Isnin, 20 Januari 2020

Darul Aman azimat Lang Merah

WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR | | 20 Januari 2020
sidang media perlawanan Kelayakan ACL 2020 Kedah bertemu Tai Po FC                                  

Dari kanan: Aidil, Kpah, Luis dan Davor selepas sidang media perlawanan Kelayakan ACL 2020 Kedah bertemu Tai Po FC di sebuah hotel di Alor Setar hari ini.
ALOR SETAR - Aura Darul Aman menjadi senjata ampuh Kedah apabila melayan kunjungan kelab Hong Kong, Tai Po FC pada aksi sulung Kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2020 malam esok.


Ketua Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak berkata, skuad Lang Merah harus memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri bagi menghadiahkan kemenangan di hadapan penyokong sendiri.

"Kekuatan kami adalah semangat berpasukan. Tempoh bersama sepanjang pramusim ini diharapkan mampu menghasilkan sesuatu.


"Perkara itu akan ditunjukkan oleh pemain-pemain sepanjang 90 minit perlawanan nanti. Apa yang saya boleh janjikan adalah anak-anak buah saya akan memberikan aksi terbaik pada perlawanan ini.

"Perlawanan ini adalah peluang untuk pemain-pemain saya mendapatkan kepercayaan penyokong di laman sendiri. Saya mengharapkan keputusan yang baik pada perlawanan pertama kami pada musim ini," katanya pada sidang media di sebuah hotel di Alor Setar hari ini.

Bagaimanapun, Aidil Sharin berkata, beliau tidak dapat menggunakan khidmat dua tonggak pertahanan kental, Shakir Hamzah dan Azmeer Yusof.

"Shakir akan menjalani penggantungan perlawanan kerana menerima kad merah dalam aksi terakhirnya bersama Home United pada saingan separuh akhir Piala AFC 2018. Azmeer pula masih belum cergas daripada masalah kecederaan.

"Disebabkan itu, saya telah menurunkan Irfan (Zakaria), Alif (Yusof), Zulkhairi (Zulkeply) dan Loqman (Hakim) di Kemboja baru-baru ini. Jadi kami akan bermain dengan barisan pemain yang ada," jelasnya.

Bagi penyerang baharu Kedah, Kpah Sherman, dia sudah tidak sabar memperagakan aksi terbaik di hadapan ribuan penyokong Lang Merah nanti.

"Saya sudah semakin mendapat keserasian dengan rakan-rakan sepasukan. Saya harap dapat membantu pasukan mencipta kemenangan pertama di gelanggang sendiri," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Tai Po FC, Davor Berber berkata, pasukannya akan memberikan aksi 200 peratus dalam usaha mereka untuk mara ke saingan playoff.

"Kami telah melakukan persiapan rapi untuk aksi kelayakan bertemu Kedah. Sudah tentu kami mahu memburu kemenangan untuk meneruskan kemaraan pada saingan kelayakan ACL kali ini," katanya.

Ketua pasukan Tai Po FC, Luis Eduardo pula mengakui, dia dan rakan-rakan sepasukannya berazam mencipta kejutan ke atas Kedah yang dianggapnya mempunyai kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.

"Apa yang kami tahu, Kedah merupakan antara pasukan yang kuat di Malaysia. Bagaimanapun, kami tetap bersemangat memburu kemenangan mutlak ke atas Kedah," ujarnya.

Pemenang perlawanan esok bakal membuat perhitungan dengan kelab FC Seoul pada aksi playoff yang dijadualkan berlangsung di Korea Selatan pada 28 Januari ini.[i]




[i] https://www.sinarharian.com.my/article/66745/BERITA/Sukan/Darul-Aman-azimat-Lang-Merah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan