Selasa, 28 Januari 2020

Kedah tak terdaya sekat FC Seoul

MyMetroArena
 
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

BADI pusingan ketiga kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) terus menghantui kelab dari Malaysia apabila Kedah gagal melepasi peringkat itu selepas tumbang 1-4 di tangan kelab Korea Selatan, FC Seoul di Stadium Piala Dunia Seoul, malam ini.

Sebelum ini, dua pasukan tempatan iaitu JDT dan Perak turut gagal melepasi saingan itu dengan skuad Harimau Selatan mencuba sebanyak dua kali pada 2016, 2017 dan 2018 manakala The Bos Gaurus terkandas musim lalu.

Perak yang dibimbing Mehmet Durakovic ketika itu tumbang 1-5 kepada Ulsan Hyundai FC  juga dari Korea Selatan.

Bagaimanapun, kemenangan FC Seoul di halaman sendiri itu turut dibantu tindakan kurang bijak tonggak pertahanan Kedah, Renan Alves yang tertampan bola dalam kotak penalti pada minit ke-35, sekali gus terpaksa beraksi dengan 10 pemain sepanjang 55 minit permainan.

Park Chu Young yang mengambil sepakan penalti itu mudah menewaskan penjaga gol pelawat, Shahril Saa'ri yang sebelum itu cemerlang menghalang deretan percubaan berbahaya tuan rumah.

Memasuki babak kedua, Kedah yang mara selepas menundukkan kelab Hong Kong, Tai Po FC 5-1 di Stadium Darul Aman pada pusingan kedua terus ketinggalan selepas Park Dong Jin menanduk masuk bola hantaran Hwang Hyun Soo di minit ke-49.

Anak buah Aidil Sharin Sahak tidak mudah mengalah apabila berjaya merapatkan kedudukan hasil sepakan percuma mengelirukan Baddrol Bakhtiar yang gagal dikeluarkan Osmar Barba hingga tertanduk ke gawang sendiri buat menaikkan semula keyakinan pemain Hijau Kuning.

Begitupun, Osmar menebus kembali kesilapannya dengan menjaringkan gol ketiga menerusi sepakan percuma pada minit ke-62 yang menewaskan Shahril.

FC Seoul yang menamatkan saingan Liga Korea Selatan di tangga ketiga musim lalu terus mengasak kubu Kedah dan tonggak import dari Uzbekistan, Ikromjon Alibaev menambah derita pelawat hasil percubaan pada minit ke-92.

Kemenangan itu membolehkan FC Seoul mengisi tempat dalam Kumpulan E bersama Beijing Guoan (kelab China), Chiangrai United (kelab Thailand) dan Melbourne Victory (kelab Australia).

JDT muncul wakil tunggal dari Malaysia yang akan bersaing dalam Kumpulan G bersama Guangzhou Evergrande (kelab China), Suwon Bluewings (kelab Korea Selata) dan Vissel Kobe (kelab Jepun).
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ PM 8:17

Sabtu, 25 Januari 2020

Cabaran cuaca sejuk di Korea

MyMetroArena
 
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

CUACA sejuk hingga mencecah 1 darjah celsius bakal menghantui anak buah Aidil Sharin Sahak apabila Kedah turun berdepan FC Seoul dalam pusingan ketiga kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Piala Dunia Seoul di Seoul, Selasa ini.

Bekas pemain kebangsaan dan Kedah, Akmal Rizal Rakhli, yang mempunyai pengalaman luas beraksi bersama kelab di Eropah sebelum ini, akui cuaca sejuk akan memberi sedikit kesukaran.

"Berdasarkan pengalaman saya, apabila beraksi di bawah cuaca yang sejuk ia akan sedikit mengganggu rentak permainan kita sekiranya tak biasa dengan keadaan itu.

"Mungkin pemergian Kedah lebih awal akan memberi peluang buat pemain cuba membiasakan diri sebelum sepak mula Selasa ini," katanya ketika dihubungi.

Menerusi beberapa keping gambar dan status yang dimuat naik oleh Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) di platform media sosial mereka, skuad Helang Merah sudah berangkat ke Seoul hari ini sebagai persiapan awal untuk bertemu FC Seoul.

Akmal bagaimanapun percaya Kedah sudah melakukan persiapan rapi untuk menghadapi kempen kelayakan itu.

"Barisan pemain sudah melakukan terbaik ketika menentang kelab Hong Kong (Tai Po FC) di pusingan kedua sebelum ini.

"Sekiranya semangat dan corak permainan sama diulangi, tak mustahil Kedah akan mampu membuat kejutan di sana," katanya.

Kedah membenam Tai Po FC 5-1 di Stadium Darul Aman dan semakin hampir untuk bersaing di peringkat utama kumpulan ACL.

Untuk rekod, pada peringkat sama tahun lalu, wakil Malaysia iaitu Perak turut terkandas ketika menentang kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai juga dalam cuaca sejuk.

Ia menyaksikan skuad kendalian Mehmed Durakovic gagal memberi tentangan sengit hingga menyaksikan skuad The Bos Gaurus tewas 5-1.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 January 2020 @ 4:02 PM

Rabu, 22 Januari 2020

Semangat Kedah membara selepas belasah Tai Po

SUKAN»Bola
Rabu, 22 Januari 2020 | 11:39am
 
PASUKAN Kedah menang dengan jaringan 5-1 selepas menewaskan kelab dari Hong Kong, Wofoo Tai Po pada kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Darul Aman. - Foto BERNAMA
Semangat Kedah membara selepas belasah Tai Po
Oleh Muhammad Mustakim Ramli dan Izzali Ismail
bhnews@bh.com.my

ALOR SETAR: Kemenangan 5-1 Kedah ke atas Tai Po FC menyuntik semangat tambahan Helang Merah untuk berhadapan kelab Korea Selatan, FC Seoul pada aksi playoff Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Korea Selatan, 28 Januari ini.

Pengendali skuad Helang Merah , Aidil Sharin Sahak berkata kesungguhan yang ditunjukkan setiap pemainnya pada aksi kelayakan menentang Tai Po FC di Stadium Darul Aman semalam menjadi kunci kejayaan buat pasukannya.

"Alhamdulillah, kita dapat apa yang kita mahukan, ini perlawanan pertama walaupun bukannya satu lawan yang mudah namun kita peroleh keputusan yang baik di hadapan penyokong kita yang memenuhi Stadium Darul Aman."

“Segala perancangan yang kita usahakan berjalan dengan lancar dan saya gembira dengan tahap kesungguhan dan semangat yang telah ditunjukkan setiap pemain yang dirurunkan pada pada perlawanan ini."

“Walaupun kita tidak dapat menurunkan beberapa tonggak pada malam ini, namun apa yang direncanakan pada pramusim dan percubaan kombinasi antara pemain membuahkan hasil." katanya.

Mengulas mengenai perlawanan menentang kelab ternama K- League iaitu FC Seoul pada 28 Januari ini, Aidil mengakui lawan dari Korea Selatan itu merupakan lawan yang sukar.

“Kita perlu terus fokus untuk perlawanan berikutnya, FC Seoul merupakan pasukan yang kuat dan kita perlu mengakui kekuatan mereka."

“Malah kita juga perlu berdepan perjalanan yang jauh dengan cuaca yang sejuk serta mencabar di sana dan selepas saya menyemak tadi suhu mencecah 2 darjah celsius."

"Kita akan terus bekerja keras bagi mendapatkan keputusan yang terbaik kerana tiada jalan mudah untuk aksi di ACL ini, jadi saya mahu pemain menikmati kemenangan ini dan kemudian fokus semula untuk aksi di Korea nanti." katanya.

Sementara itu, penjaring hatrik dan pemain terbaik perlawanan, Kipre Tchetche, berkata gol awal yang dihasilkannya menjadi penyuntik semangat untuk Kedah melakar kemenangan.

“Kita melakukan persiapan lebih sebulan bagi mendapatkan keserasian berikutan ramai pemain baru dalam pasukan pada musim ini dan ternyata kita berjaya membentuk persefahaman dan memperoleh kemenangan pada malam ini,” katanya.[1]



[1] https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2020/01/648916/semangat-kedah-membara-selepas-belasah-tai-po

Isnin, 20 Januari 2020

Lang Merah sedia layan kunjungan Tai Po

MyMetroArena
 
Izzali Ismail
sukanteam@nstp.com.my

KETUA pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar yakin persefahaman dan keserasian yang dibentuk dalam pasukan menjadi ramuan ampuh untuk Kedah menentang kelab Hong Kong, Tai Po FC pada saingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Darul Aman (SDA) malam ini. Beliau yang menjalani latihan bersama rakan sepasukan di sini semalam menyatakan Kedah sudah bersedia memulakan aksi kelayakan ACL yang dinantikan semua penyokong selama ini.

"Pada tahun ini kami membuat persediaan lebih awal untuk menghadapi saingan kelayakan ACL dan seperti semua penyokong impikan, kami mengharapkan keputusan positif dengan melakukan aksi terbaik."

"Tahap keserasian kami bina selama ini menjadi perkara asas yang penting dalam usaha mencari kemenangan. Tiada jalan mudah buat kami sekalipun beraksi di laman sendiri menentang Tai Po FC, sebaliknya kami perlu terus bekerja keras dengan komitmen lebih tinggi bagi memastikan layak ke peringkat seterusnya.

Pemain berpengalaman berusia 31 tahun itu juga berharap sokongan padu daripada penyokong Kedah di Stadium Darul Aman mampu menyuntik semangat tambahan buat pemain Lang Merah.

Baddrol juga mengakui keputusan positif diraih Kedah dalam perlawanan pramusim di Kemboja turut memberi perangsang buat pasukan.

"Kemenangan Piala Smart RSN di Kemboja dapat menaikkan lagi semangat dan moral kami untuk menghadapi ACL dan juga Liga Super selepas ini."

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 11:43 AM

Darul Aman azimat Lang Merah

WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR | | 20 Januari 2020
sidang media perlawanan Kelayakan ACL 2020 Kedah bertemu Tai Po FC                                  

Dari kanan: Aidil, Kpah, Luis dan Davor selepas sidang media perlawanan Kelayakan ACL 2020 Kedah bertemu Tai Po FC di sebuah hotel di Alor Setar hari ini.
ALOR SETAR - Aura Darul Aman menjadi senjata ampuh Kedah apabila melayan kunjungan kelab Hong Kong, Tai Po FC pada aksi sulung Kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2020 malam esok.


Ketua Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak berkata, skuad Lang Merah harus memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri bagi menghadiahkan kemenangan di hadapan penyokong sendiri.

"Kekuatan kami adalah semangat berpasukan. Tempoh bersama sepanjang pramusim ini diharapkan mampu menghasilkan sesuatu.


"Perkara itu akan ditunjukkan oleh pemain-pemain sepanjang 90 minit perlawanan nanti. Apa yang saya boleh janjikan adalah anak-anak buah saya akan memberikan aksi terbaik pada perlawanan ini.

"Perlawanan ini adalah peluang untuk pemain-pemain saya mendapatkan kepercayaan penyokong di laman sendiri. Saya mengharapkan keputusan yang baik pada perlawanan pertama kami pada musim ini," katanya pada sidang media di sebuah hotel di Alor Setar hari ini.

Bagaimanapun, Aidil Sharin berkata, beliau tidak dapat menggunakan khidmat dua tonggak pertahanan kental, Shakir Hamzah dan Azmeer Yusof.

"Shakir akan menjalani penggantungan perlawanan kerana menerima kad merah dalam aksi terakhirnya bersama Home United pada saingan separuh akhir Piala AFC 2018. Azmeer pula masih belum cergas daripada masalah kecederaan.

"Disebabkan itu, saya telah menurunkan Irfan (Zakaria), Alif (Yusof), Zulkhairi (Zulkeply) dan Loqman (Hakim) di Kemboja baru-baru ini. Jadi kami akan bermain dengan barisan pemain yang ada," jelasnya.

Bagi penyerang baharu Kedah, Kpah Sherman, dia sudah tidak sabar memperagakan aksi terbaik di hadapan ribuan penyokong Lang Merah nanti.

"Saya sudah semakin mendapat keserasian dengan rakan-rakan sepasukan. Saya harap dapat membantu pasukan mencipta kemenangan pertama di gelanggang sendiri," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Tai Po FC, Davor Berber berkata, pasukannya akan memberikan aksi 200 peratus dalam usaha mereka untuk mara ke saingan playoff.

"Kami telah melakukan persiapan rapi untuk aksi kelayakan bertemu Kedah. Sudah tentu kami mahu memburu kemenangan untuk meneruskan kemaraan pada saingan kelayakan ACL kali ini," katanya.

Ketua pasukan Tai Po FC, Luis Eduardo pula mengakui, dia dan rakan-rakan sepasukannya berazam mencipta kejutan ke atas Kedah yang dianggapnya mempunyai kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.

"Apa yang kami tahu, Kedah merupakan antara pasukan yang kuat di Malaysia. Bagaimanapun, kami tetap bersemangat memburu kemenangan mutlak ke atas Kedah," ujarnya.

Pemenang perlawanan esok bakal membuat perhitungan dengan kelab FC Seoul pada aksi playoff yang dijadualkan berlangsung di Korea Selatan pada 28 Januari ini.[i]




[i] https://www.sinarharian.com.my/article/66745/BERITA/Sukan/Darul-Aman-azimat-Lang-Merah

Rabu, 15 Januari 2020

Kedah julang Piala Smart RSN

MyMetroArena
 
Izzali Ismail
sukanteam@nstp.com.my

KEDAH melengkapkan siri Jelajah Pramusim 2020 di Kemboja dengan menjulang Piala Smart RSN selepas menewaskan Phnom Penh Crown 2-1 di Stadium Smart RSN, Phnom Penh semalam.

Dua gol Kedah dihasilkan pada babak kedua oleh penyerang sensasi Kipre Tchetche dan pemain sayap Hadin Azman sementara gol Phnom Pehn FC menerusi Lim Posith.


Sementara itu, ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak berkata, kemenangan pada saingan Piala Smart RSN ni menyuntik motivasi buat skuadnya menjelang kelayakan saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) minggu depan.

"Kemenangan ini satu motivasi untuk kami bawa pulang sebelum memulakan saingan penting di peringkat kelayakan ACL bertemu kelab dari Hong Kong, Tai Po FC nanti."

"Semua pengalaman yang dikutip sepanjang perlawanan pramusim di Kemboja ini akan menjadi panduan dan pengajaran untuk kami terus fokus serta mempertingkatkan lagi tahap permainan untuk musim 2020."

"Masih ada ruang yang kami perlu pertingkatkan, namun saya sangat menghargai komitmen dan semangat juang tinggi ditunjukkan semua pemain dalam semua perlawanan yang telah kami lalui.”

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 7:13 PM

Sabtu, 11 Januari 2020

Kes Akhyar pindah ke JDT memihak Kedah

SUKAN»Bola
Sabtu, 11 Januari 2020 | 5:09pm
 
Menurut Majlis Timbangtara, kes melibatkan Akhyar berpihak kepada KFA. - Arkib NSTP
Kes Akhyar pindah ke JDT memihak Kedah
Oleh Izzali Ismail
sukanteam@nstp.com.my
ALOR SETAR: Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) menerima khabar gembira apabila keputusan kes membabitkan perpindahan kontroversi bekas pemain Kedah, Akhyar Rashid yang dirujuk ke Pusat Timbang Tara (AIAC) di Kuala Lumpur sebelum ini kini dikatakan berpihak kepada persatuan berkenaan.

Setiausaha Kehormat KFA, Asmirul Anuar Aris berkata, berita berkenaan memberi sedikit kelegaan buat seluruh warga Kedah yang sabar menantikan keputusan berkenaan sejak tahun lalu.

"Menurut Majlis Timbangtara, kes melibatkan Akhyar ini berpihak kepada KFA. Kita menang, tetapi jumlah pampasan yang ditetapkan masih lagi perlu dipertimbangkan."

"Namun berita ini bercampur suka dan ralat. Suka kerana kita di pihak yang benar namun sedikit 'ralat' kerana jumlah pampasan yang ditawarkan tidak disertai bersama pampasan latihan atau tanpa 'training compensation'."

"Sebolehnya saya ingin segera mengadakan perbincangan dikalangan exco KFA agar dapat berbincang secara teliti tentang pemasalahan dan tuntutan yang ingin diutamakan." katanya.

Asmirul turut memaklumkan bahawa peguam bagi pihak KFA mencadangkan agar persatuan berkenaan segera memfailkan tuntutan lain (terkini) yang selari dengan jumlah tuntutan yang diperlukan.

"Saya tidak dapat menyertakan jumlah pampasan yang akan ditawarkan kerana ianya masih dalam proses perundangan. InsyaAllah saya akan menyatakan dalam sidang media apabila kesemua proses tuntutan yang baru telah siap dibincangkan."

"Tentunya kita tidak akan bertolak ansur tentang jumlah tuntutan. Kita masih berpeluang dan masih boleh mendapatkan jumlah pampasan latihan dengan tuntutan yang baru."

"Apa yang ingin saya tegaskan di sini, apa pun akan kita buat demi rakyat negeri Kedah dan demi kesinambungan kemajuan bola sepak negeri Kedah walaupun terpaksa mengambil masa. Janji kebenaran itu akan terlaksana." katanya.[1]



[1] https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2020/01/645875/kes-akhyar-pindah-ke-jdt-memihak-kedah

Kedah terima khabar gembira


SHAHRIZAL AHMAD ZAINI | | 11 Januari 2020


Akhyar menyertai JDT selepas berhijrah dari Kedah awal tahun lalu. - Foto JST
KEDAH menerima khabar gembira apabila Pusat Timbangtara Asia (AIAC) memutuskan tuntutan pampasan melibatkan bekas pemainnya, Akhyar Rashid ke Johor Darul Ta'zim (JDT) awal tahun lalu memihak kepada skuad Lang Merah itu.


Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Mohd Asmirul Anuar berkata, berita berkenaan pastinya memberikan sedikit kelegaan kepada penyokong dan peminat Hijau Kuning yang menunggu keputusan berhubung tuntutan berkenaan sejak setahun lalu.

"Berita ini bercampur (suka dan ralat). Suka kerana kita di pihak yang benar. Sedikit ralat kerana jumlah pampasan yang ditawarkan tidak disertai bersama pampasan latihan (without training compensation).

"Apa yang dapat difahami, menurut Majlis Timbangtara, kes berpihak kepada KFA. Kita menang tetapi jumlah pampasan yang ditetapkan masih lagi perlu dipertimbangkan.

"Malah, peguam mencadangkan agar kami segera memfailkan tuntutan lain (terkini) selari dengan jumlah tuntutan yang diperlukan. Tentunya kita tidak akan bertolak ansur tentang jumlah tuntutan," katanya dalam laman sosial Facebook peribadinya.

ARTIKEL BERKAITAN:Isu Akhyar, Kedah enggan berganjak

Bagaimanapun, Mohd Asmirul berkata, beliau tidak dapat mendedahkan jumlah pampasan tersebut kerana ia masih dalam proses perundangan.

"Perkara berkenaan akan dinyatakan pada sidang media apabila kesemua proses tuntutan yang baharu siap dibincangkan. Kita harap masih berpeluang dan masih boleh mendapatkan jumlah pampasan latihan dengan tuntutan yang baharu.

"Apa yang ingin saya tegaskan di sini, apapun akan kita buat demi rakyat negeri Kedah. Apapun akan kita buat demi kesinambungan kemajuan bola sepak negeri Kedah. Apaun akan kita buat walaupun terpaksa menanti masa. Janji kebenaran itu akan terlaksana," ujarnya.

Terdahulu, KFA telah mengemukakan rayuan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas tidak berpuas hati dengan keputusan badan induk bola sepak negara itu yang menetapkan nilai pampasan RM75,000 kepada mana-mana pasukan bagi mendapatkan khidmat Akhyar.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Rayuan FAM mengekalkan keputusan Akhyar hanya perlu membayar RM210,000 untuk menebus baki kontraknya bersama KFA manakala pasukan baharunya perlu membayar RM75,000 kepada KFA.[1]



[1] https://www.sinarharian.com.my/article/65534/BERITA/Sukan/Kedah-terima-khabar-gembira