WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR
24 FEBRUARI 2017
Kedah mahu padam badi Pulau
Pinang Cheng Hoe (kiri) mahu pemain-pemainnya tidak memandang rendah dengan
keupayaan pasukan tercorot Liga Super, Pulau Pinang pada pertemuan esok.
KEDAH turun dalam misi untuk
mempertahankan kedudukannya selaku pendahulu Liga Super 2017 pada perlawanan
keenam menentang pasukan tercorot, Pulau Pinang di Stadium Darul Aman, malam
esok.
Walaupun gah di puncak liga,
kerisauan tetap terpancar di riak wajah pengendalinya, Tan Cheng Hoe kerana
rekod pertemuan kedua-dua pasukan utara ini sejak 2010 memihak kepada lawan.
Pulau Pinang menang dua
perlawanan berbanding Kedah yang menang satu perlawanan sahaja dan selebihnya
adalah keputusan seri pada 4 pertemuan Liga Super dan 4 pertemuan Liga Perdana.
Jelas Cheng Hoe, mereka akan
cuba memadam badi berkenaan dan percaya ini merupakan masa sesuai untuk
melakukannya.
"Kami tidak mempunyai
pilihan lain kecuali menang di laman sendiri jika mahu terus selesa pada
kedudukan sekarang kerana Kedah hanya beza satu mata sahaja dengan Pahang dan
Perak.
Bagaimanapun, pemain perlu
waspada dengan kebangkitan Pulau Pinang kerana tidak ada satu pasukanpun yang
mahu terus kalah dan sudah tentu mereka akan bermatian-matian untuk memburu
mata Sabtu ini (esok)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Jelasnya, pertembungan dua
pasukan utara ini sering menyajikan perlawanan sengit malah pasukannya sering
buntu memburu mata kemenangan ke atas lawan sejak beberapa tahun lalu.
Menurutnya, keadaan ini
menyaksikan beliau mahu pemain fokus sepenuhnya selain memanfaatkan peluang
yang terhidang sebaik mungkin.
"Kami mungkin masih tidak
dapat menggunakan beberapa khidmat tonggak antaranya Sandro Da Silva, Syazwan
Zainon, Akram Mahinan dan Farhan Roslan menentang Pulau Pinang kerana mereka masih belum sembuh dari kecederaan
dan ini merupakan ruang terbaik kepada pemain muda lain untuk menunjukkan
kemampuan masing-masing," katanya.
Sumber-sinar harian online 24
FEBRUARI 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan