Rabu, 22 Januari 2020

Semangat Kedah membara selepas belasah Tai Po

SUKAN»Bola
Rabu, 22 Januari 2020 | 11:39am
 
PASUKAN Kedah menang dengan jaringan 5-1 selepas menewaskan kelab dari Hong Kong, Wofoo Tai Po pada kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Darul Aman. - Foto BERNAMA
Semangat Kedah membara selepas belasah Tai Po
Oleh Muhammad Mustakim Ramli dan Izzali Ismail
bhnews@bh.com.my

ALOR SETAR: Kemenangan 5-1 Kedah ke atas Tai Po FC menyuntik semangat tambahan Helang Merah untuk berhadapan kelab Korea Selatan, FC Seoul pada aksi playoff Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Korea Selatan, 28 Januari ini.

Pengendali skuad Helang Merah , Aidil Sharin Sahak berkata kesungguhan yang ditunjukkan setiap pemainnya pada aksi kelayakan menentang Tai Po FC di Stadium Darul Aman semalam menjadi kunci kejayaan buat pasukannya.

"Alhamdulillah, kita dapat apa yang kita mahukan, ini perlawanan pertama walaupun bukannya satu lawan yang mudah namun kita peroleh keputusan yang baik di hadapan penyokong kita yang memenuhi Stadium Darul Aman."

“Segala perancangan yang kita usahakan berjalan dengan lancar dan saya gembira dengan tahap kesungguhan dan semangat yang telah ditunjukkan setiap pemain yang dirurunkan pada pada perlawanan ini."

“Walaupun kita tidak dapat menurunkan beberapa tonggak pada malam ini, namun apa yang direncanakan pada pramusim dan percubaan kombinasi antara pemain membuahkan hasil." katanya.

Mengulas mengenai perlawanan menentang kelab ternama K- League iaitu FC Seoul pada 28 Januari ini, Aidil mengakui lawan dari Korea Selatan itu merupakan lawan yang sukar.

“Kita perlu terus fokus untuk perlawanan berikutnya, FC Seoul merupakan pasukan yang kuat dan kita perlu mengakui kekuatan mereka."

“Malah kita juga perlu berdepan perjalanan yang jauh dengan cuaca yang sejuk serta mencabar di sana dan selepas saya menyemak tadi suhu mencecah 2 darjah celsius."

"Kita akan terus bekerja keras bagi mendapatkan keputusan yang terbaik kerana tiada jalan mudah untuk aksi di ACL ini, jadi saya mahu pemain menikmati kemenangan ini dan kemudian fokus semula untuk aksi di Korea nanti." katanya.

Sementara itu, penjaring hatrik dan pemain terbaik perlawanan, Kipre Tchetche, berkata gol awal yang dihasilkannya menjadi penyuntik semangat untuk Kedah melakar kemenangan.

“Kita melakukan persiapan lebih sebulan bagi mendapatkan keserasian berikutan ramai pemain baru dalam pasukan pada musim ini dan ternyata kita berjaya membentuk persefahaman dan memperoleh kemenangan pada malam ini,” katanya.[1]



[1] https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2020/01/648916/semangat-kedah-membara-selepas-belasah-tai-po

Tiada ulasan:

Catat Ulasan