Sabtu, 18 Februari 2017

Kelantan masih pencabar, kata Cheng Hoe

WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR
18 FEBRUARI 2017
 Kelantan masih pencabar, kata Cheng Hoe
Kelantan masih pencabar, kata Cheng Hoe Ketiadaan tonggak utama memberi ruang kepada pemain muda seperti Halim Shaari (dua kanan) diturunkan pada perlawanan kompetitif. -Foto Ahmad Zaki Osman
PENDAHULU Liga Super 2017, Kedah percaya lawan mereka malam ini, Kelantan mampu meleburkan rekod tanpa kalah empat perlawanannya setakat ini sekiranya mereka tidak bersedia sepenuhnya.

Berkunjung ke Stadium Sultan Muhammad IV bagi perlawanan kelima liga bukan satu tugas mudah apabila The Red Warrior juga pastinya akan mendapat sokongan penuh penyokong setia yang memenuhi gelanggang keramat mereka.

Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe berkata, beliau masih percaya skuad kendalian Zahasmi Ismail itu antara pencabar terkuat liga musim ini walaupun dilaporkan menghadapi krisis kewangan.

Dalam pada itu, tersingkirnya Kelantan dari saingan Piala FA 2017 kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) pada pusingan kedua Piala FA 2017 Selasa lalu juga bukan faktor Hijau Kuning boleh memandang rendah keupayaan semasa pasukan tersebut.

"Mereka menghadapi dua perlawanan sebelum ini dan menang semuanya. Walaupun ada yang kata Kelantan menghadapi krisis kewangan namun pada saya percaya mereka masih lagi antara pasukan pilihan untuk mencabar Liga Super musim ini," katanya.

Turun dalam misi untuk memburu tiga mata penuh, bagaimanapun Kedah belum pasti dapat menurunkan beberapa tonggak utama kerana masih lagi dalam proses pemulihan kecederaan dan kecergasan.

Namun Cheng Hoe masih boleh menarik nafas lega apabila barisan simpanan masih mampu mengalas tugas yang ditinggalkan oleh pemain-pemain utama.

"Pemain-pemain lain masih lagi dapat bermain dengan baik pada perlawanan menentang Kuala Lumpur walaupun beberapa pemain utama terpaksa direhatkan," katanya.

Sumber-sinar Harian online 18 FEBRUARI 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan