Isnin, 20 Januari 2020

Lang Merah sedia layan kunjungan Tai Po

MyMetroArena
 
Izzali Ismail
sukanteam@nstp.com.my

KETUA pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar yakin persefahaman dan keserasian yang dibentuk dalam pasukan menjadi ramuan ampuh untuk Kedah menentang kelab Hong Kong, Tai Po FC pada saingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Darul Aman (SDA) malam ini. Beliau yang menjalani latihan bersama rakan sepasukan di sini semalam menyatakan Kedah sudah bersedia memulakan aksi kelayakan ACL yang dinantikan semua penyokong selama ini.

"Pada tahun ini kami membuat persediaan lebih awal untuk menghadapi saingan kelayakan ACL dan seperti semua penyokong impikan, kami mengharapkan keputusan positif dengan melakukan aksi terbaik."

"Tahap keserasian kami bina selama ini menjadi perkara asas yang penting dalam usaha mencari kemenangan. Tiada jalan mudah buat kami sekalipun beraksi di laman sendiri menentang Tai Po FC, sebaliknya kami perlu terus bekerja keras dengan komitmen lebih tinggi bagi memastikan layak ke peringkat seterusnya.

Pemain berpengalaman berusia 31 tahun itu juga berharap sokongan padu daripada penyokong Kedah di Stadium Darul Aman mampu menyuntik semangat tambahan buat pemain Lang Merah.

Baddrol juga mengakui keputusan positif diraih Kedah dalam perlawanan pramusim di Kemboja turut memberi perangsang buat pasukan.

"Kemenangan Piala Smart RSN di Kemboja dapat menaikkan lagi semangat dan moral kami untuk menghadapi ACL dan juga Liga Super selepas ini."

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 11:43 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan