disember 2016

Giliran Kedah kuasai liga


 

 ARKIB : 20/05/2000
PEMAIN KL Malay Mail, S. Sangar (kanan) berusaha menyekat kemaraan salah seorang pemain Tentera pada perlawanan bola sepak Perdana Dua di Stadium KLFA, Cheras semalam. Tentera menang 1-0. - Gambar RASHID MAHFOF

KEDAH mengukuhkan cengkaman di persada liga selepas menewaskan NS Chempaka 1-0 dalam perlawanan bola sepak Liga Perdana Dua di Stadium Darul Aman, Alor Setar semalam.

Dengan kemenangan itu, Kedah memungut 13 mata daripada enam perlawanan, dengan empat kemenangan dan satu seri.

Gol tunggal tuan rumah dijaringkan oleh Badrul Hisham Abdullah pada minit kesembilan.

Kedah bagaimanapun gagal memanfaatkan peluang menambah jaringan walaupun NS Chempaka terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain pada separuh masa kedua selepas Md. Raizuwah Idris diperintah keluar padang pada minit ke-45.

Kedah bertindak agresif seawal permainan bermula dengan melakukan serangan bertali arus ke arah kubu pertahanan lawan dalam usaha mendapatkan gol awal.

Hasil asakan bertalu-talu, Kedah akhirnya berjaya menembusi gawang NS Chempaka menerusi Badrul Hisham Abdullah yang menolak masuk bola ke dalam gol selepas menerima satu sepakan sudut pada minit kesembilan.

Dalam perlawanan di Stadium Kubu, Melaka gagal menggunakan kesempatan beraksi di tempat sendiri buat kali pertama, apabila sekadar seri 1-1.

Melaka bermula garang di separuh masa kedua dan memperoleh sepakan penalti pada minit ke-49, setelah penyerangnya Mohd. Rizalruddin Ghani dijatuhkan oleh pertahanan Kelantan, Rosmaini Ismail, dalam kotak penalti.

Saiful Bahri menjaringkan gol pembukaan perlawanan apabila mudah menewaskan penjaga gol Kelantan, Sharizan Ismail.

Walaupun ketinggalan, Kelantan tidak berputus asa sebaliknya bangkit dan menyamakan kedudukan menerusi bekas penyerang kebangsaan, Anuar Abu Bakar bertindak berani melayangkan dirinya dari satu hantaran silang.

Sementara itu, dalam perlawanan di Stadium Pasir Gudang, semalam Johor FC mencatat kemenangan kedua dengan menundukkan Telekom Melaka 3-2.

Telekom Melaka mengejutkan pasukan tuan rumah pada minit ke-18 apabila Tan Gim Hong berjaya melepaskan rembatan deras dari luar kawasan kotak penalti pasukan lawan lalu menewaskan penjaga gol pasukan Johor FC, Amirullah Abd. Ghani.

Wirat Nom menambah derita Johor FC apabila membuat sepakan lambung yang cantik dari jarak 25 meter lalu menewaskan penjaga gol pasukan pelawat Shamsul Sabtu.

Pasukan tuan rumah berjaya merapatkan jurang melalui Sheikh Ahmad Redzuan pada minit 80 setelah membuat sepakan leret di hadapan pintu gol menewaskan V. Murugan.

Sheikh Ahmad Redzuan menjaringkan gol pada minit ke-83 selepas menguis masuk hantaran leret di hadapan pintu gol lalu menewaskan V. Murugan.

Sheikh Ahmad menambah gol ketiganya untuk pasukan Johor FC pada minit ke-87, apabila membuat tendangan cantik menewaskan Shamsul Sabtu setelah menerima hantaran dari Hamzani Omar.

Di Stadium KLFA, Cheras Angkatan Tentera mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Malay Mail.

Gol tunggal kemenangan Tentera dijaringkan oleh Endrew Lawadin pada minit ke-50.

Sementara itu di Stadium Sultan Mohd. ke-IV, Kelantan JKR dan Kelantan TNB seri 3-3.

Kelantan JKR mendahului 2-0 pada babak pertama menerusi Tengku Marzuki Tuan Mat pada minit ke-12, sebelum Roslan Hassan melebarkan kedudukan 2-0 pada minit ke-17.

Kelantan TNB merapatkan jurang pada minit ke-50 menerusi Zainuddin Ariffin dan Nordin Mohd. Shukri menyamakan kedudukan pada minit ke-74.

Perlawanan bertambah sengit pada minit ke-86 apabila Mohd. Azli Mahmud menjaringkan gol ketiga Kelantan JKR , tetapi TNB sekali lagi menyamakan kedudukan menerusi Zainuddin di minit terakhir.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0520&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4Ta2Kobr1 © Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 20 Disember 2016

Kedah naik tangga teratas

ARKIB : 06/05/2000
KEDAH melonjak ke tangga teratas selaku pendahulu baru bola sepak Liga Perdana Dua selepas menang tipis 1-0 ke atas Johor FC pada perlawanan di Stadium Pasir Gudang, Johor Bahru, semalam.

Skuad Kenari mengambil kesempatan itu selepas pendahulu sebelum ini, Kelantan cuma mampu seri 2-2 dengan KL Malay Mail di Cheras.

Pemain pertahanan, Khamal Idris Ali menjadi wira Kedah apabila sepakan percumanya dari luar kotak penalti Johor FC pada minit ketujuh menghasilkan gol tunggal perlawanan itu dan tiga mata buat Kenari.

Johor FC berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-14 melalui tendangan Harun Laban, bagaimanapun pengadil perlawanan, Azimi Abdullah membatalkan jaringan itu kerana ofsaid.

Pada separuh masa pertama, kedua-dua pasukan terlalu berhati-hati dan kebanyakan bola hanya berlegar di kawasan tengah padang.

Johor FC yang ketinggalan satu gol telah membuat banyak serangan tetapi tersasar kerana penyudah yang lemah.

Kelantan yang berkongsi lima mata di tangga teratas dengan KL Malay Mail, menerima tentangan sengit pasukan tuan rumah sebelum perlawanan tamat dengan kedudukan seri 2-2 di Stadium KLFA, Cheras.

KL Malay Mail lebih dulu membuka jaringan menerusi Mohd. Shah Mohd. Nor pada minit ke-28 tetapi bekas pemain kebangsaan, Annuar Abu Bakar menyamakan kedudukan pada babak kedua minit ke-52.

Begitupun, pasukan tuan rumah kembali di depan enam minit kemudian menerusi U. Suresh tetapi Safri Kassim menyelamatkan maruah Kelantan dengan gol penyamaan sebelum tamat perlawanan.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, dua jaringan penyerang, Sri Jaafar Abdul Rahman memberikan tiga mata penuh buat Melaka yang menewaskan pasukan tuan rumah NS Chempaka 2-1.

Gol-gol Sri Jaafar hasil jaringan mudah di depan gawang lawan pada minit ke-10 dan 59 manakala gol tunggal NS Chempaka oleh R. Sekar minit ke-44.

Di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV, Kota Bharu, JKR Kelantan turut memungut tujuh mata selepas menewaskan Telekom Melaka 2-1.

Tetapi perbezaan gol lebih memihak kepada Kedah untuk JKR Kelantan menduduki tangga kedua.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0506&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4TSNNkc1b © Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 19 Disember 2016

KL Malay Mail ikat Kedah 1-1

ARKIB : 15/04/2000
KEDAH sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dengan KL Malay Mail pada perlawanan bola sepak Perdana Dua yang dicemari pergaduhan di Stadium Darul Aman, semalam.

Tuan rumah mendahului menerusi penyerang berbisanya, Che Zambil Ahmad hasil hantaran Nidzam Adzha Yusoff pada minit ke-14, tetapi lawan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-26 menerusi rembatan Mohd. Sham Mohd. Nor.

Perlawanan itu bagaimanapun tercemar dengan aksi kasar kedua-dua pasukan di mana pengadil, K.N. Karupiah terpaksa melayangkan dua kad merah kepada Roslan Rahim dari Kedah dan pemain lawan, Abdul Salam Kunju.

Di Stadium Shah Alam, Telekom Melaka melakukan kejutan apabila seri 3-3 dengan Kelantan.

Nik Ahmad Fadli Nik Leh membuka jaringan buat Kelantan seawal minit pertama permainan, diikuti jaringan oleh Fatrurazi Rozi (14) dan Zool Ihsan Yunus (25), manakala gol Telekom Melaka oleh Wirat Nom (37), Rosli Hasyim (71) dan Shahroni Che Ahmad pada minit ke-76.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pasukan tuan rumah, NS Chempaka meraih tiga mata penuh apabila menewaskan TNB Kelantan 2-1.

Gol NS Chempaka dijaringkan oleh R. Balan (20) dan Mohd. Khaidir Md. Dom (82), manakala jaringan tunggal TNB Kelantan menerusi Mohd. Juhairi Ghazali, minit ke-27.

Dalam dua lagi perlawanan, Johor FC seri 0-0 dengan JKR Kelantan di Stadium Pasir Gudang, Johor Bahru, manakala Tentera terikat 0-0 dengan Melaka di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0415&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_10.htm#ixzz4TGxkBnWW © Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 18 Disember 2016

Hijau Kuning akan kembali cemerlang

RKIB : 11/04/2000
SKUAD bola sepak Kedah akan kembali cemerlang dalam mengharungi cabaran pada Liga Perdana Dua musim ini yang bermula tidak lama lagi, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan Kedah, Haji Mohamed Hassan Bulat.

Beliau berkata, ini adalah berdasarkan pencapaian yang semakin meningkat oleh pasukan Kedah pada pertandingan Piala FA yang sedang berlangsung sekarang.

Kedah telah melayakkan diri ke peringkat suku akhir Piala FA. Kedah akan bertemu Sarawak di Stadium Sarawak dalam perlawanan suku akhir pusingan pertama hari ini.

Mohamed Hassan berkata gabungan pemain senior dan baru yang sedang giat menjalani latihan dapat membentuk skuad Hijau Kuning yang mantap bagi menghadapi pertandingan itu.

''Kita berharap skuad Kedah akan mengembalikan kegemilangan seperti yang pernah dicapai termasuk menjadi juara Liga dan Piala Malaysia pada tahun 1990an,'' katanya kepada pemberita di Langkawi, semalam.

''Kita mampu bersaing dengan pasukan lain dengan semangat yang ditunjukkan serta sokongan padu peminat bola sepak tempatan akan membantu kejayaan Kedah dalam Liga Perdana nanti,'' kata beliau.

Para pemain perlu bekerja lebih keras bagi memastikan skuad itu beraksi cemerlang untuk membawa kejayaan pada Liga Perdana Dua musim ini, kata beliau.

Kerjasama semua pihak termasuk pengurus, jurulatih dan pemain perlu bagi menggembleng tenaga dalam membentuk skuad yang mantap untuk menghadapi cabaran pada liga itu, katanya. - Bernama

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0411&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_09.htm#ixzz4TG016JVj © Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 17 Disember 2016

Buru import baharu

 
LIRIDON (kanan) kekal perkasa Helang Merah.
Rodly Fadly
sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selepas mengekalkan khidmat Liridon Krasniqi dan Sandro da Silva, Kedah kini memburu dua import untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Bang Seung Hwan, Thiago Augusto dan Shane Smeltz.

Jurulatih Tan Cheng Hoe berkata, keutamaan akan diberi untuk mengisi posisi pertahanan tengah dan penyerang bagi melengkapkan kuota pemain import di samping membawa masuk beberapa pemain tempatan.


“Kedah mengambil keputusan tidak menyambung kontrak Seung Hwan. Oleh itu, kami perlu mencari pemain import baharu untuk mengemudi benteng terutama di bahagian pertahanan tengah.

“Posisi ini sangat penting kerana kami perlu mencari pemain yang benar-benar berkaliber. Seung Hwan menjalankan tugasnya dengan baik selama dua musim bersama Kedah dan saya berharap dapat mencari pengganti lebih bagus,” ujar Cheng Hoe.

Sebelum ini, Cheng Hoe agak risau memikirkan bahagian pertahanan kiri susulan kecederaan serius Ariff Farhan Mohd Isa serta penghijrahan Azmeer Yusof ke Kuala Lumpur.

Namun, kehadiran Fitri Omar dari Pulau Pinang membuatkan beliau bernafas lega.

Di samping itu, kenyataan pemain pertahanan kanan, Rizal Ghazali akan kekal bersama pasukan turut menggembirakan Cheng Hoe.

Oleh itu, selain fokus kepada usaha mencari pengganti Seung Hwan, beliau kini hanya perlu memikirkan soal penyerang import.

“Dengan pulihnya Sandro daripada kecederaan dan kini kembali ke dalam pasukan, kami hanya memerlukan seorang lagi import sebagai penyerang utama.

“Kami perlu mencari penyerang baharu kerana Thiago dipinjam dari FELDA United manakala kontrak Shane hanya selama enam bulan. Kami tidak bercadang mengekalkan mereka.

“Setakat ini kami sudah mengenal pasti calon sesuai untuk posisi pertahanan tengah dan penyerang utama. Saya berharap kami akan dapat menandatangani mereka dalam masa terdekat supaya persiapan rapi dapat dijalankan.

“Saya juga sudah mengukuhkan bahagian tengah dengan kehadiran Akram Mahinan dari JDT II. Mungkin ada seorang dua lagi pemain tempatan menyertai kami bagi mengisi kekosongan Sabree Mat Abu, Amar Rohidan dan Shafizan Hashim,” katanya.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2016 @ 11:19 AM

IMBASAN PIALA MALAYSIA 1992 KEDAH 3-0 NEGERI SEMBILAN

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Kedah       3-0   Negeri Sembilan
m-26,m-75 Faridzuan Che Hamid 
m-80 Peter Nieketien
PEMAIN KEDAH
AZMI MAHMUD
LEE KIN HONG
OLUBUNMI ADIGUN
MANJA MAN
LEE THEAN EWE
TIBOR ZABAN
RADHI MAT DIN
JELANI WILASTRA
AZIZ AZIZAN
PETER NIEKETIEN
FARIDZUAN CHE HAMID
PEMAIN GANTIAN
SAZIMAN ISMAIL
NORAZAM ISHAK

PEMAIN NEGERI SEMBILAN
KHAIRUDDIN IDRIS
MIROSLAV BOZIK
TAUFIK ISMAL
SHAARI SAID
MILAN HANKO
YEO SWEE HOCK
ROBERT BOZIK
MANSOR SULAIMAN
LEE TIONG KIM
M MAHENDRAN
HISHAM GANI.
PEMAIN GANTIAN
K SATHIASELVAM
PENGADIL- NAZRI ABDULLAH –PULAU PINANG.

SUMBER- BERITA MINGGU 11 OKTOBER 1992.

Khamis, 15 Disember 2016

Senarai penuh pemain bola sepak Kedah tahun 2000

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB

 Penjaga gol - S. Ragesh, Azuan Othman dan Ahmad Sabri Ismail; Pertahanan - V. Thinagaran, Roslan Abdul Rahim, Adrien Jurad Chamrong, Mohd. Sofi Mat Isa, Mohd. Helmi Mohamed; Tengah - Yap Wai Loon, Badrul Hisham Abdullah, Azrin Shah Zainal, Izham Darus, Mohd. Feriza Ismail, Mohd. Radhi Mat Din; Penyerang - Cheah Kean Seng, Mohd. Rafdi Abdul Rashid, Ahmad Zalghafari Manaf, Che Zambil Ahmad, Norizam Ali Hassan.

Ahmad Shafie jurulatih baru Kedah

ARKIB : 30/01/2000
BEKAS jurulatih kebangsaan yang membawa pulang pingat emas terakhir negara dalam Sukan SEA 1989, Ahmad Shafie dilantik menjadi Ketua Jurulatih Kedah dalam misi skuad Hijau Kuning untuk menjulang Piala Malaysia dan mara ke Perdana Satu musim depan, lapor YUSRI SAHAT.

Pelantikan itu dibuat oleh pengurus pasukan, Datuk Paduka Ahmad Basri Akil ketika mengumumkan senarai jurulatih dan pemain di Stadium Darulaman petang semalam.

Sebanyak 19 pemain yang terdiri daripada muka lama dan baru diadun oleh Ahmad Basri bagi membawa cabaran Kedah dalam saingan Perdana Dua musim ini.

Tiga pemain luar turut disenaraikan dalam barisan skuad kali ini iaitu bekas pemain tengah kebangsaan, Yap Wai Loon; bekas pemain Terengganu, Badrul Hisham Abdullah dan bekas pemain Selangor, Mohd. Helmi Mohamed.

Wai Loon dan Badrul Hisham akan menggalas tanggungjawab sebagai play maker bersama pemain veteran, Mohd. Radhi Mat Din dan Mohd. Feriza Ismail bagi memperkuatkan jentera tengah.

''Pemain yang berasal dari Sabah itu akan mengikat kontrak selama dua tahun bersama Kedah manakala pemain lain selama setahun,'' kata Ahmad Basri di Alor Setar semalam.

Barisan serangan kali ini dilihat lebih mantap dengan kehadiran semula bekas penyerang kebangsaan, Che Zambil Ahmad yang sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

Che Zambil yang menerajui barisan serangan akan digandingkan dengan pemain muda, Ahmad Zalghafari Manaf dan Mohd. Rafdi Abdul Rashid yang telah menunjukkan prestasi cemerlang pada musim lalu.

Barisan pertahanan juga dilihat lebih tersusun dengan kembalinya V. Thinagaran yang akan dibantu oleh Mohd. Helmi, Roslan Abdul Rahim dan Adrien Jurad Chamrong.

S. Ragesh yang sebelum ini beraksi bersama Pulau Pinang musim lalu kembali menyarung jersi Kedah selaku penjaga gol utama di samping Ahmad Sabri Ismail dan Azuan Othman.

Menurut Ahmad Basri, hampir semua pemainnya kini sedang beraksi dalam Piala Emas Raja-Raja di Kangar kerana masih belum menandatangani sebarang kontrak dengan mana-mana pasukan.

''Tarikh menandatangani kontrak pemain akan ditentukan pada tarikh yang belum ditetapkan tetapi selepas Tahun Baru Cina ini,'' jelasnya.

Beliau juga sedang memberi perhatian kepada beberapa pemain muda untuk diserap dalam skuad berikutan masih ada enam lagi kekosongan dalam barisan pemain.

Beliau yakin dengan adunan muka lama dan baru itu, Hijau Kuning mampu menebus semula kehampaan musim lalu bagi mengembalikan semula maruah yang sudah terpalit.

Sementara itu, Ahmad Shafie yang dibantu oleh ketua jurulatih musim lalu, Azman Eusoff tidak menafikan menghadapi tugas getir untuk membawa Kedah kembali di Perdana Satu.

''Saya berjanji kepada pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dan penyokong Kedah untuk mengembalikan semula kecemerlangan Kedah dalam Liga Perdana,'' ujarnya.

Ahmad Shafie bukanlah orang baru bagi Kedah kerana pernah membawa skuad Hijau Kuning ke peringkat akhir Piala Malaysia sebanyak tiga kali pada tahun 1987, 1988 dan 1989 ketika beliau menjadi jurulatih skuad itu.

Beliau kemudian diserap ke dalam pasukan kebangsaan selama tiga tahun bermula 1989 dan berjaya membawa pulang pingat emas dalam Sukan SEA pada tahun tersebut. Senarai penuh pemain: Penjaga gol - S. Ragesh, Azuan Othman dan Ahmad Sabri Ismail; Pertahanan - V. Thinagaran, Roslan Abdul Rahim, Adrien Jurad Chamrong, Mohd. Sofi Mat Isa, Mohd. Helmi Mohamed; Tengah - Yap Wai Loon, Badrul Hisham Abdullah, Azrin Shah Zainal, Izham Darus, Mohd. Feriza Ismail, Mohd. Radhi Mat Din; Penyerang - Cheah Kean Seng, Mohd. Rafdi Abdul Rashid, Ahmad Zalghafari Manaf, Che Zambil Ahmad, Norizam Ali Hassan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0130&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4StiOcATs © Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 7 Disember 2016

Lima pemain Kedah dilanda kecederaan

ARKIB : 21/08/1999
KEDAH terus dibelenggu masalah kecederaan pemain di kala pasukan itu membuat persiapan menentang Brunei pada perlawanan play-off bola sepak Piala Malaysia di Alor Setar, malam ini.

Masalah itu nyata merunsingkan jurulatihnya, Azman Eusoff walaupun dalam jangkaannya rehat yang panjang sejak 19 Jun lalu dapat mengembalikan tahap kecergasan barisan pemainnya yang dikatakan menjadi punca kekalahan Kedah sebelum ini.

Kedah sebelum ini mengatur beberapa perlawanan persahabatan bagi memantapkan pasukan itu menghadapi saingan kelayakan Piala Malaysia.

Malangnya selepas segalanya persiapan itu, muncul pula masalah kecederaan pemain.

Sekurang-kurangnya lima pemain harapan Kedah tidak dapat beraksi kerana kecederaan.

Pemain yang cedera ialah Norizam Ali Hassan, Adrien Jurad, Rafiz Abu Bakar, Nurul Ahyat Ilyas dan Izham Abas.

Azman berkata, beliau tidak menyangka insiden seumpama itu berlaku pada saat-saat akhir pertandingan hampir bermula.

Walaupun begitu, beliau sentiasa melihat perkembangan tersebut dari sudut positif agar kepincangan yang dialami itu dapat dicari penawarnya.

Menurutnya, kepincangan itu sebaliknya memberi peluang kepada pemain lain beraksi sekali gus memberi pengalaman berguna kepada mereka.

''Kita mempunyai 15 lagi pemain yang bersemangat tinggi untuk memastikan Kedah kekal dalam Perdana Satu musim depan selain layak ke Piala Malaysia,'' katanya

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0821&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4S8ifkvsc © Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 2 Disember 2016

Rentak perlahan, bertahan formula kemenangan Kedah

ARKIB : 06/05/1999
RENTAK permainan perlahan dan bertahan yang diamalkan oleh Kedah berjaya memperdaya Telekom Melaka sekali gus meranapkan impian pasukan dari negeri 'Hang Tuah' itu mara ke suku akhir pada perlawanan kedua pusingan kedua bola sepak Piala FA di Stadium Darul Aman, Alor Setar, kelmarin.

YUSRI SAHAT melaporkan, Telekom Melaka yang ketinggalan 1-2 pada pertemuan pertama di Stadium Kubu, 20 April lalu, memulakan babak dengan agresif, namun sering kali kali terperangkap dan terikut-ikut dengan aksi perlahan kesebelasan Kenari.

Sekalipun rentak hambar yang disajikan oleh Kedah kurang disenangi penyokong, namun itulah taktik yang dimahukan oleh jurulatih, Azman Eusoff untuk mengekang Telekom Melaka yang amat memerlukan kemenangan pada perlawanan kelmarin.

Strategi yang dipertaruhkan oleh jurulatih itu begitu menjadi berikutan kurangnya tekanan yang dilakukan oleh Telekom Melaka ke atas Kedah.

Percaturan Azman yang mengeluarkan Izham Abas dan memasukkan pemain muda, Wirat Nom nyata membuahkan hasil apabila pemain berketurunan Thai itu menyumbat satu gol bagi memberi kemenangan kepada Kedah dengan agregat 3-1.

Azman sempat berpesan kepada pemainnya bahawa kemenangan yang ada ketika mendahului dengan agregat 2-1 perlu dipertahankan dan pemain tidak perlu terlalu ghairah untuk menambahkan jaringan.

Dan, pesanan itu nyata dipegang sebaiknya oleh anak-anak buahnya sebagaimana yang direalisasikan di atas padang.

''Jika Kedah mengamalkan permainan serangan terbuka, pelbagai kemungkinan akan berlaku termasuk peluang Telekom Melaka mendapat gol,'' katanya ketika dihubungi di Alor Setar, semalam.

Pengalaman bermain dengan Perak yang menyaksikan Kedah tersungkur di Ipoh 1-2 merupakan bekal paling berguna ketika menentang Telekom Melaka.

Sikap terlalu yakin untuk mencipta kemenangan dan corak serangan terbuka ketika menentang pasukan Seladang pada saingan Perdana Satu telah membawa padah kepada Kedah.

''Saya tidak mahu lagi sejarah hitam itu berulang lagi dan menghalang usaha kami membawa pulang piala berprestij itu,'' ujarnya.

Azman yang telah menduga kemenangan berpihak kepada pasukannya malam tadi berkata, sikap patuh pemain kepada segala arahannya merupakan kunci utama kejayaannya.

Beliau juga berbangga dengan prestasi para pemain muda termasuk Wirat Nom yang berjaya menghasilkan jaringan dalam persembahan sulungnya kelmarin.

Mengenai pertemuan dengan Sabah yang bakal dihadapi pada suku akhir nanti, katanya, Kedah akan memastikan kemenangan berpihak kepada pasukannya walaupun bermain di tempat lawan pada perlawanan pertama nanti.

''Kemenangan di tempat lawan akan memudahkan laluan Kedah apabila Sabah bertandang ke Alor Setar pada perlawanan kedua,'' tambahnya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0506&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4RjTUgjHf © Utusan Melayu (M) Bhd

Kedah idamkan takhta liga

ARKIB : 01/05/1999
BERLALU sudah saingan awal yang penuh dengan debaran dan kontroversi untuk menambahkan lagi kerancakan Liga Perdana Satu sebaik bersambung perlawanan pusingan kedua malam ini.

Penguasaan Pulau Pinang selaku pendahulu liga (18 mata) semakin terancam, menghadapi laluan ''berliku'' kerana menghadapi banyak perlawanan di gelanggang lawan termasuk bertemu Terengganu.

Setelah dikalahkan 7-8 oleh Terengganu menerusi sepakan penalti Sabtu lalu, Pulau Pinang terpaksa mencari kemenangan malam ini di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah supaya kedudukannya di tangga teratas terjamin.

Pastinya, penyerang handalan Azman Adnan yang ketandusan jaringan dalam perlawanan Sabtu lalu ''dikerah'' mencari gol kemenangan untuk mengutip mata penuh bagi membantu juara Liga Perdana Satu 1998 itu terus di depan.

Namun, Terengganu sukar untuk ditewaskan kerana ''moral'' yang tinggi selepas menewaskan Pulau Pinang 1-4 dalam Piala FA dan menerusi sepakan penalti Liga Perdana Satu.

Walaupun saingan di antara Piala FA dan Liga Perdana Satu berbeza, sekurang-kurangnya hajat menewaskan pasukan bergelar juara menjadi idaman ''anak-anak'' buah jurulatih Yunus Alif bagi memperbaiki kedudukannya di tangga keenam (13 mata).

Di Stadium Perak, Kedah seharusnya tidak melepaskan peluang untuk meneruskan kemenangan kedua ke atas skuad ''Seladang'' yang sudah dikalahkannya 1-4 bagi mewujudkan persaingan lebih terbuka untuk merebut tempat teratas.

Selaku penghuni tangga kedua (17 mata), hanya satu mata di belakang Pulau Pinang, Kedah sudah tentu akan berhempas pulas mencari kemenangan ke atas Perak bagi memenuhi hajatnya.

Kedah tidak seharusnya tewas, barisan terbaiknya seperti penjaring terbanyak, Ahmad Zalghafari Manaf tentunya mahu memastikan kemenangan Kedah bagi mengidam takhta liga.

Cuma Perak agak berbahaya kerana dendamnya pasti mahu ditebus menerusi kemenangan di gelanggang sendiri yang bukan sahaja mampu mengubat ''luka'' malah mengubah nasibnya di tangga kedua terbawah (10 mata) daripada sepuluh pasukan dalam Liga Perana Satu.

Sebuah lagi pasukan tumpuan kerana dibarisi pemain handalan ialah pasukan di tangga kelima iaitu Pahang (14 mata) tetapi terpaksa menentang Sabah yang kini menunjukkan peningkatan.

Pahang diperkuatkan rangkaian penyerang terkuatnya, Azizul Kamaluddin dan Wan Rohaimi Ismail perlu berwaspada dengan Sabah, pasukan yang melonjak ke tangga kelapan (10 mata) daripada tangga tercorot.

Di Stadium Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) pula, skuad ''warga kota'' menempuh laluan sengit untuk bertemu pasukan tangga ketiga Negeri Sembilan (16 mata).

Kuala Lumpur yang kini mengumpul 13 mata) bagi menduduki tangga ketujuh pastinya akan bekerja keras mencari kemenangan untuk sekurang-kurangnya menyaingi Negeri Sembilan.

Begitu juga dengan dua pasukan ''Borneo'' Sarawak dengan Brunei yang menjadi musuh di tengah padang apabila masing-masing ingin menempah kejayaan supaya hasrat meraih piala menjadi lebih cerah.

Pastinya, Sarawak di tangga keempat (15 mata) mengidamkan kedudukan teratas dengan Brunei mahu dijadikan mangsa untuk memenuhi hasratnya.

Brunei, sekalipun menduduki tangga tercorot (9 mata), juga mempunyai keinginan untuk meningkat, sekali gus membayangkan betapa peluangnya malam ini tidak dibiarkan begitu sahaja.

Oleh: ZAINUL AZHAR ASHARI

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0501&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4RfRSb7T3 © Utusan Melayu (M) Bhd

Kedah luar biasa

ARKIB : 29/04/1999
''SUNGGUH luar biasa,'' demikian kata-kata yang terpacul dari mulut Jurulatih Kedah, Azman Eusoff ketika ditemui selepas menyaksikan persembahan hebat anak-anak buahnya membelasah Perak 4-1 pada perlawanan Liga Perdana Satu di Alor Setar, kelmarin.

Ucapan itu membayangkan jurulatih tersebut seolah-olah tidak percaya apabila menyaksikan kelincahan para pemainnya ''membuli'' penyandang juara tahun lalu itu dengan jumlah jaringan yang agak besar.

Tanpa kelibat penjaring terbanyak Kedah, Ahmad Zalghafari Manaf dan Adrien Jurad, kesebelasan yang ada membuktikan bahawa mereka mampu melakukan sesuatu yang di luar jangkaan.

Menurut Azman, Hijau Kuning sewajarnya mencipta kemenangan yang lebih besar jika ketiga-tiga serangan yang menyaksikan palang gol sebagai halangan, menemui sasarannya.

Kehadiran Seladang ke Alor Setar sebelum perlawanan bermula semalam begitu digeruni apatah lagi selepas pasukan itu berjaya memusnahkan rekod tanpa kalah pendahulu liga, Pulau Pinang 1-0 minggu lepas.

Bagaimanapun, kehebatan Perak yang diwar-warkan itu meleset apabila Kedah menguasai setiap penjuru padang sehingga pasukan pelawat kehilangan punca.

Menurut Azman, resepi utama yang membuahkan kejayaan pada malam bertuah itu ialah memberi kepercayaan penuh kepada setiap pemain dalam menjalankan peranan masing-masing.

''Kita tidak lagi bergantung kepada satu atau dua pemain kerana mempunyai banyak pemain yang boleh digalas untuk menjadi pemusnah,'' katanya.

Menurut Azman, corak permainan pantas dengan memberi penumpuan kepada aspek pertahanan dan serangan kilat ke atas lawan merupakan kunci kemenangan itu.

Secara peribadinya, beliau mengiktiraf Roslan Abdul Rahim sebagai pemain paling cemerlang malam kelmarin sambil menyifatkan semua pemain bermain dengan baik sekali dan mengetahui peranan masing-masing.

Gandingan Cheah Kean Seng dan Norizam Ali Hassan begitu menjadi sehingga Kean Seng berjaya merobek gawang Perak sebanyak tiga kali, ujarnya.

Kemenangan malam kelmarin dianggap sungguh bermakna untuk Kenari meneruskan cengkamannya di tangga kedua Perdana Satu sekali gus menghangatkan lagi saingan merebut persada liga.

Kekalahan Pulau Pinang di tangan Terengganu malam kelmarin juga memberi tuah kepada Kedah untuk merapatkan jurang mata di belakang skuad Harimau Kumbang itu.

Kedah kini hanya ketinggalan satu mata di belakang Pulau Pinang yang memperoleh 18 mata dalam pusingan pertama Perdana Satu.

Oleh: YUSRI SAHAT

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0429&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4RfKsmNAd © Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 29 November 2016

Kedah jerat si Bujang

ARKIB : 11/04/1999
SELEPAS berputih mata beberapa kali di gelanggang sendiri, Kedah akhirnya memungut tiga mata penuh apabila menewaskan Sarawak 4-0 dalam perlawanan bola sepak Liga Perdana Satu di Stadium Darul Aman, Alor Setar, semalam.

Pemain muda Kedah, Nurul Ahyat Elias, Ahmad Zalghafari Manaf dan Cheah Kean Seng masing-masing merembat satu gol untuk Kedah mendahului Sarawak 3-0 manakala satu gol lagi disumbat pemain senior, Zulfatah Dzulkarnain pada minit ke-74.

Minit awal permainan menyaksikan kedua-dua pasukan cuba mencari ruang untuk menembusi pertahanan lawan tetapi tidak ada serangan yang mantap.

Sarawak hampir mendapat gol pertama menerusi tendangan percuma yang diambil oleh Bobby Chua apabila bola melintas di hadapan gawang tetapi Mohd. Amran Omar menangkap kemas bola sambil beberapa pemain Sarawak cuba menanduk masuk bola.

Tetapi pada minit keenam, Kedah yang baru sahaja dicemaskan dengan cubaan Sarawak itu, menggegarkan stadium apabila mendahului pelawat 1-0.

Gol bermula dengan gerakan cantik di bahagian tengah dengan Radhi Mat Din melorongkan bola ke hadapan gawang dan Nurul Ahyat menyempurnakan cubaan itu untuk menewaskan Mazlan Wahid.

Gerakan-gerakan tuan rumah sering dipatahkan dengan asakan keras pemain Sarawak dan memaksa pengadil Mohd. Jamil Zakaria memberi tendangan percuma kepada Hijau Kuning.

Bagaimanapun pemain tuan rumah terus membuat serangan hinggalah minit ke-40 apabila Kedah sekali lagi mendapat gol.

Ahmad Zalghafari yang diletakkan harapan untuk menjaringkan gol skuad Kenari sekali lagi menjadi perhatian penonton apabila menambah gol kedua pasukan tuan rumah.

Kean Seng dari kanan padang menolak cantik bola kepada Zalghafari yang berada dalam kedudukan selesa di hadapan gol Sarawak bagi menewaskan Mazlan.

Pada minit awal permainan separuh masa kedua, Ahmad Zalghafari sekali lagi mencemaskan Sarawak apabila menerima bola di hadapan gol tetapi sepakannya tersasar keluar.

Walaupun mendahului 2-0, pemain Kedah terus membuat serangan agar peristiwa ketika menentang Kuala Lumpur Sabtu lalu tidak berulang.

Dalam perlawanan itu, Kedah mendahului Kuala Lumpur 2-0 tetapi pasukan pelawat mendapat gol penyamaan pada minit terakhir permainan dan akhirnya keputusan memihak kepada Kuala Lumpur yang menang penalti 11-10.

Sarawak turut membuat beberapa percubaan khususnya melalui Ramos Sari di sebelah kanan tetapi tidak ada serangan berbahaya untuk menguji Mohd. Amran Omar.

Dalam cubaan Sarawak mendapatkan gol, Ahmad Zalghafari seperti menjadi duri kepada Sarawak apabila sesekali mendapat bola untuk membolosi pertahanan pasukan pelawat.

Tolakannya kepada Azrin Shah Zainal pada minit ke-65 membuahkan hasil apabila membuka ruang untuk Cheah Kean Seng meluru ke depan merembat gol ketiga skuad Kenari.

Pada minit ke-76 pula, Zulfatah Dzulkarnain yang masuk menggantikan Nurul Ahyat menambah gol Kedah selepas melarikan bola secara solo di hadapan gol Sarawak untuk menewaskan Mazlan.

Sarawak terus membuat asakan dan beberapa percubaan mencemaskan tetapi Mohd. Amran bertindak cemerlang.

KEDAH: Mohd. Amran Omar, Adrien Jurad, Mohd. Farouk Ismail Cheah Kean Seng, M. Raizuwah Idris, Mohd. Feriza Ismail, Roslan Abd. Rahim, Radhi Mat Din, Nurul Ahyat Elias (Zulfatah Dzulkarnain), Ahmad Zalghafari Manaf (Rafiz Abu Bakar), Azrin Shah Zainal (Mohd. Izham Abas).

SARAWAK: Mazlan Wahid, Mohd. Zaidil Sakup, Dahlan Matussin, Jeferry Lana (Roziman Rambli), Bobby Chua, Ibrahim Mentali (Abang Zaafari), Mohd. Ali Sapiee, Bobby Pian, Ramles Sari, Ramos Sari (Efandi Sugandi), Mohd. Safri Amit.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0411&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RTFgZ5aM © Utusan Melayu (M) Bhd