Selasa, 5 Disember 2017

Kedah ada peluang

ARKIB : 16/09/2008
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

Mohd. Khyril Muhymeen Zamri bakal menjadi antara tonggak Kedah selepas ketiadaan pemain import dalam pertemuan dengan Al Muharraq di Bahrain malam ini.

KUALA LUMPUR – Jika Kedah kehilangan trio importnya - Marlon Alex James, Bernard Huggins dan Nelson San Martin, nasib Al Muharraq pula lebih teruk kerana turun ke suku akhir pertama bola sepak Piala AFC hari ini tanpa enam tonggak yang masih bersama skuad kebangsaan Bahrain.

Ia sekali gus membuka sedikit peluang untuk juara tiga piala Liga Malaysia itu menyambar sekurang-kurangnya satu mata dari Stadium Kebangsaan, Manama sebagai bekalan semangat apabila menanti lawan di Alor Star dalam suku akhir kedua, 23 September ini.

Ketiadaan mereka disahkan oleh jurulatih Al Muharraq, Salman Sharida kepada laman web Gabungan Bola Sepak Asia (AFC), the-afc.com di Manama, semalam, dengan menambah, khidmat kesemua tonggak itu cuma dapat diperoleh semula pada Khamis ini.

“Persediaan kami terjejas tanpa mereka setelah kami turut kehilangan penjaga gol utama, Ali Hassan kerana kecederaan perut, Hamad Al Dakeel (betis) dan penyerang dari Brazil, Leandson Silva yang baru terbabit dengan kemalangan kereta,” katanya.

Salman juga tidak memperlekehkan kemampuan Kedah walaupun Muharraq mempunyai kelebihan gelanggang sendiri selain dengan reputasi gah selaku naib juara Piala AFC 2006 dan juara Liga Bahrain sebanyak 30 kali.

“Kami mesti mendapatkan kelebihan awal dengan memenangi perlawanan ini tetapi lawan tetap sebuah pasukan yang tersusun dan jika tidak bagus, mereka tidak akan sampai sejauh suku akhir Piala AFC ini,” katanya.

Muharraq bagaimanapun sempat mengadakan persediaan dengan beraksi dalam Liga Juara-juara GCC bulan lalu malah berhasrat menghadiahkan kemenangan untuk penyokong sendiri.

Marlon, penjaring terbanyak Liga M 2007-2008 dan Huggins sudah pun berhijrah ke Vancouver Whitecaps di Liga Bola Sepak Utama (MSL) Amerika Syarikat sementara Nelson pulang ke negara asal, Chile selepas membantu Kedah menjulang Piala Malaysia, Liga Super dan Piala FA.

Malah ketiadaan Marlon, penyerang St. Vincent dan Grenadines dan Nelson yang menyumbangkan lapan gol untuk membantu Kedah muncul naib juara Kumpulan D cukup dirasai oleh jurulatih, Azraai Khor Abdullah dalam persaingan kalah mati ini.

“Tugas dan cabaran kami lebih getir tanpa mereka tetapi kami tetap akan mencuba yang terbaik selepas mencapai sasaran awal dengan melepasi peringkat kumpulan. Sebarang keputusan yang bagus dalam suku akhir dianggap satu bonus bagi kami,” katanya.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0916&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz50OYrhney

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan