AKSI di antara pemain Kedah (kiri) dan Felda United di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, sebentar tadi. - KEDAH FA
Oleh Rozaidi Zulkifli
12 September 2020, 11:36 pm
KUALA LUMPUR: Walaupun isu tunggakan gaji belum selesai, namun semangat juang pemain Kedah tetap membara apabila melakar kemenangan ketiga berturut-turut dengan menundukkan Felda United 2-1 dalam aksi Liga Super di Jengka, sebentar tadi.Lang Merah memulakan kempen liga kembali bersambung selepas lima bulan berehat akibat Covid-19 dengan bergaya apabila merekodkan kemenangan 2-0 ke atas PDRM, sebelum menewaskan Petaling Jaya City 2-1 di Alor Setar minggu lalu.Begitupun rentak permainan hambar disajikan kedua-dua pasukan pada babak pertama di Stadium Tun Abdul Razak, menyaksikan mereka tidak banyak mencipta peluang bagi menghasilkan jaringan untuk pasukan masing-masing.Kedah hanya mampu melakukan satu percubaan tepat pada minit ke-41 menerusi tolakan lemah pemain Filipina, Amin Nazari yang menerima umpanan Baddrol Bakhtiar melalui sepakan percuma. Namun, bola mudah ditangkap penjaga gol Felda, Muhaimin Mohamad.
Tersentak dengan percubaan itu, Felda kembali mengatur gerakan serangan dan hasilnya berjaya memecah kebuntuan gol menerusi tandukan Syahmi Zamri yang menerima hantaran lintang pemain tengah, Danial Amier Norhisham dari sebelah kiri gol pelawat.
Kedudukan 1-0 kekal hingga berakhir babak pertama, sekali gus memberi sedikit senyuman kepada pengendali tuan rumah, Nidzam Jamil masuk ke bilik persalinan.
Memasuki babak kedua, Kedah tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan hasil rembatan kencang penyerang sensasi dari Ivory Coast, Kipre Tchetche pada minit ke-48 selepas menerima lambungan cantik daripada Shakir Hamzah.
Gol itu nyata menyuntik semangat pemain Lang merah untuk menggandakan jaringan dan hasilnya giliran Hadin Azman mencetak nama sebagai penjaring menerusi rembatan leret yang gagal ditangkap kemas Muhaimin untuk gol kedua pelawat pada minit ke-66.
“Kemenangan ini hasil kerja keras dalam satu pasukan, kami bangkit daripada ketinggalan 1-0 untuk menewaskan pasukan lawan.
“Sudah tentu kami datang ke sini untuk meneruskan momentum kemenangan dan saya gembira dapat menjaringkan gol di sini sekali gus membawa pulang tiga mata,” kata Hadin selepas tamat perlawanan.
Dalam perlawanan itu juga, pasukan Felda United lima kali melakukan tuntutan untuk mendapatkan sepakan penalti namun tidak dihiraukan pengadil perlawanan Mat Zan Abdul Wahab.Kemenangan itu menyaksikan Kedah melonjak ke tangga kedua Liga Super dengan mengumpul 13 mata, ketinggalan enam mata kepada pendahulu liga Johor Darul Ta’zim (JDT).SUMBER-SUKAN UM ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan