ARKIB : 20/05/2000
PEMAIN KL Malay Mail, S. Sangar
(kanan) berusaha menyekat kemaraan salah seorang pemain Tentera pada perlawanan
bola sepak Perdana Dua di Stadium KLFA, Cheras semalam. Tentera menang 1-0. -
Gambar RASHID MAHFOF
KEDAH mengukuhkan cengkaman di
persada liga selepas menewaskan NS Chempaka 1-0 dalam perlawanan bola sepak
Liga Perdana Dua di Stadium Darul Aman, Alor Setar semalam.
Dengan kemenangan itu, Kedah
memungut 13 mata daripada enam perlawanan, dengan empat kemenangan dan satu
seri.
Gol tunggal tuan rumah
dijaringkan oleh Badrul Hisham Abdullah pada minit kesembilan.
Kedah bagaimanapun gagal
memanfaatkan peluang menambah jaringan walaupun NS Chempaka terpaksa beraksi
dengan sepuluh pemain pada separuh masa kedua selepas Md. Raizuwah Idris
diperintah keluar padang pada minit ke-45.
Kedah bertindak agresif seawal
permainan bermula dengan melakukan serangan bertali arus ke arah kubu
pertahanan lawan dalam usaha mendapatkan gol awal.
Hasil asakan bertalu-talu,
Kedah akhirnya berjaya menembusi gawang NS Chempaka menerusi Badrul Hisham
Abdullah yang menolak masuk bola ke dalam gol selepas menerima satu sepakan
sudut pada minit kesembilan.
Dalam perlawanan di Stadium
Kubu, Melaka gagal menggunakan kesempatan beraksi di tempat sendiri buat kali
pertama, apabila sekadar seri 1-1.
Melaka bermula garang di
separuh masa kedua dan memperoleh sepakan penalti pada minit ke-49, setelah
penyerangnya Mohd. Rizalruddin Ghani dijatuhkan oleh pertahanan Kelantan,
Rosmaini Ismail, dalam kotak penalti.
Saiful Bahri menjaringkan gol
pembukaan perlawanan apabila mudah menewaskan penjaga gol Kelantan, Sharizan
Ismail.
Walaupun ketinggalan, Kelantan
tidak berputus asa sebaliknya bangkit dan menyamakan kedudukan menerusi bekas
penyerang kebangsaan, Anuar Abu Bakar bertindak berani melayangkan dirinya dari
satu hantaran silang.
Sementara itu, dalam perlawanan
di Stadium Pasir Gudang, semalam Johor FC mencatat kemenangan kedua dengan
menundukkan Telekom Melaka 3-2.
Telekom Melaka mengejutkan
pasukan tuan rumah pada minit ke-18 apabila Tan Gim Hong berjaya melepaskan
rembatan deras dari luar kawasan kotak penalti pasukan lawan lalu menewaskan
penjaga gol pasukan Johor FC, Amirullah Abd. Ghani.
Wirat Nom menambah derita Johor
FC apabila membuat sepakan lambung yang cantik dari jarak 25 meter lalu
menewaskan penjaga gol pasukan pelawat Shamsul Sabtu.
Pasukan tuan rumah berjaya
merapatkan jurang melalui Sheikh Ahmad Redzuan pada minit 80 setelah membuat
sepakan leret di hadapan pintu gol menewaskan V. Murugan.
Sheikh Ahmad Redzuan
menjaringkan gol pada minit ke-83 selepas menguis masuk hantaran leret di
hadapan pintu gol lalu menewaskan V. Murugan.
Sheikh Ahmad menambah gol
ketiganya untuk pasukan Johor FC pada minit ke-87, apabila membuat tendangan
cantik menewaskan Shamsul Sabtu setelah menerima hantaran dari Hamzani Omar.
Di Stadium KLFA, Cheras
Angkatan Tentera mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Malay Mail.
Gol tunggal kemenangan Tentera
dijaringkan oleh Endrew Lawadin pada minit ke-50.
Sementara itu di Stadium Sultan
Mohd. ke-IV, Kelantan JKR dan Kelantan TNB seri 3-3.
Kelantan JKR mendahului 2-0
pada babak pertama menerusi Tengku Marzuki Tuan Mat pada minit ke-12, sebelum
Roslan Hassan melebarkan kedudukan 2-0 pada minit ke-17.
Kelantan TNB merapatkan jurang
pada minit ke-50 menerusi Zainuddin Ariffin dan Nordin Mohd. Shukri menyamakan
kedudukan pada minit ke-74.
Perlawanan bertambah sengit
pada minit ke-86 apabila Mohd. Azli Mahmud menjaringkan gol ketiga Kelantan JKR
, tetapi TNB sekali lagi menyamakan kedudukan menerusi Zainuddin di minit
terakhir.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0520&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4Ta2Kobr1
© Utusan Melayu (M) Bhd