Jumaat, 15 Disember 2017

Kedah, Johor FC jumpa lawan seimbang

ARKIB : 13/01/2009
KUALA LUMPUR - Kedah dan Johor FC berdepan lawan seimbang pada Kejohanan Piala AFC 2009 yang akan bermula 10 Mac ini dalam majlis undian di AFC House, Bukit Jalil, semalam.

Kedah diundi yang dalam Kumpulan G Asia Timur, berdepan kelab Hanoi ACB (Vietnam), Chonburi FC (Thailand) dan Eastern Athletic (Hong Kong).

Johor FC diundi dalam Kumpulan F Asia Timur bersama South China (Hong Kong) dan VB (Maldives).

Satu lagi pasukan dalam kumpulan itu bakal ditentukan menerusi perlawanan playoff sama ada kelab dari Indonesia, Singapura atau Thailand yang turut bersaing dalam Liga Juara-Juara AFC..

Pegawai Media Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Mohd. Fakhri Ahmad berkata, pengalaman beraksi di kejohanan itu musim lalu menjadi bekalan buat Kedah yang terkandas di suku akhir kejohanan edisi 2008.

Katanya, Kedah tetap mencuba yang terbaik walaupun tanpa khidmat pemain import musim ini.

''Kita tidak tahu sejauh mana kekuatan pasukan lawan dalam kumpulan cuma saya menyifatkan peluang Kedah seimbang.

''Prestasi Kedah dalam saingan liga tempatan yang agak merosot sekarang bukan halangan untuk kami memberikan yang terbaik dalam Piala AFC.

''Saya yakin Kedah akan menemui rentak selepas beberapa perlawanan Liga Super.

''Ketika itu kami sudah selesa untuk beraksi di Piala AFC,'' katanya ketika ditemui selepas undian semalam.

Nada yang sama dilaungkan Johor FC walaupun berstatus pasukan pengganti dalam Piala AFC selepas Selangor dan Negeri Sembilan menolak tawaran beraksi dalam kejohanan musim ini.

Pengurus pasukan, Md. Faizal Abdullah berkata, Johor FC memandang serius Piala AFC walaupun menyedari statusnya sebagai sebuah kelab kerdil.

''Kami menganggap kejohanan ini sebagai tugas dan tanggungjawab besar, kami adalah wakil Malaysia, tidak sekadar wakil kelab.

''Kami akan memberikan yang terbaik walaupun dibarisi pemain muda yang berusia di antara 23 hingga 24 tahun yang amat memerlukan pendedahan,'' katanya.

Sementara itu, sebanyak 29 pasukan yang diundi dibahagikan kepada lapan kumpulan, empat pasukan setiap kumpulan.

Tiga lagi pasukan akan ditentukan dari penentuan playoff, menjadikan kejohanan kali ini pertama kali disertai 32 pasukan.

Lima kumpulan tersebut dibahagikan kepada Asia Barat (lima kumpulan) dan Asia Timur (tiga kumpulan).

Juara bertahan Al Muharraq dari Bahrain diundi bersama juara edisi 2006 kelab Jordan, Al Faisaly dalam Kumpulan E, juga Al Majd (Syria).

Perlawanan peringkat kumpulan akan bermula pada 10 Mac dan perlawanan timbal balas pada 19 Mei.

Perlawanan pusingan kalah mati 16 pasukan akan bermula pada 26 Mei bagi Asia Barat dan 23 Jun bagi Asia Timur.

Perlawanan akhir secara timbal balas ditetapkan pada 27 Oktober dan 3 November ini.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0113&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz51NYmZxfq

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan