MyMetroArena
Izzali Ismail
sukanteam@nstp.com.my
KETUA Jurulatih Kedah Aidil Sharin Sahak kagum dengan sikap anak buahnya yang memiliki semangat 'pantang kalah' apabila berjaya bangkit memburu kemenangan selepas ketinggalan dalam dua perlawanan terakhir Liga Super musim ini.
Menurutnya melalui dua perlawanan itu, iaitu ketika bertemu Petaling Jaya City FC (PJ City) minggu lalu dengan kemenangan 2-1 dan keputusan sama selepas menentang Felda United FC (FUFC) semalam, ia membuktikan semangat kental skuad Kedah untuk bangkit memburu kemenangan.
"Saya lihat semangat pemain tetap teguh dalam memburu kemenangan dan mereka tidak mahu menyerah kalah biarpun diancam hebat oleh pasukan lawan apabila ketinggalan diawal perlawanan.
"Semangat juang tinggi yang ditunjukkan oleh semua pemain boleh diukur pada beberapa perlawanan lalu dan walaupun ketinggalan gol, kita akhirnya berjaya bangkit semula untuk meningkatkan kembali rentak perlawanan.
"Sebagai jurulatih saya mahu mereka teruskan fokus terbaik dalam apa juga keadaan tanpa mengiraukan sebarang tekanan yang sedang dihadapi," katanya.
Selepas meraih kemenangan 2-1 di tempat lawan ketika bertemu FUFC semalam, Aidil Sharin mahu pasukannya terus memberi tumpuan terbaik untuk berdepan Sabah di Stadium Darul Aman, Sabtu ini.
"Kemenangan empat kali berturut-turut pada musim ini sudah pasti memberi suntikan semangat lebih tinggi buat kami dan fokus seterusnya pastilah strategi yang sedang dirancang untuk bertemu Sabah.
"Jadi, tiada istilah berehat dan kami perlu terus bekerja keras dalam setiap latihan bagi mengatur perancangan penting untuk kekal bersaing," katanya.
Kedah kini menghuni tangga kedua Liga Super dengan mengutip 13 mata di belakang Johor Darul Ta'zim (JDT) yang mengungguli tangga teratas dengan 19 mataSUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2020 @ 2:27 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan