Selasa, 5 Disember 2017

Muharraq FC belasah Kedah 5-0

ARKIB : 18/09/2008
Abdulla Isameel Omar (kiri) dari Muharraq FC dihalang oleh pemain Kedah , Shafizan Hashim dalam perlawanan suku akhir Piala AFC di Manama, semalam. - AFP

KUALA LUMPUR - Tanpa khidmat import, gelaran juara 'treble' berganda seakan-akan tidak membawa makna buat Kedah apabila dibelasah 5-0 oleh kelab Muharraq FC dari Bahrain pada perlawanan suku akhir pertama bola sepak Piala AFC di Manama, semalam.

Kedah yang kehilangan trio importnya - Marlon Alex James, Bernard Huggins dan Nelson San Martin ternyata pincang tanpa bantuan pemain import.

Kekalahan pasukan menjuarai Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia dua musim berturut-turut itu lebih malang berbanding satu lagi wakil negara, Perak yang juga kehilangan penyerang, Carlos Caceras, tumpas tewas 0-2 kepada Safa SC dari Lebanon di Stadium Perak dekat Ipoh, kelmarin.

Pada perlawanan di Manama, semalam pemain tengah antarabangsa Bahrain, Mahmood Abdulrahman menjaringkan dua gol untuk Muharraq kini hanya 'sebelah kaki' ke peringkat separuh akhir Piala AFC.

Kedua-dua pasukan bagaimanapun kebuntuan gol pada separuh pertama, namun serangan bertali arus dalam tempoh 25 minit terakhir hampir menutup sama sekali peluang Kedah untuk meneruskan kemaraan.

Khaled Salmeen membuka tirai jaringan tuan rumah pada minit ke-65 dan Abdulrahman menambah gol kedua lapan minit kemudian sebelum pasukan tuan rumah melengkapkan pesta gol menerusi Rico (Leandson Dias da Silva), Fahad Al Hardan dan Abdulrahman sekali lagi pada lima minit terakhir perlawanan.

Sementara itu, jurulatih Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah mengakui ketiadaan ketiga-tiga tonggak import tersebut amat dirasai dalam perlawanan antarabangsa seperti Piala AFC.

Kata Azraai, ketiadaan pemain import yang telah pun meninggalkan pasukan Kedah menyebabkan dia terpaksa menggunakan pemain tempatan yang kurang pengalaman di dalam kejohanan besar seperti itu.

"Kami berjaya mempertahankan kedudukan tanpa jaringan di babak pertama. Namun, tekanan berterusan menyebabkan pemain- pemain menjadi letih mengakibatkan lima gol dihasilkan lawan," katanya yang dipetik dalam laman web AFC.

Pada perlawanan peringkat kumpulan sebelum ini, Marlon dan Nelson masing-masing menjaringkan empat gol daripada 13 gol yang di hasilkan oleh Kedah.

Kedah akan menjadi tuan rumah kepada Muharraq dalam perlawanan suku akhir kedua di Stadium Darul Aman, Alor Star pada 23 September ini.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0918&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz50Rpzsu00

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan