Sabtu, 16 November 2019

Trofi Liga Perdana 2015 milik Kedah, Pulau Pinang naik pangkat


Sukan
Jumaat, 21 Ogos 2015 | 10:52pm
 
Trofi Liga Perdana 2015 milik Kedah, Pulau Pinang naik pangkat
PEMAIN Kedah, Chidi Edeh melakukan aksi akrobatik selepas menjaringkan gol ke gawang DRB Hicom dalam perlawanan akhir Liga Perdana di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Osman Adnan
KUALA LUMPUR: Kedah gah menjulang trofi Liga Perdana 2015 selepas mencatat kemenangan besar 4-1 ke atas DRB Hicom, malam tadi ketika T-Team terpaksa gigit jari apabila tumbang kepada Kuantan FA.

Kemenangan menyaksikan Kedah yang hanya memerlukan satu mata untuk dinobat juara tidak mampu lagi dicabar sekali gus kembali beraksi dalam saingan Liga Super, musim depan.

Mengiringi Kedah yang dibimbing jurulatih, Tan Cheng Hoe ke Liga Super ialah Pulau Pinang yang melakar kemenangan 2-0 ke atas UiTM FC di laman lawan.

Begitupun malang bagi T-Team apabila kemenangan yang diharapkan bertukar mimpi ngeri apabila tewas 2-1 kepada Kuantan FA sekali gus menamatkan kempen musim ini di kedudukan ketiga.

Beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kedah jelas tidak mahu menghampakan ribuan penyokong yang hadir dan meledak gol seawal minit ketiga menerusi jaringan pemain import, Sandro da Silva yang turut meledak hatrik pada perlawanan itu.

Begitupun, kedudukan pantas disamakan DRB Hicom menerusi jaringan Ivan Babic, empat minit kemudian sebelum Kedah mengganas dengan menambah dua lagi gol sebelum babak pertama berakhir.

Gol kedua Kedah dijaringkan Chidi Edeh pada minit ke-9 diikuti jaringan kedua Silva pada minit ke-33.

Edeh kemudian menjaringkan gol keempat Kedah sebelum Silva melengkapkan hatriknya pada minit ke-80.

Di Stadium Darul Makmur, hasrat T-Team untuk kembali ke saingan Liga Super musim depan terkubur selepas mencatat kekalahan mengejutkan kepada Kuantan FA.

Kuantan FA jelas tidak mahu mensia-siakan aksi di laman sendiri dengan mendahului 2-0 berakhir babak pertama menerusi jaringan Abdul Malik Mat Ariff pada minit ke-17 diikuti gol Milan Purovic pada minit ke-22.

Kebangkitan yang diharapkan T-Team pada babak kedua tidak kesampaian apabila hanya mampu meledak satu gol.

Di Stadium Hang Jebat, Melaka, Pulau Pinang turut meraikan kejayaan kembali ke saingan elit bola sepak Malaysia dengan kedua-dua jaringan diledakkan pada kedua-dua masa permainan.

Gol pertama Pulau Pinang dijaringkan Azinee Taib seawal minit ke-8 diikuti gol Hilton Moreira pada minit ke-81.

Dalam pada itu, Kuala Lumpur mengiringi KL SPA ke saingan Liga FAM musim depan selepas mencatat kekalahan 2-1 kepada Negeri Sembilan.[i]


[i]https://www.bharian.com.my/node/49790           

Ahad, 3 November 2019

Baddrol optimis Kedah akan bangkit lebih baik

MyMetroArena
 
BERNAMA
KAPTEN Kedah, Baddrol Bakhtiar tetap positif dan optimis skuad Lang Merah akan bangkit semula musim hadapan, selepas menamatkan saingan musim ini dengan kekalahan 0-3 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada final Piala Malaysia 2019, semalam.

Di bawah bimbingan ketua jurulatih Aidil Sharin Sahak, Baddrol percaya pembaharuan yang disuntik jurulatih kelahiran Singapura berusia 42 tahun itu, akan menjadikan Kedah sebagai salah satu pasukan terbaik dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Aidil Sharin berjaya membawa Kedah menjuarai Piala FA 2019 dan menamatkan saingan Liga Super di tempat keempat dalam tempoh kurang setahun, sejak dilantik sebagai pengendali pasukan pada Oktober 2018.

“Sebagai pemain profesional, kita (pemain) kena fokus lagi untuk ke depan dan terus melihat dengan positif serta berusaha lebih keras.

“Tahun depan masih ada lagi... Insya-Allah, Kedah akan jadi pasukan yang terbaik sebab kami baru 10 bulan membentuk pasukan,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan.

Kedah mara ke final Piala Malaysia buat kali keempat dalam tempoh lima tahun, musim ini mempamerkan semangat juang tinggi dalam perjalanan ke pentas akhir, termasuk kejayaan menyingkirkan Pahang menerusi keputusan agregat 8-8 di separuh akhir.

Bagaimanapun, ketiadaan dua tonggak yang digantung perlawanan selain penyerang Fernando Rodriguez yang mengalami kecederaan, memberi impak kepada mutu persembahan pasukan sekali gus menyaksikan JDT mendominasi 90 minit perlawanan.

“Memang kami rasai ketiadaan Renan (Renan Alves), Mohd Rizal (Mohd Rizal Mohd Ghazali) dan Fernando di saat akhir, tetapi itu lah bola sepak.

Bukan rezeki kami dan kami masih positif insya-Allah mungkin kami akan sekali lagi ke Bukit Jalil (musim depan),” jelas Baddrol.

Kekalahan Kedah menyaksikan pasukan utara tanah air itu mencatat kekalahan kedua kepada JDT di pentas final Piala Malaysia selepas tewas 0-2 pada edisi 2017, di Stadium Shah Alam.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 November 2019 @ 12:37 PM


Khamis, 24 Oktober 2019

'Pulun Kedah Pulun' azimat Lang Merah

MyMetroArena
 
Izzali Ismail
sukanteam@nstp.com.my

SORAKAN dan sokongan penyokong Kedah untuk skuad Lang Merah tonik terbaik membangkitkan semangat pemain yang akan berjuang habis-habisan pada aksi separuh akhir kedua menentang Pahang di Stadium Darul Makmur, Sabtu ini.

Menurut kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar, kehadiran serta sokongan penyokong setia Kedah di Stadium Darul Makmur dapat membantu rentak persembahan pasukan dalam memburu kemenangan seterusya layak ke pentas akhir.

"Sokongan padu semua penyokong Kedah sangat diperlukan kerana dijangkakan saingan akan menjadi begitu sengit memandangkan peluang kedua-dua pasukan masih terbuka. Sokongan sepanjang 90 minit sudah pasti memberi kekuatan buat kami yang akan beraksi di tempat lawan dengan stadium bakal dipenuhi ramai penyokong skuad Tok Gajah.

"Jadi dengan bergemanya sorakan 'Pulun Kedah Pulun' di Kuantan nanti, mampu meningkatkan lagi motivasi dan semangat untuk Kedah berjuang hingga ke hujung perlawanan," katanya.

Pemain berpengalaman Kedah itu juga mengakui sokongan penyokong selama ini menjadi faktor penting dalam setiap perlawanan dilalui skuad berkenaan.

"Kita pernah melalui waktu sukar apabila ketinggalan, namun dengan sokongan daripada penyokong serta semangat ditunjukkan pemain, kita mampu bangkit dengan kemenangan,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 6:32 PM

Sabtu, 19 Oktober 2019

Kedah akan cuba kikis 'badi' - Radhi


KEDAH akan cuba mengikis 'badi' dalam cabaran sulungnya menentang Kuala Lumpur pada pertandingan bola sepak Perdana Satu di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam ini, laporMARZUKI MOHAMAD.
''Badi yang dialami ketika bertemu Kuala Lumpur pada tiga perlawanan akhir Piala Malaysia, berturut-turut iaitu tahun 1987, 1988 dan 1989, masih menghantui Kedah,'' kata ketua pasukan, Radhi Mat Din.
Bagaimanapun, katanya, seluruh jentera pasukan termasuk dirinya sendiri sudah menguatkan azam bukan sahaja untuk mengikis badi tetapi juga mencari kemenangan pertama bila bertemu Kuala Lumpur.
Secara kebetulan, Kuala Lumpur yang menjuarai Piala Malaysia pada ketiga-tiga tahun itu, kini masih di bawah asuhan jurulatih, Chow Kwai Lam.
Sementara bagi Radhi pula, menjadi pemain tunggal dalam skuad berkenaan yang masih meneruskan penglibatannya memimpin hijau kuning.
Selepas itu, katanya, pertemuan Kuala Lumpur - Kedah, sentiasa memberi kelebihan kepada pasukan kota raya itu, bagaimanapun, ada kalanya hijau kuning juga berjaya menjinakkan pencabarnya itu.
Mengenai percaturan pemain yang bakal diturunkan, ketua pasukan itu memberitahu kesemua pemain utama mungkin dapat beraksi pada perlawanan pembuka tirai itu.
''Ini termasuk striker kita, Che Zambil Ahmad, bagaimanapun keputusan terakhir sama ada Zambil boleh turun atau tidak, bergantung atas nasihat Dr. Sarwan, ''katanya.
Dalam hubungan ini, Kedah tidak menghadapi masalah di barisan serangan kerana tunggaknya menjadi pilihan antara Zambil dan Zulfatah Dzulkarnain yang bergandingan dengan Carlos Roberio.
Peranan membantu kelancaran barisan serangan turut dipikul bersama Andre Luis Almeida Do Nascimento, Mohd. Nidzam Adzha Yusoff, Radhi Mat Din dan Mohamad Feriza Ismail, walaupun sebagai pemain midfeild.
Sementara barisan pertahanan, terdiri Khamal Idris Ali, Kane Mamadau Diallo dan Mohamad Farouk Ismail, termasuk penjaga gol, S. Suresh, seharusnya lebih berhati-hati.
Ini kerana pertahanan hijau kuning sejak dua tiga tahun ini cukup rapuh, tidak semantap zaman Lee Kin Hong, Mohamad Ramli, Ng Chew Beng dan K. Ravichandran.
Biar apa pun, kata Radhi, hijau kuning kini sudah bersedia dan seluruh pasukan berada dalam keadaan dan sausana ceria di bawah pengurusan baru, Datuk Mohd. Shariff Abu Samah.
Di samping itu, katanya, pasukan juga berjaya mengwujudkan persefahaman baik di kalangan pemain import, lama dan muka- muka baru.
Published on: 04/04/1998

Selasa, 15 Oktober 2019

Baddrol, Farhan ancaman Tok Gajah

MyMetroArena                    
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my
 
KAPTEN Kedah, Baddrol Bakhtiar dan Farhan Roslan antara pemain yang perlu disekat Pahang apabila kedua-dua pasukan bertemu pada separuh akhir pertama Piala Malaysia, Sabtu ini.

Ia diakui pemain pertahanan Tok Gajah, Zubir Azmi yang melihat skuad Lang Merah bergantung kepada dua pemain itu selain barisan import.

"Bagi saya, kami tidak boleh membiarkan Baddrol dan Farhan mengawal permainan di bahagian tepi dan serangan kerana mereka mampu melakukan jaringan.

"Pada masa sama, Kedah juga memiliki kelebihan yang dibantu pemain import untuk memberi tekanan kepada kami termasuk sokongan padu peminat Lang Merah.

"Tapi misi kami bukan saja mencatat keputusan positif tetapi ia lebih kepada mendapatkan bekalan gol di tempat lawan nanti," katanya.

Zubir berkata, kunjungan skuad itu ke Stadium Darul Aman, Alor Setar mempunyai misi besar untuk sekurang-kurangnya mencatat bekalan selesa.

Katanya, keputusan seri 0-0 pada saingan Liga Super di Alor Setar dan menang 1-0 di Kuantan memberi petanda positif buat skuad kendalian Dollah Salleh itu.

"Ketika seri tanpa jaringan di Alor Setar, saya bermain dan atas sebab itu boleh dikatakan Kedah sukar ditewaskan di tempat mereka.

"Tapi, kami tidak boleh membenarkan mereka membolosi gawang Pahang dan diharapkan keputusan terbaik diperolehi di sana nanti.

"Persefahaman dan fokus sepanjang 90 minit permainan akan memastikan Pahang tidak pulang dengan tangan kosong," katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 2:24 PM

Sabtu, 27 Julai 2019

Baddrol puas cipta sejarah

Ahad, 28 Julai 2019 | 7:46am
 
PENGADIL perlawanan dari Jepun, Okabe Takuto melayangkan kad kuning kepada pemain Kedah, Baddrol Bakhtiar pada final Piala FA 2019 Kedah menentang Perak di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto BERNAMA
Baddrol puas cipta sejarah
Oleh Mohd Fitrie Muhammad danZulfaizan Mansor dan Syafiq Aznan
sukanteam@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar mengakui puas selepas berjaya mencipta sejarah peribadi dengan menjulang Piala FA buat kali keempat bersama Helang Merah.

Kedah dinobatkan sebagai juara Piala FA musim ini selepas menundukkan satu lagi pasukan dari utara tanah air, Perak 1-0 pada final di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Baddrol yang menjadi perancang utama Helang Merah tidak pernah berhijrah ke pasukan lain sepanjang kerjayanya sudah menjulang trofi itu pada 2007, 2008 dan 2017.

"Saya memang tekad untuk mendapatkan piala ini sebab saya ingin mencipta sejarah sebagai seorang pemain yang merangkul empat kejuaraan Piala FA dalam satu kelab," kata Baddrol pada sidang media selepas perlawanan.

Kedah seharusnya perlu berterima kasih kepada pemain gantian, Fadzrul Danel Mohd Nizam selepas jaringan tunggalnya pada minit ke-105 memberikan kejuaraan Piala FA buat kali kelima kepada Helang Merah.

Selain itu, Baddrol menjelaskan kejayaan di Piala FA menjadi suntikan semangat buat pasukannya untuk fokus kepada saingan Piala Malaysia yang akan membuka tirai bulan depan.

"Syukur kami dapat bawa balik Piala FA ke bumi Kedah dan kami tetap akan fokus kepada Piala Malaysia. Kami akan adakan sambutan Piala FA di Darul Aman," katanya.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Ahad, 28 Julai 2019 | 7:46am

Jumaat, 26 Julai 2019

Tokok trofi

MyMetroArena
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
 
AKSI final Piala FA berdepan Perak di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini menjadi misi ‘serampang dua mata’ buat ketua pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar.

Ia kerana perlawanan itu bukan saja menjadi medan buat skuad Lang Merah menjulang kejuaraan sulung musim ini, malah Baddrol turut mengintai peluang menambah koleksi kejuaraan Piala FA yang keempat selepas memenanginya pada 2007, 2008 dan 2017.

Apapun, ia bukan tugas mudah buatnya apabila berdepan skuad The Bos Gaurus yang turut diperkuatkan dengan pemain ternama tempatan selain trio import dari Brazil iaitu Leandro, Ronaldo Henrique Silva dan Careca.

Justeru, pemain berpengalaman berusia 31 tahun itu menuntut rakan sepasukan tidak memandang mudah sambil berharap barisan pemain muda Kedah mampu menyerap segala tekanan, sekali gus keluar selaku juara.

“Misi saya kali ini adalah untuk mengumpul piala keempat (Piala FA) pada tahun ini. Saya mengharapkan pemain pasukan Kedah malam esok (malam ini) fokus dengan lebih tinggi dan bagilah apa yang ada malam itu habis-habisan dan buatlah terbaik pada final nanti,” katanya pada sidang media Piala FA, di sini, semalam.

Jelasnya, dia turut mengingatkan rakan sepasukan supaya berjaga-jaga dengan provokasi tonggak tengah Perak, Leandro.

“Bagi saya sendiri, provokasi daripada Leandro kita kena faham permainan dia memang macam itu. Jadi bagi kita dah main lama di Liga Malaysia, kita buat macam biasa jelah buat tak tahu,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Julai 2019 @ 6:10 AMSUMBER

Sabtu, 2 Februari 2019

TERKINI MASA KEDUA LIGA SUPER 2.2.2019


OLEH=AHMAD BIN YAAKOB
Johor Darul Ta'zim     1-0       Perak
m-49 Gonzalo Cabrera          
                       
Melaka United            1-0      PJ City
m-39 Liridon Krasniqi
m-44 Casagrande                   

PKNP 0-0        Kedah

Jumaat, 1 Februari 2019

Wan Jamak melenting sikap pemain muda


 


ARKIB : 11/05/2011
Pemain Kedah, Mohd. Azmi Muslim (kanan) dihalang pemain Selangor Mohd. Asararuddin Putra Omar pada pertemuan Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar kelmarin. - UTUSAN/Halim Khalid

ALOR SETAR - Jurulatih Kedah, Wan Jamak Hassan kecewa dengan sikap pemain muda pasukannya yang gagal memanfaatkan peluang beraksi di tempat sendiri, menyaksikan pasukan itu kalah 0-2 kepada Selangor pada perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman di sini, kelmarin.

Beliau berkata, walaupun beraksi baik pada separuh masa pertama, namun pada separuh masa kedua, pemain muda yang ditempatkan pada bahagian serangan tidak bermain bersungguh-sungguh untuk mencari gol kemenangan.

Sebaliknya, kata beliau beberapa kesilapan yang dilakukan memberi peluang untuk Selangor memperoleh gol pertama pada minit ke-59.

"Saya lihat pemain muda terutamanya Ahmad Shakir Ali yang dimasukkan pada separuh masa kedua menggantikan Mohd Khyril Muhymeen Zambri tidak bermain bersungguh-sungguh dan tidak banyak melakukan gerakan agresif seperti yang saya harapkan.

"Hilang bola tak nak kejar, ini bukan pasukan bola sepak kampung, ini pasukan negeri dan dia perlu menghormati bendera dan pasukan negeri sendiri," katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Wan Jamak berkata, tahap ketahanan pemain sedemikian menyebabkan mereka melakukan beberapa kesilapan sehingga Kedah tidak dapat mengutip sebarang mata di tempat sendiri.

"Saya ada masa lapan hari lagi sebelum bertemu Pahang pada 18 Mei ini untuk memperbaiki kesilapan yang telah kita lakukan.

"Saya nak memberi tekanan kepada mereka (pemain) pun tak patut, sebab bagi saya soal ketahanan tenaga perlu dilakukan sebelum saingan liga berlangsung dan mereka perlu tahu jadual perlawanan kali ini begitu padat dan mereka perlu menunjukkan satu ketahanan yang begitu tinggi.

"Kami akan berusaha untuk mencari pemain sandaran lain yang boleh membantu jentera serangan dalam usaha untuk mencari gol kemenangan pada perlawanan akan datang," kata Wan Jamak.

Kedah kini menduduki tangga kelima liga dengan 28 mata.

Kedah akan bertemu Pahang di Stadium Darul Aman dan kemudian bertemu dengan Kuala Lumpur 21 Mei ini di tempat yang sama. - Bernama



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0511&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5eKf0A500
© Utusan Melayu (M) Bhd